1 Setelah berdoa demikian, Yesus pergi diiringi murid-murid-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Yesus dan murid-murid-Nya masuk ke taman itu.
2 Yudas, yang mengkhianati Yesus, mengetahui tempat itu juga kerana Yesus kerap ke situ dengan murid-murid-Nya.
3 Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang Farisi. Mereka membawa lantera, suluh serta senjata.
4 Yesus mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?”
5 Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.” Yudas, yang mengkhianati Yesus, berdiri bersama mereka di situ.
6 Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah.
7 Yesus bertanya lagi kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.”
8 Yesus berkata, “Aku sudah berkata bahawa Akulah Dia. Kalau Aku yang kamu cari, biarkanlah mereka ini pergi.”
9 (Dengan demikian terlaksanalah apa yang pernah dikatakan-Nya, “Tiada seorang pun yang Kauserahkan kepada-Ku sesat.”)
10 Simon Petrus yang memiliki sebilah pedang menghunusnya lalu menetak telinga kanan hamba imam besar sehingga terputus. Nama hamba itu Malkus.
11 Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkan semula pedangmu! Bukankah Aku mesti minum daripada cawan penderitaan yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa?”
12 Setelah itu, askar-askar dengan ketua mereka dan pegawai-pegawai Yahudi menangkap dan mengikat Yesus.
13 Mula-mula mereka membawa-Nya ke hadapan Hanas, bapa mertua Kayafas, imam besar pada tahun itu.
14 Kayafas yang memang dahulunya berkata kepada orang Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati demi seluruh bangsa.
15 Simon Petrus dan seorang murid lain ikut serta apabila Yesus dibawa pergi. Oleh sebab murid lain ini dikenali oleh imam besar, dia masuk bersama Yesus ke halaman rumah imam besar.
16 Petrus menanti di luar, di hadapan pintu. Sejurus kemudian, murid lain yang mengenal imam besar itu keluar semula, bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk.
17 Kemudian hamba perempuan penjaga pintu itu berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu seorang daripada murid orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan.”
18 Hamba dan pegawai berdiri di situ setelah menyalakan api kerana pada masa itu hawa sejuk. Mereka sedang berdiang di situ. Petrus pun berdiri di situ dan berdiang bersama mereka.
19 Imam besar menyoal Yesus tentang murid-murid-Nya dan ajaran-Nya.
20 Yesus menjawab, “Aku sentiasa bercakap terang-terangan kepada dunia. Aku sering mengajar di saumaah dan di Bait Suci, tempat semua orang Yahudi berhimpun. Tidak pernah Kukatakan apa-apa secara rahsia.
21 Mengapakah kamu menyoal-Ku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar apa yang Kukatakan kepada mereka. Mereka tahu apa yang Kukatakan itu.”
22 Seorang pegawai di situ menampar Yesus sambil berkata, “Begitukah Kamu bercakap kepada seorang imam besar?”
23 Yesus berkata kepadanya, “Sekiranya yang Kukatakan itu salah, tunjukkanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi kalau kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar-Ku?”
24 Selepas itu, Hanas menyuruh orang membawa Yesus yang masih dalam keadaan terikat ke hadapan Imam Besar Kayafas.
25 Simon Petrus masih berdiri berdiang. Maka orang di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu seorang daripada murid orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!”
26 Seorang daripada hamba imam besar ada di situ. Dia saudara kepada hamba yang ditetak putus telinganya oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang kulihat di taman itu bersama-Nya?”
27 Petrus menyangkal-Nya lagi, dan sejurus selepas itu, ayam berkokok.
28 Kemudian mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Tetapi orang Yahudi tidak turut masuk ke dalam istana itu kerana pagi masih awal. Mereka tidak mahu terkena najis, kerana mereka hendak menyertai jamuan Paskah.
29 Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?”
30 Mereka menjawab, “Jika orang ini tidak melakukan perbuatan jahat, sudah tentu kami tidak akan membawa-Nya ke hadapanmu.”
31 Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah Dia dan adili Dia mengikut undang-undangmu.” Orang Yahudi menjawab, “Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.”
32 Dengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Yesus tentang cara kematian-Nya.
33 Selepas itu, Pilatus masuk semula ke istana dan memanggil Yesus lalu bertanya, “Adakah Kamu Raja orang Yahudi?”
34 Yesus menjawab, “Adakah kata-kata ini daripada dirimu sendiri, atau adakah orang lain mengatakannya kepadamu tentang diri-Ku?”
35 Pilatus menjawab, “Adakah aku seorang Yahudi? Bangsa-Mu sendiri dan ketua-ketua imam telah membawa-Mu kepadaku. Apakah yang telah Kaulakukan?”
36 Yesus menjawab, “Kerajaan-Ku bukanlah daripada dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku dari dunia ini, tentulah para murid-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah dari sini.”
37 Dengan demikian Pilatus pun berkata kepada-Nya, “Jadi, adakah Kamu seorang raja?” Yesus menjawab, “Betul katamu. Aku seorang raja. Aku dilahirkan ke dunia untuk memberikan kesaksian tentang kebenaran. Setiap orang yang memihak kepada kebenaran mendengar suara-Ku.”
38 Pilatus berkata kepada-Nya, “Apakah itu kebenaran?” Kemudian dia keluar mendapatkan orang Yahudi lalu berkata, “Aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.
39 Tetapi kamu ada satu adat, iaitu aku harus membebaskan seorang daripada bangsamu pada Perayaan Paskah. Mahukah kamu kubebaskan Raja orang Yahudi?”
40 Mereka semua berteriak lagi, “Jangan bebaskan orang itu. Bebaskan Barabas.” Barabas itu seorang perompak.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yohanes 18
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yohanes 18
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Yohanes

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV