1 Paulus dan Silas melalui Amfipolis dan Apolonia lalu sampai di Tesalonika. Di situ ada saumaah orang Yahudi.
2 Seperti biasa, Paulus masuk dan berbincang dengan orang di situ tiga hari Sabat berturut-turut tentang ayat-ayat Kitab Suci.
3 Dia menyatakan dan menunjukkan bahawa Kristus mengalami kematian dan kemudian bangkit daripada kematian; juga katanya, “Yesus yang kusebutkan kepadamu inilah Kristus.”
4 Beberapa orang di situ percaya lalu bersahabat dengan Paulus dan Silas; antara mereka terdapat sebilangan besar orang Yunani yang takut akan Allah serta cukup ramai wanita yang terkemuka.
5 Tetapi orang Yahudi berasa dengki lalu mengumpulkan orang jahat dan memulakan huru-hara di kota itu; mereka menyerang rumah Yason untuk membawa keluar rasul-rasul itu menghadap orang ramai.
6 Apabila mereka tidak menemui Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang lagi murid Yesus ke hadapan pegawai-pegawai yang berkuasa sambil berseru, “Orang ini telah menimbulkan kekacauan di dunia dan sekarang mereka datang pula ke sini
7 lalu dialu-alukan oleh Yason ke rumahnya. Mereka ini melanggar undang-undang Kaisar Roma dengan mengatakan ada orang lain yang menjadi raja, bernama Yesus.”
8 Apabila orang ramai dan pegawai kerajaan mendengar kata-kata itu, mereka pun gempar.
9 Mereka menerima ikat jamin untuk Yason dan yang lain lalu membenarkan mereka pergi.
10 Para murid Yesus itu segera menyuruh Paulus dan Silas bertolak ke Beria pada waktu malam. Setelah sampai di sana, mereka masuk ke saumaah orang Yahudi.
11 Orang Yahudi di situ lebih mulia rohaninya daripada yang di Tesalonika kerana mereka menerima firman Allah dengan amat sukacita dan menyelidik Kitab Suci untuk memastikan setiap kebenaran yang dikatakan Paulus.
12 Oleh yang demikian ramailah antara mereka yang percaya, baik wanita-wanita Yunani yang berkedudukan tinggi mahupun kaum lelaki.
13 Akan tetapi apabila orang Yahudi di Tesalonika mendapat tahu bahawa Paulus menyebarkan firman Allah di Beria juga, mereka pergi menghasut dan mengapi-apikan orang di situ supaya merusuh.
14 Para murid Yesus di Beria segera menyuruh hantar Paulus ke pantai manakala Silas dan Timotius masih di Beria.
15 Orang yang menghantar Paulus itu membawanya hingga ke Atena; setelah menerima arahan Paulus menyuruh Silas dan Timotius segera menyertainya, orang itu pun pulang ke Beria.
16 Sementara Paulus menantikan kedua-duanya di Atena, dia berasa amat sedih melihat kota itu penuh dengan berhala.
17 Oleh itu, dia berhujah di saumaah dengan orang Yahudi dan orang Yunani yang takut akan Allah; dan di medan kota juga dia berbincang dengan siapa sahaja yang ditemuinya.
18 Beberapa orang yang berpegang kepada ajaran Epikuros dan Stoa berhujah dengannya. Ada yang berkata, “Apa yang dibebelkannya itu?” Yang lain berkata, “Nampaknya orang ini menyebarkan berita tentang tuhan-tuhan orang bangsa asing.” Demikianlah kata mereka kerana Paulus mengkhabarkan berita baik tentang Yesus dan kebangkitan daripada kematian.
19 Mereka membawanya ke Areopagus sambil berkata, “Bolehkah kami mengetahui apakah ajaran baru yang kamu katakan ini?
20 Kamu menyampaikan ke telinga kami perkara-perkara yang aneh; oleh itu, kami hendak mengetahui ertinya segala perkara ini.”
21 (Semua orang Atena dan orang asing di situ asyik sekali membincangkan atau mendengar tentang perkara-perkara terbaru).
22 Paulus berdiri di tengah-tengah Areopagus itu lalu berkata, “Saudara-saudara orang Atena, aku lihat dalam semua hal saudara-saudara sentiasa ingat menyembah tuhan.
23 Sedang aku berjalan-jalan sambil memerhatikan apa yang saudara-saudara sembah, di suatu tempat aku dapati suatu tempat korban yang ditulis begini: ‘Kepada Tuhan yang tidak diketahui.’ Tuhan yang saudara-saudara sembah tanpa mengetahui-Nya itulah yang hendak aku nyatakan kepada saudara-saudara.
24 Allah yang menjadikan dunia dengan segala isinya ialah Tuhan langit dan bumi tidak tinggal di tempat sembahyang buatan manusia,
25 dan tidak dilayani oleh manusia kerana Dia tidak kekurangan apa-apa. Malah Dialah yang memberi manusia hidup dan nafas serta segala-galanya.
26 Daripada seorang manusia Dia menjadikan semua bangsa manusia yang menduduki seluruh muka bumi; Dia juga menetapkan masa dan daerah tempat mereka hidup.
27 Masing-masing diharap mencari Allah, mudah-mudahan mereka menemui-Nya. Dia tidaklah jauh daripada kita.
28 ‘Kerana-Nya kita hidup, bergerak serta ada di dunia ini.’ Sebagaimana kata penyair bangsamu, ‘Kita ialah anak-Nya.’
29 Oleh sebab kita keturunan Allah, tidak patut kita sangka keilahian-Nya seperti patung yang serupa dengan emas, perak atau batu yang diukir dengan kepandaian dan akal manusia.
30 Allah membiarkan manusia melalui zaman kejahilan itu; tetapi sekarang Dia menyuruh manusia di seluruh dunia ini bertaubat;
31 kerana Dia telah menetapkan bahawa pada suatu hari seisi dunia ini akan dihakimkan dengan adil oleh seorang yang ditentukan-Nya. Allah bersaksi akan hal ini kepada semua manusia dengan membangkitkan-Nya daripada kematian.”
32 Apabila mendengar “membangkitkan-Nya daripada kematian”, ada yang mengejek-ejek; tetapi ada yang berkata, “Kami mahu mendengar lagi kamu bercakap tentang perkara itu.”
33 Selepas itu, Paulus keluar daripada perhimpunan itu.
34 Namun demikian, ada beberapa orang yang menjadi pengikut Paulus dan percaya akan kata-katanya; di antaranya ialah Dionisius anggota Areopagus, dan seorang wanita bernama Damaris, serta beberapa orang lagi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 17
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 17

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV