1 Selepas lima hari, Ananias imam besar datang ke Kaisarea dengan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi dan seorang peguam bernama Tertulus. Mereka menuduh Paulus di hadapan gabenor itu.
2 Setelah Paulus dipanggil hadir, Tertulus memulakan dakwaannya: “Feliks yang mulia, dengan limpah kurnia dan kebijaksanaanmu, kami hidup sejahtera dan menikmati perubahan yang baik di negeri ini.
3 Kami amat berterima kasih atas segala yang telah kamu lakukan.
4 Kerana tidak ingin mengambil terlalu banyak masamu, aku memohon kebaikan kamu untuk mendengar dakwaanku yang ringkas ini.
5 Kami telah mendapati orang ini pengacau dan menimbulkan huru-hara dalam kalangan orang Yahudi di serata dunia. Dialah pemimpin mazhab ajaran orang Nazaret itu.
6 Malah dia cuba menajiskan Bait Suci tetapi kami menangkapnya dan hendak mengadilinya menurut hukum kami.
7 Akan tetapi, ketua pasukan tentera Lisias datang lalu merampasnya daripada kami.
8 Dia mengarahkan kami, pendakwa-pendakwa orang ini, supaya menghadapmu. Jika kamu menyoal orang ini, kamu akan mendapati bahawa segala tuduhan kami ini benar.”
9 Orang Yahudi turut serta menuduh Paulus, dan mengatakan bahawa segala yang dikatakan itu benar.
10 Setelah menerima isyarat daripada gabenor yang menyuruhnya bercakap, Paulus menjawab dakwaan itu demikian: “Aku tahu kamu telah lama menjadi hakim di negeri ini. Oleh itu, aku dengan senang hati mengadukan hal kepadamu.
11 Hanya dua belas hari yang lalu aku telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat.
12 Aku tidak didapati berbincang dengan sesiapa atau menghimpunkan orang ramai itu untuk menimbulkan huru-hara, baik di Bait Suci, saumaah, atau di mana-mana di kota itu.
13 Para pendakwa juga tidak dapat membuktikan kepadamu segala tuduhan mereka terhadapku.
14 Aku mengaku di hadapanmu bahawa aku menyembah Allah nenek moyang kami, menurut Jalan Tuhan yang dianggap salah oleh mereka. Aku juga percaya dan berpegang kepada hukum Taurat, dan segala yang tersurat dalam kitab nabi-nabi.
15 Seperti mereka juga, aku berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian kelak, sama ada orang benar ataupun orang jahat.
16 Oleh itu, aku sentiasa berusaha supaya hati nuraniku bersih daripada kesalahan kepada Allah dan kepada manusia.
17 Selepas beberapa tahun di tempat-tempat lain, aku ke Yerusalem membawa derma untuk bangsaku, dan mempersembahkan korban.
18 Mereka mendapati aku di dalam Bait Suci setelah aku menyucikan diri; aku tidak membawa kumpulan yang besar dan tidak mencetuskan huru-hara.
19 Ketika itu ada beberapa orang Yahudi dari Asia. Merekalah yang patut menghadap kamu di sini untuk mendakwa, kalaulah ada sesuatu yang patut didakwa tentang aku.
20 Ataupun biarlah orang di sini menyatakan apa kesalahan yang didapati pada diriku ketika aku berdiri di hadapan majlis mereka itu.
21 Pada waktu itu aku hanya melafazkan kata-kata yang sama, iaitu, ‘Tentang kebangkitan daripada kematianlah aku didakwa di hadapanmu pada hari ini.’ ”
22 Feliks menangguhkan perbicaraan walaupun dia memahami selok-belok agama berkenaan. Dia berkata, “Apabila Lisias, ketua pasukan tentera itu, datang nanti, aku akan menyelesaikan perkara ini.”
23 Dia mengarahkan ketua tentera menahan Paulus tetapi secara longgar, dan membenarkan sahabat-sahabatnya membawa apa-apa untuknya.
24 Beberapa hari kemudian, Feliks datang bersama isterinya Drusila, seorang Yahudi. Dia menyuruh orang memanggil Paulus lalu mendengar penerangannya tentang iman terhadap Kristus Yesus.
25 Apabila Paulus bercakap tentang perbenaran, tentang penguasaan diri, dan tentang hukuman yang akan datang pada hari kemudian, Feliks ketakutan lalu berkata, “Pergilah sekarang. Apabila ada kesempatan nanti, aku akan memanggilmu lagi.”
26 Dalam pada itu dia berharap Paulus akan memberikan wang kepadanya. Oleh itu, dia kerap kali menyuruh orang memanggil Paulus lalu bercakap dengannya.
27 Dua tahun kemudian, Feliks digantikan oleh Perkius Festus. Feliks membiarkan Paulus terpenjara kerana hendak mengambil hati orang Yahudi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 24
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 24

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV