1 Kemudian, beberapa orang datang dari Yudea dan mengajar murid Yesus di Antiokhia, “Jika kamu tidak disunatkan menurut adat Musa, kamu tidak akan mendapat penyelamatan.”
2 Ini menyebabkan Paulus dan Barnabas banyak berbahas dan berbantah dengan mereka itu. Akhirnya diputuskan bahawa Paulus dan Barnabas serta beberapa orang lain pergi ke Yerusalem berjumpa dengan para rasul dan tua-tua untuk bertanyakan persoalan tersebut.
3 Jemaah menghantar mereka sampai ke luar kota. Semasa mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bagaimana orang bangsa asing telah percaya kepada Yesus. Murid-murid Yesus di situ amat sukacita mendengarnya.
4 Setelah sampai di Yerusalem, jemaah dan para rasul serta tua-tua menyambut mereka. Mereka pun menceritakan segala perkara yang telah dilakukan Allah melalui mereka.
5 Akan tetapi, beberapa orang daripada mazhab Farisi yang telah mempercayai Yesus bangkit lalu berkata, “Orang bangsa asing itu haruslah disunatkan dan wajib menurut Taurat Musa.”
6 Para rasul dan tua-tua berkumpul untuk menyelidik serta membincangkan perkara itu.
7 Setelah perkara itu banyak dibincangkan, Petrus berdiri lalu berkata, “Saudara-saudara semuanya tahu bahawa Allah telah memilihku sejak dahulukala daripada kalangan kita semua untuk menyampaikan firman-Nya tentang perkhabaran Injil kepada bangsa asing, lalu mereka percaya.
8 Allah yang mengetahui hati manusia telah bersaksi akan mereka itu dengan memberi mereka Roh Kudus sebagaimana diberi-Nya kepada kita.
9 Allah tidak membezakan mereka dengan kita sedikit pun. Dia menyucikan hati mereka kerana iman mereka.
10 Sekarang ini mengapa saudara-saudara menduga Allah dengan meletakkan pada leher murid-murid suatu beban yang tidak dapat ditanggung oleh nenek moyang kita, malah oleh kita ini juga?
11 Kami percaya hanya dengan kasih kurnia Tuhan Yesus dapat kita berharap untuk diselamatkan, samalah seperti orang bangsa asing itu.”
12 Orang ramai pun diam lalu mendengar Barnabas dan Paulus menceritakan segala tanda dan mukjizat yang dilakukan Allah dalam kalangan bangsa asing melalui mereka berdua.
13 Setelah mereka habis bercerita, Yakobus pula berkata, “Saudara-saudara, dengarlah.
14 Simon telah menceritakan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bangsa asing dan memilih daripada kalangan mereka suatu kaum untuk menjadi umat bagi nama-Nya.
15 Hal ini selaras dengan nubuat nabi-nabi yang tersurat:
16 ‘Setelah itu, Aku akan kembali dan membina semula khemah Daud yang roboh; dan segala keruntuhannya akan Kubangunkan, lalu Kutegakkan semula,
17 supaya semua bangsa yang lain akan mencari Tuhan, bangsa asing yang Kupanggil menjadi umat-Ku.’
18 Demikianlah firman Tuhan yang telah melakukan semua ini dan yang telah menyatakannya sejak dahulukala.
19 “Oleh itu, pada fikiranku janganlah kita menyusahkan orang bangsa asing yang telah mempercayai Allah;
20 tetapi hendaklah kita berkirim surat kepada mereka dan menasihati mereka supaya menjauhkan diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada perbuatan cabul, daripada daging binatang yang mati dicekik dan daripada darah.
21 Sejak dahulukala di setiap negeri ada orang yang menyebarkan berita tentang Musa dan membaca Tauratnya di saumaah pada hari Sabat.”
22 Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu.
23 Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi: “Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bangsa asing yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia.
24 Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami.
25 Oleh itu, kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi,
26 iaitu orang yang telah mempertaruhkan nyawa kerana nama Tuhan kita Yesus Kristus.
27 Kami telah memilih Yudas dan Silas untuk pergi menyampaikan kepada saudara-saudara
28 pesan daripada Roh Kudus dan daripada kami: iaitu janganlah diletakkan ke atas saudara-saudara beban yang lebih berat daripada yang perlu.
29 Cuma, jauhkanlah diri daripada makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, daripada daging binatang yang mati dicekik, daripada darah dan daripada perbuatan cabul. Jika saudara-saudara memeliharakan diri daripada segala ini, saudara-saudara melakukan hal yang betul. Sekian, selamat sejahtera.”
30 Mereka yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Di sana mereka menghimpunkan jemaah dan menyampaikan surat.
31 Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu memberi perangsang kepada mereka.
32 Yudas dan Silas itu kedua-duanya nabi. Mereka menasihati dan menetapkan hati saudara-saudara seiman di situ.
33 Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ beberapa waktu, jemaah melepaskan mereka untuk pulang dengan kesejahteraan kepada orang yang mengutus mereka.
34 [Akan tetapi, Silas memutuskan untuk tetap tinggal di situ.]
35 Paulus dan Barnabas tinggal di Antiokhia beberapa lama sambil mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama ramai orang lain.
36 Kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, “Sekarang baiklah kita melawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Yesus di semua kota yang telah kita sampaikan firman Tuhan, untuk melihat bagaimana hal mereka.”
37 Barnabas hendak membawa Yohanes yang juga bergelar Markus
38 tetapi Paulus tidak bersetuju kerana Markus telah meninggalkan mereka di Pamfilia dan tidak ikut serta menjalankan tugas.
39 Oleh itu, timbul perselisihan sengit dan mereka berpisah: Barnabas membawa Markus belayar ke Siprus
40 manakala Paulus memilih Silas sebagai teman seperjalanannya. Setelah jemaah menyerahkan mereka kepada kasih kurnia Tuhan, mereka pun berangkat.
41 Mereka menjelajahi Siria dan Kilikia sambil menetapkan hati jemaah di situ.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 15
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 15

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV