1 Saudara-saudaraku! Aku tidak dapat bercakap denganmu seperti dengan orang yang mempunyai Roh Kudus. Aku terpaksa bercakap denganmu seperti dengan orang yang masih hidup secara duniawi atau yang masih mentah dalam Kristus.
2 Dulu aku memberimu susu kerana kamu belum sedia menerima makanan pepejal. Tetapi sekarang pun kamu masih belum bersedia menerimanya.
3 Sebabnya kamu masih hidup secara duniawi. Kamu berdengki-dengkian dan berbalah; bukankah itu tanda kamu masih hidup secara duniawi, sama seperti manusia biasa?
4 Apabila seorang daripadamu berkata, “Aku mengikut Paulus” dan seorang lagi berkata, “Aku mengikut Apolos”, bukankah kelakuanmu sama seperti kelakuan orang dunia ini?
5 Siapakah Apolos? Siapakah Paulus? Kami hanyalah hamba Allah yang memimpinmu ke arah iman terhadap Kristus. Kami sekadar menjalankan tugas yang ditetapkan oleh Tuhan.
6 Aku menyemaikan benih manakala Apolos menyiram, tetapi Allah yang membolehkan tanaman itu tumbuh.
7 Yang menyemaikan benih dan yang menyiram tidak penting. Hanya Allah yang penting, kerana Dialah yang membolehkan tanaman itu tumbuh.
8 Yang menyemaikan benih dan yang menyiram mempunyai kedudukan yang sama. Allah akan mengurniakan ganjaran berdasarkan kerja masing-masing.
9 Kami sama-sama pekerja Allah, dan kamu ibarat ladang Allah. Kamu juga boleh diumpamakan sebagai bangunan Allah.
10 Dengan kasih kurnia Allah, aku sebagai pembina yang mahir telah meletakkan asas bangunan itu, lalu orang lain membina bangunan di atas asas itu. Setiap orang yang membina perlu berhati-hati.
11 Kerana tiada siapa yang dapat meletakkan asas selain asas yang telah tersedia, iaitu Yesus Kristus.
12 Ada orang yang menggunakan emas, perak atau permata untuk membina bangunan di atas asas itu. Ada pula yang menggunakan kayu, rumput kering atau jerami.
13 Mutu kerja setiap orang akan terserlah pada hari Tuhan datang kembali, kerana ia akan diuji dengan api.
14 Sekiranya bangunan yang didirikan di atas asas itu tahan api, pembinanya akan mendapat ganjaran.
15 Sebaliknya, jika bangunan yang dibina oleh seseorang itu dimakan api, dia akan kerugian, walaupun dirinya terselamat seperti orang yang terlepas daripada kebakaran.
16 Kamu tentu tahu bahawa kamu bait Allah, kerana Roh Allah tinggal di dalam dirimu.
17 Oleh itu, sekiranya seseorang memusnahkan Bait Allah, Allah akan memusnahkan orang itu, kerana Bait Allah itu suci dan kamulah bait Allah itu.
18 Janganlah menipu diri. Jika sesiapa dalam kalanganmu menganggap dirinya bijak berdasarkan penilaian dunia, dia harus menjadikan dirinya bodoh di mata dunia supaya dia benar-benar bijak;
19 kerana apa yang dipandang dunia sebagai kebijaksanaan sebenarnya kebodohan di mata Allah. Telah tersurat: “Allah memerangkap orang bijak dengan kecerdikan mereka sendiri.”
20 Juga tersurat: “Tuhan mengetahui fikiran orang bijak itu sia-sia.”
21 Jadi, janganlah bermegah dengan perbuatan manusia, kerana segala-galanya telah dikurniakan kepadamu.
22 Paulus, Apolos, Kefas, dunia ini, hidup dan mati, zaman ini dan zaman akan datang, segala-galanya milikmu,
23 dan kamu milik Kristus, dan Kristus milik Allah.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Korintus 3
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Korintus 3

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV