1 Sekarang aku menyentuh tentang pengumpulan bantuan bagi orang salih. Lakukanlah sebagaimana yang telah kutentukan bagi semua jemaah di Galatia.
2 Pada hari pertama setiap minggu, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasingkan wang menurut kemampuan masing-masing dan menyimpannya. Janganlah setelah aku datang baru kamu mula mengumpulnya.
3 Setelah aku tiba, aku akan menghantar sesiapa yang kamu anggap sesuai untuk membawa pemberianmu itu bersama surat ke Yerusalem.
4 Sekiranya aku perlu pergi juga, mereka akan pergi bersamaku.
5 Aku akan datang ke tempatmu selepas Makedonia kerana aku akan datang melalui Makedonia.
6 Mungkin aku akan tinggal beberapa waktu denganmu, malah mungkin sepanjang musim dingin; kemudian kamu boleh menolongku meneruskan perjalanan.
7 Kali ini aku tidak mahu singgah sahaja; aku berharap akan dapat tinggal agak lama denganmu jika diizinkan Tuhan.
8 Namun demikian, aku akan tetap berada di Efesus sampai hari Pentakosta,
9 kerana pintu untuk melakukan pekerjaan besar telah terbuka luas bagiku walaupun ramai orang yang menentang.
10 Jika Timotius datang ke tempatmu, jangan biarkan dia berasa takut tinggal dalam kalanganmu, kerana dia juga melakukan pekerjaan untuk Tuhan, sama sepertiku.
11 Oleh itu, jangan sesiapa memandang ringan kepadanya. Setiap orang hendaklah menolongnya, supaya dia dapat meneruskan perjalanan dengan sejahtera dan datang menemuiku, kerana aku dan beberapa orang saudara lain menunggu kedatangannya.
12 Tentang saudara kita Apolos, aku telah mendesaknya mengunjungimu bersama saudara-saudara yang lain, tetapi dia enggan pergi sekarang ini. Jika ada kesempatan, dia akan datang juga.
13 Berhati-hatilah, berdiri teguh dalam iman, sentiasa berani dan gigih.
14 Lakukan segala-galanya dalam kasih.
15 Saudara-saudaraku, ada satu permintaanku kepadamu. Kamu sedia maklum bahawa Stefanus sekeluarga merupakan hasil pertama pelayananku di Akhaya, dan mereka telah bertekad untuk mengabdikan diri kepada orang salih.
16 Aku meminta supaya kamu tunduk kepada orang yang demikian, dan kepada semua yang turut berusaha dengan kami.
17 Aku gembira bahawa Stefanus, Fortunatus dan Akhaikus telah datang, kerana apa-apa kekuranganku telah dilengkapkan oleh mereka.
18 Mereka telah menyenangkan hatiku dan hatimu. Oleh itu, hargailah orang yang demikian.
19 Jemaah-jemaah di Asia berkirim salam kepadamu. Akwila dan Priskila, serta jemaah di rumah mereka, berkirim salam mesra kepadamu dalam Tuhan.
20 Semua saudara seiman juga berkirim salam kepadamu. Bersalamanlah dengan ciuman suci.
21 Aku juga menyampaikan salam yang kutulis dengan tanganku sendiri – Paulus.
22 Jika ada yang tidak mengasihi Tuhan, terkutuklah dia. Ya Tuhan, datanglah segera!
23 Kasih kurnia Tuhan Yesus Kristus menyertaimu.
24 Kasihku menyertai kamu semua dalam Kristus Yesus. Amin.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Korintus 16
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Korintus 16

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV