1 Setelah itu, Tuhan memilih tujuh puluh orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya.
2 Dia berkata kepada mereka, “Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai.
3 Pergilah! Dengarlah, Aku mengutus kamu seperti anak domba ke tengah-tengah serigala.
4 Janganlah bawa dompet atau beg atau kasut dan jangan berhenti di jalan untuk bersalam dengan sesiapa pun.
5 Apabila kamu masuk ke sesebuah rumah, kamu hendaklah terlebih dahulu mengucapkan ‘Sejahteralah seisi rumah ini.’
6 Jika orang yang tinggal di rumah itu layak menerima sejahtera, salammu akan tetap padanya. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu.
7 Tinggallah di rumah yang sama, makan dan minumlah apa sahaja yang dihidangkan, kerana seorang pekerja layak mendapat upah. Jangan berpindah dari rumah ke rumah.
8 Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu disambut, makanlah apa sahaja yang dihidangkan.
9 Sembuhkan orang sakit yang ada di situ dan berkata kepada mereka, ‘Kerajaan Allah hampir tiba kepadamu.’
10 Apabila kamu pergi ke sesebuah bandar dan kamu tidak disambut, kamu hendaklah keluar ke jalan dan berkata,
11 ‘Debu bandarmu yang terlekat di kaki kami pun kami kebaskan sebagai bantahan terhadapmu. Tetapi ketahuilah bahawa kerajaan Allah hampir tiba.’
12 Aku berkata kepadamu bahawa pada hari itu kelak, hukuman atas Sodom lebih ringan daripada atas bandar itu.”
13 “Malangnya kamu, hai Korazin! Malangnya kamu, hai Betsaida! Sekiranya mukjizat yang dilakukan dalam kalanganmu dilakukan di Tirus dan Sidon, tentu sudah lama orang di situ bertaubat dengan memakai baju kabung dan membubuh abu di kepala.
14 Pada hari penghakiman itu, hukuman atas Tirus dan Sidon lebih ringan daripada atas kamu.
15 Hai Kapernaum, akankah dirimu ditinggikan sampai ke langit? Tidak, kamu akan dihumbankan ke neraka!”
16 “Sesiapa yang mendengar kata-katamu mendengar kata-kata-Ku; sesiapa yang menentangmu menentang-Ku; dan sesiapa yang menentang-Ku juga menentang Dia yang mengutus-Ku.”
17 Tujuh puluh orang pengikut itu kembali dengan sukacitanya dan berkata, “Ya Tuhan, demi nama-Mu segala roh iblis pun menurut perintah kami.”
18 Yesus berkata kepada mereka, “Aku melihat Iblis jatuh dari langit seperti kilat.
19 Aku telah memberimu kuasa untuk memijak ular dan kala jengking serta kuasa atas segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa yang dapat mencederakan kamu.
20 Tetapi jangan kamu bersukacita kerana segala roh iblis menurut perintahmu tetapi bersukacitalah kerana namamu tercatat di syurga.”
21 Pada ketika itu, Yesus bersukacita dalam Roh Kudus lalu berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu, kerana apa yang Kaurahsiakan daripada cerdik pandai, Kautunjukkan kepada kanak-kanak kecil. Ya Bapa, memang inilah yang Engkau berkenan.
22 “Bapa-Ku telah menyerahkan segala-galanya kepada-Ku. Tiada yang mengenal Anak kecuali Bapa; dan tiada yang mengenal Bapa kecuali Anak serta orang yang terpilih Anak untuk menyatakan Bapa.”
23 Yesus berpaling kepada murid-murid-Nya lalu berkata secara sulit, “Diberkatilah mata yang melihat segala perkara yang kamu lihat.
24 Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak mendengarnya.”
25 Seorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Yesus. Dia bertanya, “Guru, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?”
26 Yesus berkata, “Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?”
27 Ahli Taurat itu menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri.’ ”
28 Yesus berkata kepadanya, “Betullah jawapanmu. Berbuatlah demikian dan kamu akan hidup.”
29 Tetapi dia hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Yesus, “Siapakah sesama manusia itu?”
30 Yesus menjawab, “Ada seorang dalam perjalanan dari Yerusalem ke Yerikho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati.
31 Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.
32 Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya.
33 Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan.
34 Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas keldai tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ.
35 Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang dinar kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, ‘Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, aku akan membayarnya apabila aku datang kembali.’ ”
36 Yesus berkata, “Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?”
37 Ahli Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.” Yesus berkata, “Pergi dan berbuatlah sedemikian.”
38 Yesus dan murid-murid-Nya meneruskan perjalanan dan sampai di sebuah kampung. Seorang perempuan yang bernama Marta menyambut Dia ke rumahnya.
39 Maria, adik Marta, duduk sahaja untuk mendengar pengajaran Tuhan
40 tetapi Marta pula sibuk melayani mereka. Marta menghampiri Yesus dan berkata, “Tuhan, tidakkah Engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku.”
41 Tuhan menjawab, “Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara.
42 Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maria telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Lukas 10
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Lukas 10
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Lukas

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV