1 Nasihati jemaahmu supaya taat akan pemerintah dan penguasa, serta sentiasa bersedia melakukan kebaikan.
2 Larang mereka mengumpat atau bertengkar, dan dorong mereka bersikap ramah-tamah serta lemah lembut kepada semua orang.
3 Dahulu kita juga bodoh, ingkar dan sesat. Kita dikuasai pelbagai nafsu dan keinginan. Kita hidup dengki-mendengki dan benci-membenci.
4 Tetapi Allah Penyelamat kita menunjukkan belas ihsan dan kasih-Nya kepada kita.
5 Allah menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan benar yang kita lakukan, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Dia menyelamatkan kita melalui pentahiran kelahiran semula dan melalui pembaharuan yang dilakukan Roh Kudus.
6 Allah melimpahkan Roh Kudus itu kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita.
7 Maka dengan kasih kurnia-Nya kita sudah diperbenar untuk menjadi anak waris yang mendapat hidup kekal yang kita harapkan.
8 Kata-kata ini benar. Berikanlah perhatian terhadap hal-hal tersebut, supaya orang yang beriman kepada Allah berusaha sepenuhnya untuk melakukan segala yang baik serta bermanfaat kepada semua orang.
9 Sebaliknya, jauhilah perbahasan yang sia-sia, perbuatan menyusur galur nenek moyang, pertengkaran dan pertikaian tentang hukum Taurat. Segala ini tidak membawa faedah.
10 Berikan amaran kepada sesiapa yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan jemaah. Nasihati dia sekurang-kurangnya dua kali; jika dia tidak berubah, jauhilah dia.
11 Kamu tahu bahawa orang yang demikian itu sesat dan berdosa; dia menjatuhkan hukuman atas dirinya sendiri.
12 Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, cubalah seberapa daya mengunjungiku di Nikopolis, kerana aku telah membuat keputusan akan berada di situ pada musim dingin.
13 Berikanlah sepenuh bantuan kepada peguam yang bernama Zenas dan kepada Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan tanpa kekurangan apa-apa.
14 Jemaah kita haruslah mengamalkan kebajikan untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian bergunalah hidup mereka.
15 Semua saudara yang bersamaku berkirim salam kepada sahabat-sahabat seiman. Semoga kasih kurnia menyertai kamu semua.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Titus 3
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Titus 3

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV