1 Oleh itu, aku bertanya, “Adakah Allah telah menyingkirkan umat-Nya?” Sama sekali tidak! Aku sendiri seorang berbangsa Israel, keturunan Abraham, daripada suku Benyamin.
2 Allah tidak menyingkirkan umat-Nya yang telah dipilih-Nya dari dahulu. Tidakkah kamu tahu apa yang telah tersurat dalam Kitab Suci, di dalam petikan tentang Elia, betapa dia mengadu kepada Allah tentang Israel:
3 “Ya Tuhan, mereka telah membunuh nabi-nabi-Mu dan meruntuhkan mazbah-Mu; dan hanya aku yang tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk mengambil nyawaku”?
4 Dan apakah jawapan Allah kepadanya? “Aku telah menyimpan untuk diri-Ku tujuh ribu orang yang tidak bertekuk lutut kepada Baal.”
5 Begitu jugalah, pada zaman ini, ada baki yang dipilih berasaskan kasih kurnia.
6 Jika dengan kasih kurnia, maka tidaklah lagi dengan kerja amal; sekiranya masih dengan kerja amal, kasih kurnia bukanlah kasih kurnia lagi.
7 Jadi, bagaimana? Apa yang dicari Israel dengan begitu bersungguh-sungguh tidak didapati oleh mereka, tetapi orang pilihan mendapatinya. Yang lain telah dikeraskan hatinya,
8 sebagaimana telah tersurat: “Allah telah membuat mereka tidak sedar, mata tidak melihat, telinga tidak mendengar, sampailah hari ini.”
9 Dan Daud berkata: “Semoga meja perjamuan mereka menjadi jerat dan perangkap, batu sandungan dan balasan kepada mereka;
10 Kelamkan mata mereka agar tidak dapat melihat, dan bongkokkan belakang mereka selama-lamanya!”
11 Oleh itu, aku bertanya, “Adakah mereka tersandung dan tidak dapat bangun semula?” Sama sekali tidak! Sebaliknya, kerana pelanggaran yang dilakukan oleh mereka, penyelamatan telah datang kepada bangsa-bangsa lain untuk membuat Israel iri hati.
12 Tetapi jika pelanggaran Israel bermakna kekayaan bagi dunia, dan kerugian mereka bermakna kekayaan bagi orang bukan orang Israel, betapa bergandanya lagi kekayaan yang akan dibawa oleh ketaatan mereka!
13 Sekarang aku berkata kepadamu, wahai bangsa asing: Oleh sebab aku ini rasul kepada orang bukan orang Israel, aku membesarkan pelayananku
14 dengan harapan dapat menimbulkan iri hati bangsaku sendiri dan menyelamatkan sesetengah mereka.
15 Jika penyingkiran mereka mendatangkan perdamaian bagi seisi dunia, lebih-lebih lagilah kalau mereka diterima semula oleh Allah! Bukankah hal ini seperti hidup kembali selepas mati?
16 Sekiranya gumpalan pertama suci, maka sucilah seluruh adunan. Jika suci akar pokok, maka demikian jugalah cabang-cabangnya.
17 Andainya beberapa cabang itu dipatahkan dan kamu, walaupun pucuk zaitun liar, dicantumkan lalu berkongsi akar dengan pokok zaitun yang subur itu,
18 janganlah bercakap besar kepada cabang-cabang lain. Kalau kamu bermegah juga, ingatlah bahawa bukan kamu yang menyokong akar tetapi akar yang menyokong kamu.
19 Ketika itu kamu akan berkata: “Cabang-cabang itu dipatahkan supaya aku dapat dicantumkan.”
20 Memang benar. Oleh sebab tidak beriman, cabang-cabang itu dipatahkan, dan kamu dapat berada di situ kerana iman! Janganlah angkuh; sebaliknya takutlah.
21 Kerana jika Allah tidak mengampuni cabang-cabang tabii itu, Dia tidak akan mengampunimu juga.
22 Oleh itu, fikirkanlah belas ihsan Allah dan juga kekerasan-Nya; kekerasan kepada mereka yang terjerumus; belas ihsan kepada kamu, asalkan kamu berterusan dalam belas ihsan-Nya. Jika tidak, kamu juga akan dibuangkan.
23 Mereka juga, jika mengubah sikap tidak percaya, akan dicantumkan semula, kerana Allah berupaya berbuat demikian.
24 Kalau kamu yang telah dipotong dari pokok zaitun liar dapat dicantumkan ke pokok zaitun yang baik dan berbeza tabiinya, lebih-lebih lagilah cabang-cabang tabii itu dapat dicantumkan ke pokok zaitunnya sendiri!
25 Saudara-saudaraku, aku tidak mahu kamu jahil tentang rahsia ini, supaya kamu tidak berasa megah: Sebahagian daripada orang Israel telah menjadi keras hati sehingga genap jumlah bangsa asing telah masuk.
26 Kemudian seluruh orang Israel akan diselamatkan, sebagaimana yang telah tersurat: “Penyelamat akan datang dari Sion, dan Dia akan menjauhkan kemungkaran daripada Yakub;
27 Kerana inilah perjanjian-Ku dengan mereka ketika Aku menghapuskan dosa-dosa mereka.”
28 Dari segi Injil, orang Israel dimusuhi keranamu, tetapi dari segi pilihan, mereka dikasihi kerana nenek moyang mereka;
29 kerana kurnia dan panggilan Allah tidak akan ditarik kembali selama-lamanya.
30 Sebagaimana kamu dahulu ingkar kepada Allah namun kini telah mendapat belas kasihan kerana keingkaran mereka,
31 demikian jugalah mereka yang kini telah ingkar, melalui belas kasihan yang kamu peroleh, mereka juga mungkin mendapat belas kasihan.
32 Allah telah mengeraskan hati mereka dalam keingkaran, supaya Dia dapat mengasihani semuanya.
33 Oh, betapa kaya kebijaksanaan dan pengetahuan Allah! Penghakiman-Nya tidak terduga, dan jalan-jalan-Nya tidak mungkin diselami!
34 “Kerana siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapa yang menjadi penasihat-Nya?
35 Atau siapakah yang pernah memberi-Nya sesuatu, maka Dia harus membalasnya?”
36 Segala-galanya daripada Dia, melalui Dia dan kepada Dia. Bagi Allah kemuliaan selama-lamanya. Amin.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Roma 11
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Roma 11

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV