1 Setelah berpisah dengan mereka, kami belayar ke Kos, dan esoknya ke Rodos, dan dari sana ke Patara.
2 Kami mendapati ada sebuah kapal yang hendak menyeberang ke Fenisia. Kami menaikinya lalu belayar.
3 Setelah kelihatan Siprus di sebelah kiri, kami terus belayar ke Siria lalu turun di kota Tirus kerana kapal itu hendak memunggah muatannya di situ.
4 Kami menemui para murid Yesus lalu tinggal di kota itu selama tujuh hari. Melalui pimpinan Roh Kudus mereka menggesa Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem.
5 Setelah sampai waktu yang dirancang, kami bertolak dari situ. Semua murid Yesus bersama anak isteri menghantarkan kami sampai ke luar kota. Kami semua berlutut di pantai lalu berdoa dan bersalam-salaman.
6 Selepas itu, kami naik ke kapal dan mereka pulang ke rumah masing-masing.
7 Dari Tirus kami meneruskan pelayaran ke Ptolemais. Di situ kami memberi salam kepada saudara-saudara seiman lalu tinggal dengan mereka selama sehari.
8 Esoknya kami pergi ke Kaisarea lalu masuk ke rumah Filipus, pemberita Injil yang menjadi seorang daripada tujuh pembantu para rasul, lalu kami tinggal dengannya.
9 Dia mempunyai empat orang anak gadis yang belum berkahwin dan mereka bernubuat.
10 Setelah kami tinggal di situ beberapa hari, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea.
11 Dia mendapatkan kami lalu mengambil tali pinggang Paulus dan mengikat kaki tangannya sendiri sambil berkata, “Demikianlah kata Roh Kudus, bahawa orang yang mempunyai tali pinggang ini akan diikat demikian di Yerusalem oleh orang Yahudi dan diserahkan ke tangan orang bangsa asing.”
12 Apabila mendengar kata-kata itu, kami dan penduduk kota itu meminta Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem.
13 Paulus menjawab, “Mengapa kamu menangis dan menyedihkan hatiku? Aku bersedia bukan sahaja untuk diikat, malah untuk mati di Yerusalem demi nama Tuhan Yesus.”
14 Oleh sebab dia tidak mahu mendengar kata kami, kami pun berhenti memujuknya lalu berkata, “Berlakulah kehendak Tuhan.”
15 Selepas itu, kami berkemas lalu pergi ke Yerusalem.
16 Beberapa orang murid Yesus dari Kaisarea menyertai kami lalu membawa kami berjumpa Menason, orang Siprus, yang sudah lama percaya akan Yesus; di rumahnyalah kami menumpang.
17 Setelah sampai di Yerusalem, kami disambut oleh saudara-saudara seiman dengan sukacita.
18 Pada esoknya Paulus bersama kami masuk berjumpa dengan Yakobus; ketua-ketua yang lain pun ada di situ.
19 Setelah memberi salam kepada mereka, Paulus menceritakan segala yang telah dilakukan Allah secara terperinci dalam kalangan bangsa asing melalui pelayanannya.
20 Apabila mendengar kisah itu mereka memuji Allah dan berkata kepada Paulus, “Saudara, sebagaimana kamu lihat, ada berpuluh ribu orang Yahudi yang sudah percaya akan Yesus dan mereka itu berpegang teguh pada Taurat.
21 Ada orang memberitahu mereka bahawa kamu mengajar orang Yahudi yang tinggal dalam kalangan orang bangsa asing supaya berpaling daripada Musa, jangan menyunatkan anak-anak dan jangan menurut adat orang Yahudi.
22 Sekarang bagaimana? Mereka tentu mendengar berita kedatanganmu ke sini.
23 Oleh itu, ikutlah seperti kata kami. Antara kami ada empat orang yang telah bernazar.
24 Bawalah mereka bersamamu dan sucikan dirimu bersama mereka serta tanggung belanja mencukur kepala mereka. Dengan demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang dikatakan tentangmu itu tidak benar, sebaliknya kamu mengikut Taurat.
25 Namun demikian, tentang orang bangsa asing yang percaya akan Yesus, kami telah berkirim surat memberikan hukum bahawa mereka hendaklah menjauhkan diri daripada makanan yang dipersembahkan kepada berhala, daripada darah, daging binatang yang mati dicekik dan daripada perbuatan cabul.”
26 Paulus pun membawa empat orang itu bersamanya dan pada esoknya dia menyucikan diri bersama mereka. Kemudian dia masuk ke Bait Suci dan memberitahu orang di situ bilangan harinya upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi setiap mereka.
27 Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam Bait Suci. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus
28 sambil berseru, “Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan di merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan Bait Suci. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam Bait Suci, menajiskan tempat suci ini.”
29 Mereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam Bait Suci.
30 Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar Bait Suci. Semua pintu Bait Suci pun segera ditutup.
31 Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera mendengar bahawa seisi kota Yerusalem sedang merusuh.
32 Dia segera membawa beberapa orang ketua tentera dan askar-askar untuk mendapatkan perusuh-perusuh itu. Apabila melihat mereka datang, perusuh-perusuh itu berhenti memukul Paulus.
33 Ketua pasukan tentera itu datang menangkap Paulus, disuruhnya ikat dengan dua rantai. Dia bertanya siapakah dia dan apakah yang telah dilakukannya.
34 Di antara orang ramai itu sesetengah menjawab begini dan sesetengahnya begitu. Oleh sebab ketua pasukan tentera itu tidak dapat memastikan punca huru-hara itu, dia menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu.
35 Setelah sampai ke tangga, askar-askar mengangkat Paulus kerana orang ramai mengganas.
36 Mereka mengikut sambil berseru-seru, “Hapuskan dia!”
37 Ketika Paulus hendak dibawa masuk ke dalam kubu, dia berkata kepada ketua pasukan tentera itu, “Bolehkah aku menyatakan sesuatu kepadamu?” Ketua pasukan tentera itu berkata, “Kamu tahu bahasa Yunani?
38 Bukankah kamu ini orang Mesir yang dahulu mencetuskan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas ke gurun?”
39 Paulus berkata, “Aku ini orang Yahudi dari kota Tarsus di Tanah Kilikia iaitu kota yang agak terkenal, dan aku meminta kamu benarkan aku bercakap kepada orang ramai itu.”
40 Setelah mendapat kebenaran daripada ketua pasukan tentera, Paulus berdiri di atas tangga dan memberikan isyarat dengan tangannya supaya mereka diam. Setelah orang ramai itu senyap, Paulus berucap dalam bahasa Ibrani,

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 21
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 21

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV