1 Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk di seluruh dunia dibanci.
2 Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria.
3 Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.
4 Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nazaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Betlehem di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud.
5 Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maria, tunangnya yang sedang hamil.
6 Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin.
7 Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.
8 Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka.
9 Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan.
10 Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat.
11 Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan.
12 Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.”
13 Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan syurga yang besar memuji-muji Allah:
14 “Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.”
15 Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.”
16 Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maria dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung.
17 Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu.
18 Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka;
19 tetapi Maria menyimpan segala perkara ini dalam hatinya dan merenunginya.
20 Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.
21 Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberi nama Yesus, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maria.
22 Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Yesus ke Yerusalem untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan.
23 Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan.
24 Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.
25 Pada masa itu ada seorang di Yerusalem yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan takut kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia disertai Roh Kudus.
26 Roh Kudus telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat Kristus yang dijanjikan oleh Tuhan.
27 Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam Bait Suci. Ketika Yesus, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu,
28 Simeon mendukung Dia dan memuji Allah lalu berkata:
29 “Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera, menurut firman-Mu:
30 kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu
31 yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa,
32 satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.”
33 Ibu dan bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu.
34 Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang di Israel kelak; Dia menjadi tanda yang akan dibantahi orang
35 supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.”
36 Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Sesudah berkahwin selama tujuh tahun dan hidup bersama dengan suaminya,
37 Hana kemudian menjadi balu sehingga dia berumur lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Bait Suci, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam.
38 Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Yerusalem.
39 Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nazaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea.
40 Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Kasih kurnia Allah ada pada-Nya.
41 Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paskah.
42 Ketika Yesus berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa.
43 Setelah tamat perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Yesus, anak mereka itu tertinggal di Yerusalem dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu.
44 Mereka menyangka Dia ada bersama teman-teman seperjalanan. Oleh itu, mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Yesus dalam kalangan kaum keluarga dan kenalan mereka.
45 Apabila mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari-Nya.
46 Selepas tiga hari, mereka akhirnya menemui Yesus di dalam Bait Suci. Dia duduk dikelilingi oleh guru-guru Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan.
47 Semua orang yang mendengar Yesus kagum akan pengertian dan jawapan-Nya.
48 Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, “Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-Mu.”
49 Lalu Yesus menjawab, “Mengapakah ibu dan ayah mencari Aku? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Aku harus melakukan kerja Bapa-Ku?”
50 Tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka.
51 Kemudian Dia pulang bersama mereka ke Nazaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya.
52 Yesus semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai Allah dan manusia.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Lukas 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Lukas 2
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Lukas

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV