1 Selepas Yesus selesai berkata tentang hal-hal itu, Dia beredar dari Galilea pergi ke Yudea di seberang Sungai Yordan.
2 Ramai orang mengikut-Nya dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ.
3 Beberapa orang Farisi datang untuk menduga Yesus. Mereka bertanya, “Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya dengan apa sebab jua?”
4 Yesus menjawab, “Tidakkah kamu baca ayat Kitab Suci yang menyatakan betapa pada mulanya Allah menjadikan lelaki dan perempuan?
5 Setelah itu, Allah berfirman, ‘Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya lalu mereka berdua menjadi satu.’
6 Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah janganlah manusia pisahkan.”
7 Kata orang Farisi itu, “Kalau begitu, mengapakah Musa memberikan hukum membenarkan seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan menulis surat cerai?”
8 Yesus menjawab mereka, “Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana hati kamu begitu tegar. Tetapi pada mulanya bukanlah begitu.
9 Sesungguhnya, jika seseorang lelaki menceraikan isterinya, kecuali kerana zina, lalu berkahwin pula dengan perempuan lain, dia berzina.”
10 Para murid Yesus berkata, “Kalau begitulah hidup suami isteri, lebih baiklah tidak berkahwin langsung.”
11 Yesus menjawab, “Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang dikurniai keupayaan untuk menerimanya.
12 Ada beberapa sebabnya seseorang itu tidak berkahwin. Ada yang dilahirkan begitu, ada yang dibuat orang begitu, dan ada pula yang membuat dirinya begitu untuk mengabdikan diri kepada kerajaan syurga. Biarlah ajaran ini diterima oleh yang mampu menerimanya.”
13 Beberapa orang membawa kanak-kanak supaya diberkati oleh Yesus dengan meletakkan tangan-Nya ke atas mereka serta mendoakan mereka. Tetapi para murid Yesus memarahi orang yang membawa kanak-kanak itu.
14 Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang seperti itulah yang empunya kerajaan syurga.”
15 Yesus meletakkan tangan-Nya ke atas kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Kemudian Dia beredar dari situ.
16 Pada suatu hari seorang pemuda datang berjumpa Yesus lalu bertanya, “Guru, apakah perbuatan baik yang harus aku lakukan untuk mendapat kehidupan kekal?”
17 Yesus menjawab, “Mengapa kamu bertanya kepada-Ku apa yang baik? Hanya ada Satu yang baik. Sekiranya kamu ingin masuk ke dalam hidup, patuhilah hukum-Nya.”
18 Pemuda itu bertanya, “Hukum yang mana?” Yesus menjawab, “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan memberi kesaksian palsu;
19 hormatilah ibu bapamu; kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”
20 “Semua hukum ini telah kupatuhi,” kata pemuda itu. “Adakah lagi yang harus kulakukan?”
21 Yesus menjawab, “Jika kamu ingin menjadi sempurna, pergilah, jual segala harta bendamu dan sedekahkan kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu, datanglah dan ikut Aku.”
22 Apabila mendengar jawapan Yesus, pemuda itu beredar dari situ dengan dukacita, kerana dia seorang yang kaya-raya.
23 Yesus pun berkata kepada murid-murid-Nya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, susah sekali bagi orang kaya memasuki kerajaan syurga.
24 Aku berkata kepadamu, lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.”
25 Para murid Yesus hairan mendengar kata-kata itu lalu bertanya, “Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?”
26 Sambil memandang mereka Yesus menjawab, “Hal itu mustahil bagi manusia, tetapi bagi Allah tidak ada satu pun yang mustahil.”
27 Petrus menjawab, “Kami telah meninggalkan segala-galanya untuk mengikut-Mu. Apakah yang akan kami terima?”
28 Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, ketika Anak Manusia duduk di atas takhta-Nya yang mulia dalam Dunia Baru, kamu murid-Ku juga akan bertakhta menghakimi dua belas suku Israel.
29 Setiap orang yang telah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, saudara perempuan, ibu bapa, anak-anak, atau ladang kerana nama-Ku, akan menerima seratus kali ganda apa yang ditinggalkannya dan akan memperoleh hidup kekal.
30 Tetapi ramai orang yang terdahulu akan menjadi terakhir, dan yang terakhir akan menjadi yang terdahulu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Matius 19
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Matius 19
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Matius

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV