1 Daripada Paulus yang dengan kehendak Allah telah dilantik sebagai rasul Kristus Yesus, dan daripada saudara kita, Timotius, Kepada jemaah di Korintus dan kepada semua orang salih yang tinggal di Akhaya:
2 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menganugerahimu kasih kurnia dan damai sejahtera.
3 Segala puji bagi Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa Yang Maha Pemurah dan Allah sumber segala penghiburan.
4 Dia menghibur kami dalam pelbagai kesusahan, supaya kami pula dapat menghibur orang yang mengalami kesusahan dengan penghiburan yang kami terima sendiri daripada Allah.
5 Sebagaimana banyaknya penderitaan Kristus yang telah kami alami, begitulah banyaknya penghiburan yang kami terima daripada-Nya.
6 Jika kami menanggung kesusahan, itu adalah untuk menghibur kamu dan untuk penyelamatanmu. Jika kami dihibur, itu akan menghibur kamu juga, supaya kamu tetap tabah menanggung penderitaan yang telah kami alami juga.
7 Kami tetap menaruh harapan tentang kamu, kerana kami tahu, jika kamu mengalami penderitaan seperti yang kami alami, maka kamu juga akan menerima penghiburan seperti yang kami terima.
8 Kami juga hendak memberitahumu, saudara-saudara, tentang kesusahan yang telah menimpa kami di Asia Kecil. Beban kami sungguh berat, lebih daripada yang terdaya kami tanggung, sehingga kami putus asa untuk terus hidup.
9 Kami berasa bagaikan telah dijatuhi hukum mati. Namun demikian, itu telah berlaku supaya kami tidak lagi berharap kepada diri sendiri tetapi kepada Allah yang menghidupkan semula orang mati.
10 Dialah yang telah melepaskan kami daripada bahaya yang amat dahsyat, dan Dialah yang akan melepaskan kami. Kami menaruh harapan kepada-Nya, bahawa Dia akan melepaskan kami.
11 Kamu juga harus menolong kami dengan doa, sehingga ramai orang bersyukur kepada Allah atas kurnia yang diberikan kepada kami kerana doa ramai orang.
12 Inilah kebanggaan kami, dan hati nurani kami bersaksi demikian, iaitu dalam kalangan semua orang, terutamanya dalam kalanganmu, kami hidup di dunia dengan kesucian dan keikhlasan yang datang daripada Allah. Kami melakukan ini bukan dengan kebijaksanaan kami sebagai manusia, tetapi dengan kasih kurnia Allah.
13 Segala yang kami tuliskan kepadamu dalam surat ini tidak mengandungi erti yang lain daripada yang kamu baca dan fahami.
14 Aku berharap bahawa walaupun kamu baru memahami sebahagian tentang diri kami, kamu akan memahami kami sepenuhnya nanti, dan kamu akan berbangga dengan kami sebagaimana kami berbangga dengan kamu pada hari kedatangan Tuhan kita Yesus.
15 Oleh sebab keyakinan itulah maka aku pernah berniat ke tempatmu lebih dahulu, supaya kamu mendapat berkat dua kali.
16 Niatku dahulu ialah singgah di tempatmu dalam perjalanan ke Makedonia, dan dari Makedonia datang ke tempatmu lagi untuk meminta kamu menolongku meneruskan perjalanan ke Yudea.
17 Jika aku merancang begitu, adakah ini menunjukkan aku tidak berpendirian tetap? Atau adakah aku merancang seperti orang duniawi, demikian mudah berkata “ya” dan “tidak” pada saat yang sama?
18 Demi Allah Yang Maha Setia, apa yang kami katakan kepadamu bukanlah “ya” atau “tidak.”
19 Sebabnya Yesus Kristus, Anak Allah yang telah disampaikan berita-Nya kepadamu oleh aku, Silwanus dan Timotius, bukanlah “ya” dan “tidak,” tetapi pada-Nya ada “ya” semata-mata.
20 Yesus adalah “ya” bagi semua janji Allah. Oleh itulah melalui-Nya kita menyebut “Amin” demi kemuliaan Allah.
21 Allah telah menentukan kami bersama kamu dalam Kristus. Dia telah melantik kita,
22 menandakan kita dengan materai-Nya, dan mengurniakan Roh-Nya untuk masuk ke hati kita sebagai jaminan.
23 Aku berseru kepada Allah untuk menjadi saksi terhadap jiwaku, bahawa sebabnya aku belum juga ke Korintus ialah kerana kasihku kepadamu.
24 Kami bukanlah berhasrat memberikan perintah tentang apa yang harus kamu percayai; kamu sudah berdiri teguh dalam keyakinanmu. Kami mahu bekerja bersama kamu demi kebahagiaanmu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Korintus 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Korintus 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV