1 Setelah itu, beberapa orang Farisi dan ahli Taurat dari Yerusalem datang mendapatkan Yesus lalu bertanya,
2 “Mengapa murid-Mu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Mereka tidak membasuh tangan sebelum makan!”
3 Yesus menjawab, “Mengapa kamu membelakangi perintah Allah demi mematuhi adat istiadatmu?
4 Allah berfirman, ‘Hormatilah ibu bapamu’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa sendiri mesti dihukum mati.’
5 Sebaliknya kamu mengajar, ‘Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, “Apa yang patut kugunakan untuk menolong ayah dan ibu, telah kupersembahkan kepada Allah,”
6 maka tidak perlulah orang itu menghormati ibu bapanya. Demikianlah kamu menyatakan Firman Allah tidak berlaku atas sebab adat istiadatmu.’
7 Kamu munafik! Tepat sekali kata-kata Yesaya dalam nubuatnya tentangmu:
8 ‘Bangsa ini menghormati-Ku dengan kata-kata tetapi hati mereka jauh daripada-Ku.
9 Sia-sialah mereka beribadat kepada-Ku, sedangkan ajaran yang diajarkan mereka ialah peraturan manusia.’ ”
10 Kemudian Yesus memanggil orang ramai itu lalu berkata kepada mereka, “Dengar dan fahamlah!
11 Apa yang masuk ke mulut seseorang tidak menajiskannya, tetapi apa yang keluar dari mulutnya, itulah yang menajiskannya.”
12 Selepas itu, para murid Yesus mendapatkan-Nya dan berkata, “Tahukah Engkau bahawa orang Farisi tersinggung dengan kata-kata-Mu?”
13 Yesus menjawab, “Segala tanaman selain yang ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut.
14 Jangan hiraukan orang Farisi. Mereka itu orang buta yang memimpin orang buta. Apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-duanya masuk ke dalam parit.”
15 Petrus berkata, “Terangkanlah maksud ibarat tadi kepada kami.”
16 Yesus berkata, “Kamu masih tidak faham.
17 Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula.
18 Sebaliknya, apa yang keluar dari mulut datang dari hati, dan inilah yang menajiskan.
19 Dari hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, mencuri, memberi kesaksian palsu, dan memfitnah.
20 Segala itulah yang menajiskan, bukan makan dengan tidak membasuh tangan.”
21 Yesus beredar dari situ, dan pergi ke kawasan berhampiran bandar Tirus dan Sidon.
22 Seorang wanita Kanaan yang tinggal di situ datang mendapatkan Yesus sambil berseru, “Wahai Tuan, Anak Daud! Kasihanilah aku! Anak perempuanku dirasuk roh iblis, dan menderita!”
23 Yesus diam tidak menjawab. Para murid-Nya memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita itu pergi. Dia mengikut kita meraung-raung.”
24 Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus khusus kepada keturunan kaum Israel yang seperti domba yang hilang.”
25 Wanita itu mendekati Yesus dan menyembah-Nya sambil berkata, “Tuan, tolonglah aku.”
26 Yesus menjawab, “Tidak patut mengambil roti anak-anak dan mencampakkannya kepada anjing.”
27 “Benar, Tuan,” balas wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.”
28 Oleh yang demikian Yesus berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang teguh iman. Apa yang kamu inginkan itu akan berlaku.” Serta-merta anak wanita itu pulih.
29 Yesus beredar dari situ lalu berjalan menyusur pesisiran Laut Galilea. Setelah itu, Dia mendaki sebuah bukit dan duduk di situ.
30 Ramailah yang datang mendapatkan-Nya, membawa orang yang tempang, buta, lumpuh, bisu dan yang menghidap pelbagai penyakit. Yesus menyembuhkan mereka.
31 Orang ramai tercengang melihat yang bisu bercakap, yang cacat dipulihkan, yang tempang berjalan, dan yang buta melihat, lalu mereka memuji Allah Israel.
32 Yesus memanggil murid-murid-Nya lalu berkata, “Aku berbelas kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-Ku; sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kalau-kalau pengsan nanti di tengah jalan.”
33 Para murid-Nya berkata, “Di manakah dapat kami cari roti yang cukup untuk orang seramai itu sedangkan kawasan ini terpencil?”
34 Yesus bertanya, “Berapa banyakkah roti yang ada padamu?” “Tujuh buku,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.”
35 Yesus menyuruh orang ramai itu duduk di atas tanah.
36 Dia mengambil tujuh buku roti dan ikan itu, mengucap syukur kepada Allah lalu memecah-mecahkannya dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai.
37 Kesemua orang pun makan sehingga kenyang. Sisa lebihan makanan yang dikumpulkan sebanyak tujuh bakul penuh.
38 Jumlah yang makan empat ribu orang lelaki; belum dikira wanita dan kanak-kanak.
39 Setelah itu, Yesus menyuruh orang ramai itu pulang, lalu Dia menaiki perahu dan pergi ke kawasan Magadan.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Matius 15
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Matius 15
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Matius

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV