1 Surat ini daripada Yudas, hamba Yesus Kristus dan saudara Yakobus, Untuk tatapan mereka yang telah dipanggil dan dikasihi oleh Allah Bapa serta dilindungi oleh Yesus Kristus:
2 Semoga belas kasihan, damai sejahtera dan kasih melimpahimu.
3 Saudara-saudara yang kukasihi, ketika aku cuba menulis kepadamu tentang penyelamatan yang telah kita terima bersama, hatiku tergerak hendak memberikan perangsang kepadamu supaya terus berjuang untuk iman yang telah dikurniakan Allah kepada orang salih-Nya cuma sekali untuk selama-lamanya.
4 Beberapa orang telah menyusup masuk ke dalam golongan kamu tanpa disedari. Merekalah yang dari dahulu lagi telah disebutkan hukumannya dalam Kitab Suci. Merekalah orang mungkar yang menyalahgunakan kasih kurnia Allah kita untuk melakukan maksiat. Mereka tidak mengakui Yesus Kristus sebagai satu-satunya Raja dan Tuhan kita.
5 Sungguhpun kamu sudah maklum segalanya, aku ingin mengingatkanmu bahawa Tuhan telah menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir dan kemudiannya memusnahkan mereka yang tidak percaya.
6 Dan para malaikat yang telah melampaui batas kekuasaan yang dikurniakan Allah hinggakan tergamak meninggalkan tempat yang ditetapkan bagi mereka – Allah telah membelenggu mereka dengan rantai yang kekal dan mengurung mereka dalam kegelapan hingga Hari Penghakiman yang besar itu.
7 Begitu juga halnya dengan para penghuni kota Sodom, Gomora dan bandar-bandar di sekitarnya yang telah melakukan pencabulan dan perbuatan sumbang. Mereka menjadi contoh orang yang mengalami seksaan hukuman api yang kekal.
8 Demikian jugalah sekalian orang itu yang berangan-angan hinggakan mereka melakukan dosa terhadap tubuh badan sendiri. Mereka menghina kekuasaan Allah dan menista para makhluk yang adikudrati .
9 Namun demikian ketua malaikat, Mikhail, tidak berani melafazkan sepatah pun kata nista ketika berbalah dengan Iblis tentang jenazah Musa. Mikhail hanya berkata, “Tuhan murkai kamu!”
10 Sebaliknya, orang itu mencaci hal-hal yang langsung tidak difahami oleh mereka. Ada beberapa perkara yang diketahui mereka, tetapi seperti haiwan yang tidak berakal, mereka hanya mengetahui secara naluri, maka kerana itulah mereka binasa.
11 Malangnya mereka ini! Mereka telah menurut jejak langkah Kain. Seperti Bileam, mereka telah melibatkan diri dengan perbuatan yang sesat, semata-mata untuk mengejar wang. Mereka telah memberontak seperti Korah, maka mereka dimusnahkan.
12 Mereka ini mencemarkan majlis perjamuan kasihmu, kerana mereka seperti gembala yang mencari makanan bagi diri mereka sendiri tanpa segan silu. Mereka seperti awan yang ditiup angin, maka tidak membawa hujan. Mereka ibarat pokok yang tidak berbuah meskipun pada musim buah. Mereka umpama pokok yang telah dicabut dengan akar umbinya dan mengalami dua kali kematian.
13 Mereka laksana ombak ganas di lautan yang membuihkan perbuatan aib. Mereka seperti bintang beredar yang telah ditentukan tempatnya dalam kegelapan yang hitam pekat untuk selama-lamanya.
14 Henokh, keturunan ketujuh daripada Adam, pernah bernubuat tentang mereka: “Lihatlah, Tuhan akan datang dengan ribuan malaikat-Nya yang suci.
15 Dia akan menghakimi seluruh umat manusia dan menghukum orang yang derhaka kerana perbuatan durjana mereka, dan juga semua caci nista orang yang berdosa terhadap-Nya.”
16 Orang sedemikian sentiasa bersungut dan menyalahkan orang lain. Mereka menurut hawa nafsu durjana. Mereka memuji diri sendiri dan mengampu orang tertentu untuk mendapat keuntungan.
17 Namun demikian, saudara-saudaraku yang dikasihi, ingatlah kata-kata para rasul Tuhan kita Yesus Kristus.
18 Mereka telah berkata kepadamu, “Pada akhir zaman nanti, orang akan tampil dan mengejek-ejekmu. Mereka itu orang yang menurut hawa nafsu yang mungkar.”
19 Merekalah yang menjadikan jemaah porak-peranda. Mereka tidak dipimpin oleh Roh tetapi dikuasai oleh hawa nafsu sendiri.
20 Tetapi kamu, saudara-saudaraku yang dikasihi, teruskanlah usaha membina hidup yang berasaskan iman yang paling murni. Berdoalah dengan bimbingan Roh Kudus.
21 Hiduplah di bawah naungan kasih Allah sementara menunggu belas kasihan Tuhan kita Yesus Kristus yang akan menganugerahimu hidup kekal.
22 Amalkan sikap belas kasihan kepada orang yang kurang yakin.
23 Berusahalah menyelamatkan orang daripada api. Namun demikian, tunjukkan belas kasihan sesama manusia dengan gentar. Bahkan bencilah pakaian mereka yang dinodai oleh hawa nafsu duniawi.
24 Dia berkuasa memeliharamu supaya kamu tidak tersandung, dan membawamu ke hadirat-Nya yang mulia tanpa cacat cela dan dengan penuh sukacita.
25 Dialah Allah yang esa, Penyelamat kita melalui Yesus Kristus, Tuhan kita. Bagi Dialah kemuliaan, keagungan, kekuasaan dan kuasa sejak dahulu hingga sekarang dan untuk selama-lamanya. Amin.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yudas 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yudas 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV