1 Dua hari lagi akan tibalah Perayaan Paskah dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat mencari jalan untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya.
2 Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.”
3 Ketika itu Yesus berada di Betania di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Yesus duduk bertelekan di meja, seorang wanita datang membawa kendi pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Yesus.
4 Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, “Mengapa dibazirkan minyak wangi ini?
5 Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang dinar dan wangnya disedekahkan kepada orang miskin.” Mereka memarahi wanita itu.
6 Tetapi Yesus berkata, “Biarkan dia begitu. Mengapakah kamu menyusahkannya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku.
7 Orang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu.
8 Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia menuangkan minyak wangi ke atas tubuh-Ku sebagai persiapan bagi pengebumian-Ku.
9 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.”
10 Selepas itu Yudas Iskariot, seorang daripada murid Yesus yang dua belas itu, pergi kepada ketua-ketua imam untuk mengkhianati-Nya dan menyerahkan-Nya kepada mereka.
11 Ketika mendengar kata-katanya mereka pun sukacita dan berjanji akan memberinya wang. Sejak itu Yudas mencari peluang untuk mengkhianati Yesus.
12 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, ketika mereka menyembelih anak domba Paskah, para murid Yesus berkata kepada-Nya, “Di manakah Engkau mahu kami pergi menyediakan jamuan Paskah untuk-Mu?”
13 Dia menghantar dua orang murid-Nya dan berkata kepada mereka, “Pergilah ke dalam kota. Seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia.
14 Di mana dia masuk, katakan kepada tuan rumah, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’
15 Dia akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas, lengkap dengan perabot dan telah siap disediakan. Di situlah kamu membuat persiapan untuk kita.”
16 Kedua-dua murid-Nya itu berangkat pergi ke kota, dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah.
17 Pada waktu lewat petang, Dia datang bersama murid-murid-Nya yang dua belas itu.
18 Sedang mereka duduk menikmati jamuan, Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripada kamu yang makan bersama-Ku akan mengkhianati-Ku.”
19 Mereka mula berdukacita. Seorang demi seorang berkata kepada-Nya, “Akukah orang itu?”
20 Yesus menjawab, “Dia seorang daripada dua belas yang mencecah roti bersama ke dalam bekas.
21 Anak Manusia memanglah harus pergi, seperti yang tersurat tentang-Nya. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik baginya jika dia tidak dilahirkan.”
22 Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan dan memberikannya kepada murid-murid-Nya sambil berkata, “Ambillah, ini tubuh-Ku.”
23 Kemudian Dia mengambil cawan air anggur, dan selepas mengucap syukur, Dia memberikannya kepada mereka, lalu mereka semua minum dari cawan itu.
24 Dia berkata kepada mereka, “Ini darah perjanjian-Ku yang ditumpahkan untuk ramai orang.
25 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah pada hari Aku minum yang baru dalam kerajaan Allah.”
26 Setelah menyanyikan sebuah lagu suci, mereka pun beredar ke Bukit Zaitun.
27 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Malam ini, kamu semua akan goyah kerana-Ku, seperti yang telah tersurat: ‘Aku akan merebahkan Gembala, dan kawanan domba akan bertempiaran.’ ”
28 “Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan mendahului kamu ke Galilea.”
29 Petrus berkata kepada-Nya, “Kalaupun semua yang lain goyah, aku tidak akan goyah.”
30 Yesus berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, pada malam ini sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.”
31 Tetapi Petrus berkata dengan lebih tegas lagi, “Kalaupun aku terpaksa mati bersama-Mu, aku tidak akan menyangkal-Mu.” Semua yang lain pun berkata demikian.
32 Mereka sampai di suatu tempat yang dinamakan Getsemani. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.”
33 Dia membawa Petrus, Yakobus dan Yohanes bersama-Nya, dan Dia mula berasa gundah dan resah.
34 Dia berkata kepada mereka, “Jiwa-Ku sungguh dukacita, bagaikan mati. Duduklah di sini, dan berjagalah.”
35 Dia pergi jauh sedikit lagi, lalu merebahkan diri ke tanah, dan berdoa kalau dapat, saat itu diedarkan daripada-Nya.
36 Kata-Nya, “Abba, Bapa, segala-galanya dapat Kaulakukan. Edarkanlah cawan ini daripada-Ku. Namun demikian, bukanlah kehendak-Ku tetapi kehendak-Mu yang terlaksana.”
37 Kemudian Dia kembali kepada murid-murid-Nya dan mendapati mereka tertidur, lalu Dia berkata kepada Petrus, “Simon, kamu tidurkah? Satu jam pun kamu tidak dapat berjaga?
38 Berjaga dan berdoalah, takut nanti kamu tergoda. Memang rohani rela, tetapi jasmani lemah.”
39 Dia pergi berdoa lagi, dengan kata-kata yang sama.
40 Apabila Dia kembali, didapati-Nya mereka telah tertidur lagi, kerana mata mereka amat mengantuk. Mereka tidak tahu apa yang hendak dijawab kepada-Nya.
41 Setelah Dia datang kepada mereka bagi kali ketiga, Dia berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat? Cukuplah! Waktunya sudah tiba. Lihat, Anak Manusia sedang dikhianati dan diserahkan ke tangan orang berdosa.
42 Bangunlah! Mari kita pergi! Lihat, pengkhianat-Ku sudah tiba!”
43 Sesaat kemudian, ketika Dia masih berkata-kata, seorang daripada murid-Nya yang dua belas itu, iaitu Yudas datang dengan orang yang sangat ramai dan bersenjatakan pedang serta belantan. Mereka datang daripada ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan tua-tua.
44 Pengkhianat Yesus telah menetapkan satu isyarat dengan mereka: “Yang kucium nanti, itulah Dia. Tangkap Dia dan bawalah Dia pergi dengan selamat.”
45 Sebaik-baik Yudas tiba, dia pergi kepada Yesus sambil berkata, “Rabbi!” lalu mencium-Nya.
46 Mereka pun menangkap Yesus dan membawa-Nya pergi.
47 Seorang daripada yang berdiri di situ menghunus pedangnya lalu menetak hamba imam besar, sehingga terputus telinganya.
48 Yesus berkata kepada mereka, “Patutkah kamu datang bagaikan hendak menangkap perompak, dengan pedang dan belantan, untuk membawa-Ku pergi?
49 Setiap hari Aku dalam kalanganmu, mengajar di Bait Suci, dan kamu tidak menangkap-Ku. Tetapi yang tersurat dalam Kitab Suci mestilah terlaksana.”
50 Setelah itu, semua murid Yesus meninggalkan-Nya dan masing-masing melarikan diri.
51 Seorang pemuda mengikut-Nya, dengan hanya sehelai kain linen membalut tubuhnya. Pemuda-pemuda lain menangkapnya,
52 lalu dia melucutkan kain linen itu dan melarikan diri daripada mereka dalam keadaan telanjang.
53 Yesus dibawa kepada imam besar. Bersamanya berhimpun semua ketua imam, tua-tua, dan ahli-ahli Taurat.
54 Petrus mengikut Yesus dari jauh, turut masuk ke laman dalam rumah imam besar, dan duduk dalam kalangan hamba, berdiang di situ.
55 Ketua-ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari kesaksian terhadap Yesus supaya dapat membunuh-Nya, tetapi mereka tidak berjaya.
56 Ramai yang memberi kesaksian palsu terhadap-Nya, tetapi kesaksian mereka semua bercanggah.
57 Kemudian beberapa orang bangkit memberi kesaksian palsu terhadap-Nya dengan berkata,
58 “Kami telah mendengar Dia berkata, ‘Aku akan membinasakan Bait Suci yang diperbuat dengan tangan ini, dan dalam tiga hari Aku akan membina Bait Suci yang diperbuat tanpa tangan.’ ”
59 Tetapi kesaksian mereka masih bercanggah.
60 Imam besar bangkit berdiri di tengah-tengah kesaksian itu lalu bertanya kepada Yesus, “Tidakkah Kamu mahu menjawab apa-apa? Apakah yang didakwakan oleh mereka ini terhadap-Mu?”
61 Tetapi Yesus berdiam diri, tidak menjawab sepatah pun. Imam besar itu bertanya lagi kepada-Nya, “Adakah Kamu Kristus, Anak Allah Yang Termulia?”
62 Yesus menjawab, “Ya, Akulah Dia. Kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Maha Kuasa, dan datang dalam awan di langit.”
63 Imam besar itu lalu mengoyak-ngoyakkan pakaiannya sambil berkata, “Adakah kita perlukan saksi lagi?
64 Kamu telah mendengar kata-kata kufur-Nya sendiri! Apakah pendapatmu?” Lalu mereka semua menjatuhkan hukum ke atas-Nya, bahawa Dia patut dibunuh.
65 Kemudian sesetengah mereka mulai meludahi-Nya, membalut mata-Nya lalu memukul-Nya dan berkata kepada-Nya, “Bernubuatlah!” Pengawal-pengawal pula menampar-Nya.
66 Petrus ada di bawah, di laman dalam. Seorang hamba perempuan imam besar datang ke situ.
67 Apabila dia melihat Petrus sedang berdiang memanaskan tubuhnya, dia memandang Petrus dan berkata, “Kamu juga bersama Yesus orang Nazaret.”
68 Petrus menyangkal, katanya, “Aku tidak tahu dan tidak faham apa yang kaukatakan.” Dia keluar ke serambi depan, lalu ayam berkokok.
69 Hamba perempuan itu melihatnya lagi, lalu mula berkata kepada orang yang berdiri di situ, “Ini seorang daripada mereka.”
70 Petrus menyangkalnya lagi. Sejurus kemudian, mereka yang berdiri di situ berkata pula kepada Petrus, “Sudah tentu kamu seorang daripada mereka, kerana kamu orang Galilea.”
71 Petrus pun mengucapkan kutuk dan sumpah, “Aku tidak kenal orang yang kaukatakan itu!”
72 Ayam pun berkokok bagi kali kedua. Lalu Petrus teringat kata-kata Yesus kepadanya: “Sebelum ayam berkokok dua kali, kamu akan menyangkal-Ku tiga kali.” Memikirkan perkara itu, Petrus menangis dengan kesalnya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Markus 14
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Markus 14
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Markus

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV