1 Setelah itu, aku mendengar suara orang yang amat banyak di syurga berseru lantang, “Haleluya! Penyelamatan dan kemuliaan dan kuasa bagi Allah kita!
2 Kerana segala penghakiman-Nya benar dan adil, kerana Dia telah menghakimi pelacur besar yang telah mencemarkan dunia dengan perzinaannya; dan Dia telah menghukumnya kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Nya!”
3 Mereka berkata lagi, “Haleluya! Asap api yang membakarnya naik menjulang selama-lamanya!”
4 Dua puluh empat orang tua-tua dan empat makhluk itu pun sujud menyembah Allah yang bersemayam di atas takhta sambil berkata, “Amin! Haleluya!”
5 Kemudian kedengaran suara dari takhta berkata, “Pujilah Allah kita, hai kamu sekalian hamba-Nya dan orang yang takut akan Dia, baik yang kecil mahupun yang besar!”
6 Kemudian aku mendengar bunyi seperti suara orang yang sangat banyaknya, seperti deru air dan bunyi guruh yang amat hebat, berkata, “Haleluya! Kerana Tuhan, Allah kita, Yang Maha Kuasa sedang bertakhta!
7 Bergembira dan bersukacitalah serta muliakan Dia, kerana saat perkahwinan Anak Domba telah tiba, dan isteri-Nya sudah menyediakan dirinya.
8 Isterinya diberi kain linen yang halus, suci berseri-seri untuk dipakai.” (Kain linen yang halus melambangkan segala perbuatan benar yang dilakukan oleh orang salih.)
9 Kemudian dia berkata kepadaku, “Tulislah: Diberkatilah mereka yang dijemput ke jamuan kahwin Anak Domba!” Katanya lagi kepadaku, “Inilah firman Allah yang benar.”
10 Aku sujud di kakinya untuk menyembahnya, tetapi dia berkata, “Jangan buat begitu! Aku hamba Allah sepertimu, dan seperti saudara-saudaramu yang memiliki kesaksian Yesus. Sembahlah Allah! Kesaksian Yesus itu roh nubuat.”
11 Kemudian aku melihat syurga terbuka, dan kelihatan seekor kuda putih. Dia yang menunggangnya dipanggil Setia dan Benar, dan dengan keadilan Dia menghakimi serta memerangi.
12 Mata-Nya seperti nyala api, dan di atas kepala-Nya terletak mahkota yang banyak. Ada satu nama tertulis pada-Nya, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun selain Dia.
13 Dia memakai jubah yang bercelup darah dan nama-Nya Firman Allah.
14 Segala tentera syurga, berpakaian kain linen halus yang putih bersih, menunggang kuda putih mengiringi-Nya.
15 Sekarang dari mulut-Nya keluar pedang yang tajam untuk diparangkan kepada segala bangsa. Dia sendiri akan memerintah mereka dengan tombak besi. Dia sendiri menginjak pengirik air anggur kemurkaan Allah Maha Kuasa.
16 Pada jubah dan paha-Nya tertulis nama: “Raja Segala Raja, Tuan Segala Tuan”
17 Kemudian aku melihat malaikat berdiri di matahari, berseru lantang kepada burung-burung yang terbang di udara, “Marilah berhimpun untuk makan malam Allah Yang Maha Besar!
18 Kamu akan makan daging raja, panglima, orang berkuasa, kuda dan penunggangnya, dan semua orang, baik hamba mahupun merdeka, baik kecil mahupun besar.”
19 Aku melihat binatang itu, raja-raja dunia dan tentera mereka berhimpun untuk memerangi Dia yang berkuda itu serta tentera-Nya.
20 Kemudian binatang itu ditawan, dan bersamanya nabi palsu yang mengadakan pelbagai tanda di hadapannya dan dengan demikian memperdaya orang yang telah menerima tanda binatang itu serta orang yang menyembah patungnya. Kedua-duanya dihumbankan hidup-hidup ke dalam lautan api yang menyala dengan belerangnya.
21 Yang lain dibunuh dengan pedang yang keluar daripada Dia yang berkuda. Burung-burung kenyang makan daging mereka.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Wahyu 19
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Wahyu 19

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV