1 Oleh itu, apakah kelebihan seorang Yahudi, dan apakah manfaat persunatan?
2 Sungguh banyak dalam segala hal! Terutamanya kerana Firman Allah dipercayakan kepada mereka.
3 Jika sesetengah mereka tidak beriman, adakah ini menjadikan kesetiaan Allah tidak berkesan?
4 Sama sekali tidak! Allah tetap benar biarpun setiap manusia itu pembohong. Sebagaimana tersurat: “Supaya Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan akan menang apabila Engkau dihakimi.”
5 Tetapi jika kemungkaran kita menunjukkan perbenaran Allah, apa yang harus kita katakan? Adakah Allah tidak adil menimpakan kemurkaan-Nya? (Aku bercakap sebagai seorang manusia.)
6 Sama sekali tidak! Kerana jika demikian, bagaimana Allah dapat menghakimi dunia!
7 Jika kebenaran Allah bertambah kerana aku mendustai kemuliaan-Nya, mengapa aku tetap dihakimi sebagai orang berdosa?
8 Dan mengapa tidak dikatakan, “Mari kita berbuat jahat supaya hasilnya baik.” Demikian orang memfitnahkan kita berkata dan sesetengahnya menegaskan bahawa kita berkata begitu. Hukuman atas mereka itu memang wajar.
9 Jadi bagaimana? Adakah kita lebih baik daripada mereka? Tidak sekali-kali. Kerana dahulu kita telah mengatakan bahawa baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, semuanya berada di bawah kuasa dosa.
10 Sebagaimana tersurat: “Tiada yang benar, seorang pun tidak.
11 Tiada yang mengerti, tiada yang mencari Allah.
12 Semuanya telah berpaling, semuanya tidak berguna; tiada yang berbuat baik, tiada seorang pun.
13 Kerongkong mereka seperti kubur terbuka; tipu daya mengalir dari lidah mereka; dan racun ular kapak berbisa di bawah bibir mereka
14 Mulut mereka penuh sumpah seranah dan kepahitan.
15 Kaki mereka cepat menumpahkan darah.
16 Kemusnahan dan kesengsaraan mereka timbulkan merata-rata,
17 sedangkan jalan damai tidak dikenal mereka.
18 Rasa takut terhadap Allah tiada dalam jiwa mereka.”
19 Kita tahu bahawa segala yang tersurat dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Oleh itu, tiada siapa pun dapat berdalih dan seluruh umat manusia akan dihakimi oleh Allah.
20 Oleh itu, tiada siapa pun akan diperbenar di mata Allah kerana mengamalkan hukum Taurat. Sebaliknya hukum Taurat hanya menyedarkan manusia bahawa mereka berdosa.
21 Tetapi sekarang, tanpa hukum Taurat, perbenaran Allah telah dinyatakan. Hukum Taurat dan para nabi telah memberikan kesaksian tentang hal itu.
22 Perbenaran Allah hanya melalui iman kepada Yesus Kristus bagi semua yang percaya. Hal ini berlaku kepada semua orang tanpa membezakan sesiapa pun.
23 Kerana semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah.
24 Namun demikian, dengan kasih kurnia Allah yang dikurniakan-Nya dengan rela, manusia dapat diperbenar melalui penebusan yang terdapat dalam Kristus Yesus.
25 Allah menjadikan Yesus korban pendamaian supaya dengan kematian-Nya, dosa orang yang beriman kepada-Nya diampunkan. Allah berbuat demikian untuk memperlihatkan keadilan-Nya kerana pada masa silam, Allah bersabar terhadap dosa manusia dan tidak menghukum mereka.
26 Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Allah menunjukkan bahawa Dia benar dan memperbenar semua mereka yang beriman kepada Yesus.
27 Dengan demikian, apakah yang dapat dibanggakan? Tidak ada sama sekali! Adakah melalui ketaatan akan hukum Taurat? Tidak, tetapi melalui iman.
28 Kerana kami yakin bahawa manusia diperbenar atas iman kepada Yesus Kristus, bukan kerana dia mengamalkan apa yang diwajibkan oleh hukum Taurat.
29 Atau adakah Allah itu Tuhan orang Yahudi sahaja? Pasti tidak. Dia Tuhan bangsa-bangsa lain juga.
30 Allah itu esa. Dia memperbenar orang yang bersunat melalui iman mereka. Demikian juga Dia memperbenar orang yang tidak bersunat melalui iman mereka.
31 Maka adakah kita memansuhkan hukum Taurat dengan iman? Sama sekali tidak! Malah kita menegakkan Taurat.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Roma 3
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Roma 3

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV