1 Daripada Paulus, rasul Kristus Yesus dengan kehendak Allah, Kepada semua orang salih di Efesus, iaitu orang yang beriman kepada Kristus Yesus:
2 Kasih kurnia dan damai sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Tuhan Yesus Kristus.
3 Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, yang telah memberkati kita dengan segala berkat rohani di syurga dalam Kristus.
4 Sebabnya Dia telah memilih kita dalam Kristus sebelum dunia ini dijadikan, supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya. Dalam kasih,
5 Dia telah menentukan kita dari mulanya untuk diangkat sebagai anak oleh Yesus Kristus kepada diri-Nya, menurut keredaan dan kehendak-Nya –
6 supaya terpujilah kemuliaan kasih kurnia-Nya, yang dirahmati-Nya kepada kita dalam Dia yang dikasihi-Nya.
7 Dalam-Nya kita mendapat penebusan melalui darah-Nya, pengampunan dosa, menurut limpah kasih kurnia-Nya
8 yang dilimpahkan-Nya kepada kita dengan segala kebijaksanaan dan pengertian.
9 Dia memberitahu kita rahsia kehendak-Nya, menurut keredaan-Nya yang sudah ditentukan-Nya dalam Kristus,
10 bahawa setelah sampai masa pelaksanaannya – Dia akan menyatukan segala sesuatu di bawah Kristus sebagai Kepala, baik yang di syurga mahupun yang di bumi.
11 Dalam-Nya juga kita telah mendapat warisan, kerana telah ditentukan dari mulanya menurut maksud Allah yang melakukan segalanya seperti pertimbangan kehendak-Nya,
12 bahawa kami yang mula-mula menaruh harapan pada Kristus akan mendatangkan puji bagi kemuliaan-Nya.
13 Kamu juga dalam Kristus setelah mendengar kata kebenaran, iaitu Injil tentang penyelamatanmu. Dan dalam-Nya, setelah mempercayai-Nya, kamu telah dimaterai dengan Roh Kudus yang dijanjikan-Nya,
14 yang menjadi jaminan bagi warisan kita hingga penebusan orang yang dimiliki Allah – segala puji bagi kemuliaan-Nya.
15 Oleh itu aku juga, setelah mendengar bahawa kamu beriman kepada Tuhan Yesus dan mengasihi semua orang yang salih,
16 tidak putus-putus bersyukur tentangmu dan menyebutmu dalam doaku.
17 Aku berdoa semoga Allah Tuhan kita Yesus Kristus, iaitu Bapa kemuliaan, memberimu roh kebijaksanaan dan wahyu untuk mengenali-Nya.
18 Semoga Allah menerangkan mata hatimu untuk mengetahui harapan daripada panggilan-Nya, limpah kemuliaan warisan-Nya dalam orang yang salih,
19 dan betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman. Demikianlah pelaksanaan kuasa-Nya yang agung itu
20 dalam Kristus apabila membangkitkan-Nya daripada kematian dan mendudukkan-Nya di sebelah kanan-Nya di syurga.
21 Allah meletakkan Kristus jauh di atas segala penguasa dan kekuasaan, kuasa dan pemerintahan, dan setiap nama yang dinamakan, bukan sahaja pada zaman ini tetapi juga pada zaman akan datang.
22 Allah meletakkan segalanya di bawah kaki-Nya dan menjadikan-Nya Kepala semua hal ehwal jemaah,
23 yang merupakan tubuh-Nya, disempurnakan oleh Dia yang menyempurnakan segala-galanya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Efesus 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Efesus 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke