1 Beberapa hari kemudian, Yesus pulang ke Kapernaum dan tersebarlah khabar itu.
2 Ramailah orang datang berhimpun di rumah tempat Dia tinggal itu, sehingga penuh sesak sampai ke pintu. Yesus pun menyampaikan firman kepada mereka.
3 Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh.
4 Mereka tidak dapat membawanya kepada Yesus kerana orang ramai itu. Oleh itu, mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Yesus berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar.
5 Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.”
6 Ahli-ahli Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati,
7 “Lancangnya orang ini mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!”
8 Tetapi Yesus segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu?
9 Manakah yang lebih mudah dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau, ‘Bangun, angkat tikarmu dan berjalan’?
10 Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa...” Dia berkata kepada orang lumpuh itu,
11 “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah.”
12 Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu pun bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ tercengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat kejadian begini!”
13 Yesus pergi lagi ke pinggir laut. Ramai orang datang kepada-Nya lalu Dia mengajar mereka.
14 Ketika Yesus berjalan di situ, Dia terpandang seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku,” lalu Lewi bangun mengikut-Nya.
15 Selepas itu, Yesus makan di rumah Lewi. Ramai pemungut cukai dan orang berdosa mengikut Yesus dan ramai antara mereka turut makan bersama Yesus serta murid-murid-Nya.
16 Ahli Taurat daripada golongan Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada para murid Yesus, “Mengapa Dia makan bersama pemungut cukai dan ‘orang berdosa’?”
17 Yesus terdengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Aku datang bukan untuk memanggil orang benar, tetapi orang berdosa.”
18 Pada suatu masa ketika para murid Yohanes Pembaptis dan murid orang Farisi berpuasa, beberapa orang datang kepada Yesus lalu bertanya, “Murid Yohanes Pembaptis dan murid orang Farisi sedang berpuasa, mengapa murid-murid-Mu tidak?”
19 Yesus menjawab, “Patutkah tetamu dalam jamuan perkahwinan berpuasa semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Selagi pengantin lelaki ada bersama mereka, tidaklah mereka berpuasa.
20 Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa.
21 Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan baru itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian lama.
22 Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru akan memecahkan kirbat, dan kedua-duanya terbuang. Air anggur baru mesti dituangkan ke dalam kirbat yang baru.”
23 Pada suatu hari Sabat, Yesus dan murid-murid-Nya berjalan melalui ladang gandum. Para murid-Nya mula memetik bulir gandum.
24 Kemudian orang Farisi berkata kepada Yesus, “Lihatlah, mereka melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!”
25 Yesus menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan mereka yang berada bersamanya kekurangan dan kelaparan?
26 Dia masuk ke Rumah Allah sewaktu Abiatar berjawat sebagai imam besar lalu makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Daud juga memberikan roti itu kepada mereka yang ada bersamanya.”
27 Yesus menambah, “Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat.
28 Jadi Anak Manusia jugalah Tuhan atas hari Sabat.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Markus 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Markus 2
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Markus

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV