1 Kemudian, selepas empat belas tahun, aku naik lagi ke Yerusalem dengan Barnabas, serta membawa Titus bersama.
2 Aku pergi ke sana untuk mematuhi wahyu yang diterima daripada Allah, dan membentangkan kepada mereka Injil yang kukhabarkan dalam kalangan bangsa asing. Tetapi aku melakukan ini secara persendirian kepada orang yang terkemuka, takut kalau-kalau pekerjaanku sia-sia, baik pada masa itu mahupun sebelum itu.
3 Namun demikian, walaupun Titus yang bersamaku itu seorang Yunani, dia pun tidak dipaksa bersunat.
4 Ini disebabkan beberapa orang yang pura-pura beriman telah dibawa masuk. Mereka mencuri-curi masuk untuk mengintip kebebasan yang kami miliki dalam Kristus Yesus agar mereka dapat memperhamba kami.
5 Namun demikian, seketika pun kami tidak tunduk menyerah kepada mereka, supaya kebenaran Injil tetap bersamamu.
6 Tetapi daripada orang yang kelihatan berwibawa – walau apa pun mereka, sama sahaja bagiku; Allah tidak bersikap pilih kasih kepada sesiapa – mereka tidak menambah apa-apa kepada pengajaranku.
7 Sebaliknya, mereka menyedari bahawa penyampaian Injil kepada orang yang tidak bersunat telah diamanahkan kepadaku, sebagaimana penyampaian Injil kepada orang yang bersunat telah diamanahkan kepada Petrus.
8 Kerana Dia yang telah bekerja dengan berkesan dalam Petrus bagi pengutusan kepada orang yang bersunat, telah bekerja dengan berkesan juga dalamku bagi pengutusan kepada orang yang tidak bersunat.
9 Dan apabila Yakobus, Petrus dan Yohanes, yang dipandang sebagai tiang asas yang kukuh, menyedari kasih kurnia yang telah diberikan kepadaku, mereka berjabat tangan denganku dan Barnabas sebagai tanda persahabatan, supaya kami pergi kepada bangsa asing manakala mereka pergi kepada orang yang bersunat.
10 Mereka hanya meminta agar kami ingat akan orang miskin, sesuatu yang sememangnya hendak kulakukan.
11 Tetapi apabila Petrus datang ke Antiokhia, aku bersemuka dengannya dan membantah perbuatannya, kerana dia bersalah.
12 Sebelum beberapa orang datang daripada Yakobus, Petrus makan bersama bangsa asing. Akan tetapi apabila mereka datang, dia berundur dan mengasingkan diri, disebabkan takut akan orang yang berpegang kepada persunatan.
13 Orang Yahudi yang lain turut bersikap munafik, sehingga Barnabas pun tersesat kerana kemunafikan itu.
14 Aku lihat kelakuan mereka itu tidak menepati kebenaran Injil, lalu aku berkata kepada Petrus di hadapan semuanya, “Jika kamu, orang Yahudi, hidup seperti orang bangsa asing dan tidak seperti orang Yahudi, mengapakah kamu memaksa orang bangsa asing menurut adat orang Yahudi?”
15 Kita memang asal orang Yahudi bukan orang berdosa daripada bangsa asing;
16 tetapi kita mengetahui bahawa seseorang itu diperbenar bukanlah kerana mengerjakan hukum Taurat tetapi kerana beriman akan Kristus Yesus. Oleh itu, kita pun mempercayai Kristus, supaya kita diperbenar kerana beriman akan Kristus, bukan kerana mengerjakan hukum Taurat. Tiada seorang pun manusia yang diperbenar kerana mengerjakan hukum Taurat.
17 Tetapi, ketika kita berusaha untuk diperbenar melalui Kristus, ternyata kita sendiri didapati berdosa, adakah ini bermakna Kristus hamba kepada dosa? Tidak sekali-kali!
18 Kalaulah kubina semula apa yang pernah kuruntuhkan, nyatalah aku seorang pelanggar hukum.
19 Melalui hukum Taurat, aku telah mati kepada hukum itu untuk hidup kepada Allah.
20 Aku telah disalib bersama Kristus, bukanlah aku lagi yang hidup, tetapi Kristus yang hidup dalam aku. Dalam hidup jasadku sekarang aku hidup dengan iman kepada Anak Allah, yang mengasihiku dan menyerahkan diri-Nya untukku.
21 Aku tidak mengetepikan kasih kurnia Allah, kerana jika pembenaran datang daripada hukum Taurat, sia-sialah kematian Kristus!

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Galatia 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Galatia 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV