1 Saudara-saudaraku, sebagai orang yang beriman kepada Tuhan kita Yesus Kristus yang mulia itu, janganlah amalkan sikap pilih kasih.
2 Andaikan dua orang datang ke tempat pertemuanmu, yang seorang kaya, berpakaian mewah, bercincin emas; yang seorang lagi miskin, berpakaian buruk.
3 Kamu menyambut orang yang berpakaian mewah itu dengan hormat sambil berkata, “Silakan duduk di tempat terbaik ini.” Sebaliknya, kepada orang miskin itu kamu berkata, “Berdiri di sana” atau “Duduk di atas lantai dekat kakiku.”
4 Dengan demikian, kamu membeza-bezakan orang dan menjadi hakim yang berfikiran jahat.
5 Ketahuilah, saudara-saudara yang kukasihi, Allah telah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan mewarisi kerajaan Allah sebagaimana telah dijanjikan-Nya kepada orang yang mengasihi-Nya.
6 Kamu menghina orang miskin, sedangkan orang kayalah yang menindasmu, menyeretmu ke mahkamah,
7 dan menghina nama mulia yang kamu terima daripada Tuhan.
8 Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mematuhi hukum kerajaan Allah yang tersurat dalam Kitab Suci, “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”
9 Sebaliknya, jika kamu memilih kasih, kamu berdosa, dan menurut hukum, kamu melanggar hukum.
10 Melanggar satu perintah Taurat bererti melanggar seluruh hukum,
11 kerana Allah yang berfirman, “Jangan berzina,” juga berfirman, “Jangan membunuh.” Dengan demikian, walaupun kamu tidak berzina, namun sekiranya kamu membunuh, maka kamu telah melanggar hukum.
12 Dalam perkataan dan tindakanmu, ingatlah bahawa kamu akan diadili berdasarkan hukum-hukum yang membebaskan manusia.
13 Orang yang tidak mengamalkan belas kasihan akan dihukum tanpa diberi belas kasihan, tetapi mereka yang mengamalkan belas kasihan tidak akan takut diadili.
14 Saudara-saudaraku, apa gunanya seorang berkata, “Aku beriman,” jika dia tidak membuktikan imannya melalui perbuatannya? Iman sedemikian tidak dapat menyelamatkannya.
15 Katakanlah seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan kekurangan makanan.
16 Apakah gunanya kamu berkata kepadanya, “Selamat jalan, pakailah baju panas dan makanlah secukupnya,” jika kamu tidak menghulurkan apa yang diperlukan tubuhnya?
17 Demikian juga dengan iman, jika tidak dinyatakan melalui perbuatan, maka sia-sialah iman itu.
18 Mungkin ada orang yang berkata, “Kamu mempunyai iman; aku mempunyai perbuatan.” Tunjukkan kepadaku seorang yang beriman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, maka dengan perbuatan baikku akan kutunjukkan bahawa aku beriman.
19 Kamu percaya kepada Allah yang esa. Bagus! Roh-roh iblis juga percaya demikian dan gementar ketakutan.
20 Alangkah tumpul fikiranmu, mengapakah kamu memerlukan bukti bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia sahaja?
21 Bukankah Abraham, moyang kita, diperbenar kerana perbuatannya apabila dia mempersembahkan anaknya Ishak di atas mazbah?
22 Tidak jelaskah kepadamu bahawa Abraham menunjukkan imannya melalui perbuatannya? Dengan demikian, sempurnalah iman Abraham.
23 Demikianlah terlaksanalah apa yang dikatakan dalam Kitab Suci: “Abraham percaya kepada Allah, dan hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran.” Oleh itu, Abraham dipanggil sahabat Allah.
24 Nyatalah bahawa seseorang itu diperbenar kerana perbuatannya, bukan imannya semata-mata.
25 Demikian juga dengan Rahab, wanita pelacur itu. Rahab diperbenar kerana perbuatannya ketika dia menyambut pengintip-pengintip Israel dan membantu mereka melarikan diri melalui jalan lain.
26 Tubuh tanpa roh, tubuh yang mati. Begitu jugalah, iman tanpa perbuatan, iman yang mati.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yakobus 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yakobus 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke