1 Yesus bercakap lagi kepada orang ramai melalui ibarat.
2 Dia berkata, “Kerajaan syurga seperti ibarat ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk anaknya.
3 Raja menitahkan hamba-hambanya menjemput orang ke majlis jamuan itu tetapi mereka enggan hadir.
4 Kemudian raja itu menghantar lagi hamba-hambanya yang lain. Titah raja itu, ‘Katakan kepada mereka, lembu yang terbaik telah disembelih, semuanya sudah siap, datanglah ke majlis perkahwinan.’
5 Tetapi orang yang diundang tidak ambil peduli, masing-masing sibuk dengan kerjanya. Ada yang ke ladang, ada yang ke kedai.
6 Manakala yang lain menangkap hamba-hamba itu lalu mendera dan membunuh mereka.
7 Raja pun teramat murka lalu menitahkan tenteranya menghapuskan semua pembunuh itu dan membakar kota mereka.
8 Setelah itu, raja memanggil hamba-hambanya dan berkata, ‘Majlis perkahwinan sudah siap tetapi orang yang diundang tidak layak menghadirinya.
9 Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemput seramai mungkin orang yang kamu temui ke majlis perkahwinan ini.’
10 Hamba-hamba raja itu pun pergi ke jalan raya lalu mengumpulkan semua orang yang ditemui, tidak kira baik ataupun jahat, maka penuh sesaklah balai majlis jamuan itu dengan tetamu.
11 Raja itu masuk melihat para tetamunya. Dilihatnya seorang yang tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan.
12 Raja berkata kepadanya, ‘Bagaimana engkau dapat masuk ke sini dengan tidak memakai pakaian untuk majlis perkahwinan?’ Orang itu terdiam.
13 Raja itu pun berkata kepada hamba-hambanya, ‘Ikat kaki dan tangan orang ini, buangkan dia ke dalam kegelapan di luar. Di sanalah akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.’ ”
14 “Ramai yang dipanggil, tetapi cuma sedikit yang dipilih.”
15 Beberapa orang Farisi pergi dan berpakat bagaimana hendak memerangkap Yesus dengan menyoal kata-kata yang digunakan-Nya.
16 Mereka menghantar para murid mereka dan sebilangan orang Herodes mendapatkan Yesus dan berkata, “Guru, kami tahu Engkau ikhlas dan mengajar cara Allah berdasarkan yang benar. Engkau tidak takut kepada sesiapa pun kerana Engkau tidak pilih kasih.
17 Jadi, katakanlah pendapat-Mu kepada kami. Wajarkah membayar cukai kepada Kaisar atau tidak?”
18 Yesus mengetahui niat jahat mereka lalu berkata, “Hai munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap-Ku?
19 Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai.” Mereka membawa sekeping wang dinar itu kepada-Nya.
20 Lalu Yesus bertanya kepada mereka, “Gambar dan nama siapakah ini?”
21 “Kaisar,” jawab mereka. Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, berikan milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan milik Allah kepada Allah.”
22 Mereka tercengang mendengar kata-kata Yesus, lalu pergi dari situ.
23 Pada hari itu juga, orang Saduki, yang mengatakan tidak ada kebangkitan, datang kepada Yesus lalu bertanya,
24 “Guru, Musa berkata begini: Jika seseorang lelaki meninggal dunia tanpa anak, saudara lelakinya patutlah berkahwin dengan balunya dan memanjangkan zuriatnya.
25 Ada tujuh orang adik-beradik lelaki dalam kalangan kami. Yang sulung berkahwin, kemudian meninggal dunia tanpa anak. Jadi, saudara yang kedua pun berkahwin dengan balunya.
26 Saudara yang kedua itu pula meninggal dunia tanpa anak. Demikianlah terjadi seorang demi seorang hingga saudara yang ketujuh.
27 Akhirnya wanita itu meninggal dunia.
28 Pada hari kebangkitan, isteri siapakah wanita itu? Ini sebab ketujuh-tujuhnya pernah mengahwininya.”
29 Yesus menjawab, “Kamu tersilap kerana kamu tidak memahami baik Kitab Suci mahupun kuasa Allah.
30 Pada hari kebangkitan, mereka tidak berkahwin atau dikahwinkan; mereka seperti malaikat di syurga.
31 Tentang soal orang mati dibangkitkan semula, tidakkah kamu baca firman Allah:
32 ‘Akulah Allah Abraham, Allah Ishak dan Allah Yakub.’ Oleh itu, Dia bukanlah Allah orang mati tetapi Allah orang hidup.”
33 Orang ramai kagum mendengar ajaran Yesus.
34 Apabila orang Farisi mendengar betapa Yesus menyebabkan orang Saduki terdiam, mereka pun datang berkumpul.
35 Seorang ahli Taurat antara mereka cuba memerangkap Yesus dengan suatu soalan:
36 “Guru, perintah manakah yang terutama dalam Taurat?”
37 Yesus menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu.’
38 Inilah perintah yang terutama dan terpenting.
39 Perintah kedua sama pentingnya: ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’
40 Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini.”
41 Yesus bertanya kepada orang Farisi yang berkumpul itu:
42 “Apa pendapatmu tentang Kristus? Anak siapakah Dia?” “Anak Daud,” jawab mereka.
43 “Kalau begitu, mengapakah Daud, ketika diilhami Roh Kudus, menyebut-Nya ‘Tuan’? Daud berkata,
44 ‘Tuhan telah berfirman kepada Tuanku: Duduklah di kanan-Ku, sehingga Kujadikan musuh-Mu alas kaki-Mu.’ ”
45 Jika Daud menyebut Dia ‘Tuan,’ bagaimana mungkin Dia anak Daud?”
46 Tiada seorang pun terjawab soalan Yesus. Sejak hari itu, tiada siapa yang berani menyoal-Nya apa-apa lagi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Matius 22
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Matius 22
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Matius

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV