1 “Kerajaan syurga seperti seorang tuan tanah yang keluar pada awal pagi untuk mengupah orang bekerja di ladang anggurnya.
2 Dia bersetuju membayar upah sekeping wang dinar. Kemudian dia pun menyuruh mereka pergi ke ladang.
3 Kira-kira jam ketiga, tuan tanah itu keluar lagi lalu melihat beberapa orang lain berdiri-diri tanpa berbuat apa-apa di pasar.
4 Dia berkata kepada mereka, ‘Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan memberimu upah yang berpatutan.’
5 Mereka pun pergi. Pada jam keenam dan kesembilan, begitu jugalah yang terjadi.
6 Kira-kira jam kesebelas dia pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang berdiri-diri tidak berbuat apa-apa. Dia menanya mereka, ‘Mengapa kamu membuang masa tidak membuat apa-apa kerja?’
7 Mereka menjawab, ‘Tiada siapa mengupah kami bekerja.’ ‘Kalau begitu, pergilah bekerja di ladang anggurku,’ kata tuan tanah itu.
8 Setelah hari petang, tuan ladang anggur itu berkata kepada ketua pekerja, ‘Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir hingga kepada pekerja yang datang awal sekali.’
9 Mereka yang bekerja dari kira-kira jam kesebelas menerima sekeping wang dinar seorang.
10 Oleh itu, mereka yang bekerja sejak pagi menjangka akan menerima bayaran yang lebih, tetapi mereka pun mendapat sekeping wang dinar seorang.
11 Mereka pun mulalah bersungut kepada tuan tanah itu.
12 Mereka berkata, ‘Pekerja-pekerja yang baru datang itu cuma bekerja sejam sedangkan kami sehari suntuk dalam panas matahari. Tetapi tuan membayar kami dan mereka sama sahaja!’
13 Tuan tanah itu menjawab seorang daripada mereka, ‘Dengarlah, kawan, aku tidak menipumu. Bukankah kamu telah bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang dinar sehari?
14 Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu upah yang sama.
15 Bukankah hakku berbuat sesuka hati dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu busuk hati kerana aku bermurah hati?’ ”
16 Yesus berkata lagi, “Begitulah, orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang terdahulu akan menjadi yang terakhir.”
17 Ketika Yesus sedang dalam perjalanan ke Yerusalem, Dia mengajak dua belas orang murid-Nya ke tepi dan berkata hanya kepada mereka:
18 “Dengarlah, kita sekarang ke Yerusalem. Di sana Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan kepada ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya.
19 Kemudian mereka akan menyerahkan-Nya ke tangan bangsa asing. Dia akan diejek, disebat dan disalib oleh mereka. Tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan semula.”
20 Setelah itu, isteri Zebedeus datang mendapatkan Yesus dengan kedua-dua orang anaknya. Dia bersujud di hadapan Yesus dan memohon sesuatu.
21 “Apakah permintaanmu?” tanya Yesus. Ibu itu menjawab, “Berjanjilah bahawa apabila Engkau menjadi raja, kedua-dua orang anakku itu akan duduk dalam kerajaan-Mu di kiri dan kanan-Mu.”
22 Yesus berkata kepada kedua-dua anak lelaki ibu itu, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta itu. Sanggupkah kamu minum dari cawan yang akan Kuminum?” “Sanggup,” jawab mereka.
23 Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan-Ku. Tetapi untuk duduk di kiri dan kanan-Ku, bukanlah Aku memberikannya, tetapi tempat itu milik mereka yang telah disediakan oleh Bapa-Ku.”
24 Apabila sepuluh murid Yesus yang lain mendengar perkara itu, mereka marah kepada dua orang saudara itu.
25 Oleh itu, Yesus memanggil mereka kepada-Nya lalu berkata, “Kamu tahu bahawa pemerintah bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan orang besar melaksanakan kekuasaan ke atas mereka.
26 Ini tidak harus berlaku dalam kalanganmu. Sesiapa yang ingin menjadi orang besar dalam kalanganmu mestilah melayan kamu.
27 Sesiapa yang ingin menjadi orang yang pertama dalam kalanganmu, haruslah menjadi hambamu.
28 Demikianlah Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayan, tetapi untuk melayan, dan untuk menyerahkan nyawa-Nya sebagai tebusan bagi ramai orang.”
29 Yesus meninggalkan Yerikho bersama murid-murid-Nya. Ramai orang mengikut mereka.
30 Dua orang buta yang duduk di tepi jalan mendengar bahawa Yesus lalu di situ lalu berseru, “Wahai Tuhan, Anak Daud, kasihanilah kami!”
31 Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi mereka semakin kuat berseru, “Wahai Tuhan, Anak Daud, kasihanilah kami!”
32 Yesus berhenti lalu memanggil mereka dan bertanya, “Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?”
33 Jawab mereka, “Tuhan, kami ingin melihat!”
34 Yesus berbelas kasihan kepada mereka. Dia menyentuh mata mereka, dan serta-merta mereka dapat melihat, lalu mereka pun mengikut-Nya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Matius 20
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Matius 20
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Matius

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV