1 Awal-awal pagi lagi ketua-ketua imam segera bermesyuarat dengan para tua-tua, ahli Taurat dan seluruh Majlis Agama. Kemudian mereka mengikat Yesus, membawa-Nya pergi dan menyerahkan-Nya kepada Pilatus.
2 Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah Engkau Raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Begitulah seperti katamu.”
3 Kemudian ketua-ketua imam melemparkan pelbagai tuduhan terhadap-Nya.
4 Pilatus bertanya lagi kepada-Nya, “Tidakkah Engkau mahu menjawab apa-apa? Lihat betapa banyaknya tuduhan mereka terhadap-Mu?”
5 Tetapi Yesus masih tidak menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus kehairanan.
6 Pada waktu perayaan, lazimnya Pilatus membebaskan dari penjara seorang yang diminta oleh mereka.
7 Ada seorang bernama Barabas yang dirantaikan bersama beberapa orang pemberontak lain. Mereka telah melakukan pembunuhan dalam pemberontakan itu.
8 Orang ramai mula berseru lantang meminta Pilatus membebaskan seorang dari penjara seperti yang biasa dilakukannya.
9 Pilatus bertanya, “Adakah kamu mahu aku membebaskan kepadamu Raja orang Yahudi?”
10 oleh sebab dia tahu bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati.
11 Tetapi ketua-ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Barabas dibebaskan kepada mereka.
12 Pilatus berkata kepada mereka, “Kalau begitu, apa yang kamu mahu kulakukan kepada Dia yang kamu panggil Raja orang Yahudi?”
13 Mereka berseru lagi dengan kuatnya, “Salibkan Dia!”
14 Kata Pilatus kepada mereka, “Mengapa? Apakah kejahatan yang telah dilakukan-Nya?” Tetapi mereka semakin kuat berseru, “Salibkan Dia!”
15 Oleh itu, untuk memuaskan hati orang ramai itu, Pilatus membebaskan Barabas kepada mereka. Setelah menyebat Yesus, dia menyerahkan-Nya untuk disalib.
16 Kemudian para askar membawa-Nya ke dewan istana yang dipanggil Praetorium, lalu menghimpunkan seluruh pasukan tentera yang ada di situ.
17 Mereka mengenakan jubah ungu pada tubuh-Nya, dan membuat mahkota daripada duri lalu meletakkannya di atas kepala-Nya.
18 Kemudian mereka menyindir-Nya, “Daulat Tuanku, Raja orang Yahudi!”
19 Mereka memukul kepala-Nya dengan mensiang, meludahi-Nya, kemudian tunduk menyembah-Nya.
20 Setelah mempermain-mainkan-Nya, mereka melucutkan jubah ungu itu dan mengenakan semula pakaian-Nya. Lalu mereka membawa-Nya untuk disalib.
21 Ketika itu seorang yang bernama Simon, orang Kirene, bapa kepada Aleksander dan Rufus sedang lalu di situ. Dia baru sahaja datang dari luar bandar. Kemudian mereka memaksanya mengangkat salib Yesus.
22 Mereka membawa-Nya ke tempat yang dipanggil Golgota (bermaksud Tempat Tengkorak).
23 Kemudian mereka memberi-Nya air anggur bercampur mir tetapi Dia enggan meminumnya.
24 Setelah mereka menyalib-Nya, mereka membahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi.
25 Mereka menyalib-Nya pada jam ketiga.
26 Tuduhan terhadap-Nya tertulis di atas: Raja orang Yahudi.
27 Mereka menyalib dua orang perompak bersama Yesus, seorang di kanan dan seorang di kiri-Nya.
28 Dengan demikian terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci: “Dan Dia digolongkan dengan penjahat.”
29 Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu memusnahkan Bait Suci dan membinanya semula dalam tiga hari!
30 Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah diri-Mu!”
31 Begitu jugalah ketua-ketua imam dan ahli Taurat turut memperolok-olokkan Yesus. Mereka berkata sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang, tetapi tidak dapat menyelamatkan diri-Nya sendiri!
32 Kiranya Kristus ini, Raja Israel, turunlah dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepada-Nya!” Orang yang disalib bersama Yesus pun mencela-Nya.
33 Pada jam keenam hingga jam kesembilan, seluruh negeri itu diselubungi kegelapan.
34 Pada jam kesembilan, Yesus berseru dengan suara yang lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” Ertinya, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Kautinggalkan Aku?”
35 Beberapa orang di situ mendengar seruan itu dan berkata, “Dengarlah, Dia memanggil Elia.”
36 Seorang daripada mereka berlari mengambil span lalu mencelupnya ke dalam air anggur masam. Kemudian dia mencucukkan span itu di hujung sebatang mensiang dan menawarkannya kepada Yesus untuk minum, sambil berkata, “Kita menunggu, kalau-kalau Elia datang menurunkan-Nya dari salib.”
37 Yesus berseru dengan kuat lalu menghembuskan nafas terakhir.
38 Sejurus kemudian, tirai di dalam Bait Suci terbelah dua, dari atas hingga ke bawah.
39 Ketua tentera yang berdiri di hadapan salib itu melihat semua ini lalu berkata, “Benarlah Dia Anak Allah!”
40 Beberapa orang wanita menyaksikan segala-galanya dari jauh. Antara mereka ialah Maria Magdalena, serta Maria ibu Yakobus Muda dan Yoses, serta Salome.
41 Mereka wanita yang mengikut dan menolong Yesus ketika Dia di Galilea. Ada ramai juga wanita yang datang dengan Yesus ke Yerusalem.
42 Hari sudah lewat petang. Hari itu Hari Persediaan, iaitu sehari sebelum hari Sabat.
43 Yusuf dari Arimatea, seorang ahli terkemuka Majlis Agama yang sedang menunggu kerajaan Allah, datang lalu memberanikan hatinya menghadap Pilatus dan memohon untuk mengambil jenazah Yesus.
44 Pilatus hairan mendengar Yesus sudah pun meninggal dunia, lalu memanggil ketua tentera dan bertanya sama ada Yesus sudah meninggal.
45 Setelah mendengar laporan ketua tentera itu, dia pun menyerahkan jenazah Yesus kepada Yusuf.
46 Yusuf membeli kain linen yang baik, menurunkan jenazah Yesus dan mengafankannya dengan kain itu. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam yang telah digali di permukaan batu pejal, lalu menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu.
47 Maria Magdalena dan Maria ibu Yoses memerhatikan tempat makam itu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Markus 15
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Markus 15
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Markus

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV