1 Aku mahu kamu tahu betapa perasaanku bergolak keranamu dan orang Laodikia, juga semua yang belum lagi bertemu muka denganku.
2 Aku ingin hati mereka terhibur, terjalin rapat dalam kasih, dan mereka mencapai pengertian penuh dalam segala kekayaan serta kepastiannya, supaya mereka mengetahui rahsia Allah Bapa dan Kristus,
3 yang dalam-Nya tersembunyi seluruh harta kebijaksanaan dan pengetahuan.
4 Aku mengatakan ini supaya kamu tidak tertipu dengan hujah.
5 Sungguhpun tubuhku tiada di sisimu, namun rohku tetap bersamamu, dan aku sukacita kerana melihat keadaanmu yang teratur rapi dan imanmu yang kukuh dalam Kristus.
6 Oleh sebab kamu telah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan, hiduplah melangkah dalam Dia,
7 berasas dan terbina dalam-Nya serta bertapak teguh dalam iman, sebagaimana kamu telah diajar, penuh melimpah dengan kesyukuran.
8 Awaslah, jangan tertipu oleh orang yang menggunakan falsafah dan tipu daya yang sia-sia, menurut adat manusia, menurut ajaran asas dunia, bukan menurut Kristus.
9 Dalam-Nya terhimpun seluruh ketuhanan berbentuk jasmani,
10 dan kamu sempurna dalam-Nya, yang merupakan kepala segala perintah dan kuasa.
11 Dalam-Nya juga kamu telah disunatkan dengan persunatan tanpa menggunakan tangan, iaitu dengan membuangkan segala dosa hawa nafsu dunia daripada tubuhmu, melalui persunatan Kristus.
12 Kamu telah dikuburkan bersama-Nya dengan baptisan, dan telah dibangkitkan bersama-Nya melalui iman dalam kuasa Allah yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian.
13 Kamu dahulu mati kerana melakukan dosa dan kerana tidak bersunat secara lahiriah. Allah telah menghidupkan kamu bersama Tuhan dan mengampunkan segala kesalahanmu.
14 Dia telah memansuhkan hukum-hukum bertulis yang menghimpit dan menghalang kita; Dia telah mencabutnya dan memakukannya pada salib.
15 Setelah menumpaskan segala roh yang berkuasa dan memerintah, Dia mendedahkan mereka di hadapan orang ramai dan menunjukkan bahawa Dia telah menakluki mereka dalam salib.
16 Oleh itu, janganlah siapa pun menghakimi kamu tentang makanan atau minuman, hari raya, bulan baru atau hari Sabat.
17 Segala ini hanya bayang-bayang perkara akan datang, sedangkan yang nyata ialah Kristus.
18 Janganlah ganjaranmu dikurangkan oleh seseorang yang pura-pura bersikap rendah diri dan menyembah malaikat. Orang seperti itu berpaut pada penglihatan-penglihatannya dan tanpa alasan menyombongkan dirinya dengan fikiran-fikirannya yang duniawi,
19 dan tidak berpegang teguh pada Kristus sebagai Kepala. Daripada-Nya seluruh tubuh, yang dibesarkan dan dijalin rapat dengan sendi urat, bertumbuh seperti yang dikehendaki oleh Allah.
20 Oleh itu, jika kamu telah mati bersama Kristus daripada ajaran asas dunia, mengapakah kamu berkelakuan seolah-olah kamu hidup berpandukan kebiasaan dunia, dengan mematuhi peraturan-peraturannya, iaitu:
21 “Jangan sentuh! Jangan kecap! Jangan pegang!”?
22 Peraturan sedemikian melibatkan perkara-perkara yang lenyap setelah dipakai. Mengapa kamu masih menurut hukum-hukum dan pengajaran manusia?
23 Peraturan-peraturan begini memang kelihatan seolah-olah bijaksana, dalam pegangan agama yang dikenakan pada diri sendiri, sikap merendah diri yang palsu, dan pengabaian tubuh, tetapi segalanya tidak menolong kamu melawan hawa nafsu dunia.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kolose 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kolose 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV