1 Yesus memanggil murid-Nya yang dua belas itu lalu memberi mereka kuasa dan perintah untuk mengusir segala roh iblis dan menyembuhkan berbagai-bagai penyakit.
2 Dia mengutus mereka untuk mengkhabarkan kerajaan Allah dan menyembuhkan orang sakit.
3 Yesus berkata kepada mereka, “Jangan kamu bawa apa jua pun dalam perjalananmu, baik tongkat, baik beg, baik makanan, baik wang mahupun dua helai pakaian.
4 Di rumah mana-mana pun kamu disambut, menetaplah di situ sehingga kamu beredar dari bandar itu.
5 Di mana-mana kamu tidak disambut, tinggalkan bandar itu dan kebaskanlah debu daripada kakimu sebagai kesaksian terhadap mereka.”
6 Mereka pun berangkat lalu pergi dari kampung ke kampung untuk menyampaikan Injil dan menyembuhkan orang di mana-mana sahaja.
7 Herodes, raja wilayah, mendengar segala perkara yang berlaku. Dia keliru kerana ada yang mengatakan bahawa Yohanes telah dibangkitkan daripada kematian,
8 ada yang berkata bahawa Elia telah muncul; ada juga yang berkata bahawa salah seorang nabi pada zaman dahulu telah hidup kembali.
9 Herodes berkata, “Yohanes itu telah kupancung kepalanya tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentangnya telah aku dengar.” Oleh yang demikian, dia mencari jalan untuk menemui Yesus.
10 Setelah rasul-rasul itu kembali, mereka menceritakan kepada Yesus segala perkara yang telah dilakukan mereka. Yesus membawa mereka ke sebuah bandar yang bernama Betsaida.
11 Tetapi orang ramai mendapat tahu akan hal itu lalu mengikut-Nya. Yesus menyambut mereka dan mengkhabarkan kerajaan Allah kepada mereka serta menyembuhkan orang yang memerlukan penyembuhan.
12 Menjelang senja, dua belas murid itu datang kepada Yesus. Mereka berkata, “Suruhlah orang ramai ini pulang supaya mereka dapat pergi ke desa dan daerah di sekitar untuk mencari makanan dan penginapan kerana tempat ini terpencil.”
13 Yesus berkata kepada mereka, “Kamulah memberi mereka makanan.” Murid-murid itu berkata lagi, “Kami hanya ada lima buku roti dan dua ekor ikan, melainkan kami pergi membeli makanan untuk orang ramai ini.”
14 Terdapat kira-kira lima ribu orang lelaki di situ. Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Suruh mereka duduk berkelompok-kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.”
15 Murid-murid itu melakukan suruhan Yesus dan semua orang pun duduk.
16 Setelah mengambil lima buku roti dan dua ekor ikan itu, Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur atas makanan itu. Kemudian Dia memecah-mecahkan roti itu dan menghulurkannya kepada murid-murid-Nya untuk diberikan kepada orang ramai.
17 Mereka semuanya makan sehingga kenyang. Para murid-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas bakul.
18 Pada suatu hari semasa Yesus berdoa bersendirian, murid-murid-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, “Mengikut orang ramai, siapakah Aku?”
19 Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada yang berkata Elia; ada pula yang berkata salah seorang nabi telah hidup semula.”
20 Yesus bertanya kepada mereka, “Apa kata kamu: Siapakah Aku pula?” Petrus menjawab, “Kristus daripada Allah.”
21 Dengan tegasnya Yesus melarang mereka memberitahu hal ini kepada sesiapa pun;
22 dan menambah, “Anak Manusia harus banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam dan ahli Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian, Dia akan dibangkitkan semula.”
23 Yesus berkata kepada semua, “Jika seseorang hendak mengikut-Ku, dia harus menyangkal dirinya, memikul salib setiap hari, dan mengikut-Ku.
24 Sesiapa yang mahu memelihara nyawanya akan kehilangannya. Tetapi sesiapa yang mengorbankan nyawanya kerana Aku akan memeliharanya.
25 Apakah untungnya kepada seseorang jika dia memiliki seluruh dunia tetapi dirinya sendiri kehilangan atau kerugian?
26 Jika sesiapa malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, Anak Manusia juga malu mengakui dia tatkala Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya sendiri, dan dengan kemuliaan Bapa-Nya serta segala malaikat suci.
27 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu ada beberapa orang di sini yang tidak akan menemui maut sebelum melihat kerajaan Allah.”
28 Kira-kira lapan hari setelah Yesus mengatakan perkara tersebut, Dia membawa Petrus, Yohanes dan Yakobus menaiki bukit untuk berdoa.
29 Semasa Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilau-kilauan.
30 Tiba-tiba dua orang, Musa dan Elia, muncul dan bercakap dengan Dia.
31 Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan kemuliaan dan mereka bercakap dengan Yesus tentang kematian-Nya yang akan ditunaikan di Yerusalem.
32 Petrus dan teman-temannya tidur lena tetapi setelah terjaga, mereka melihat kemuliaan Yesus serta kedua-dua orang yang berdiri bersama-Nya.
33 Apabila kedua-dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Tuan, baik sekali kami ada di sini. Biarlah kami dirikan tiga buah khemah: satu untuk Engkau, satu untuk Musa dan satu lagi untuk Elia.” Dia tidak tahu apa yang dikatakannya.
34 Ketika Petrus berkata demikian, suatu awan meliputi mereka dan mereka ketakutan.
35 Lalu kedengaran suara dari dalam awan itu mengatakan, “Inilah Anak-Ku yang Kupilih. Dengarlah kata-kata-Nya!”
36 Setelah suara itu berhenti, Yesus kelihatan seorang sahaja. Murid-murid itu berdiam diri dan tidak menceritakan kepada sesiapa jua apa yang telah disaksikan oleh mereka itu.
37 Pada keesokan harinya, mereka turun dari bukit itu dan orang ramai bertemu dengan Yesus.
38 Seorang antaranya berseru, “Guru, tolonglah anakku kerana dia anak tunggalku.
39 Dia dirasuk sesuatu roh lalu tiba-tiba dia berteriak dan tersentak-sentak sehingga mulutnya berbuih-buih. Roh itu mencederakannya dan tidak mahu melepaskannya.
40 Aku telah memohon murid-murid-Mu supaya menghalau roh itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.”
41 Yesus menjawab, “Hai angkatan yang tidak percaya dan sesat ini! Berapa lama lagikah Aku mesti ada bersamamu dan bersabar denganmu? Bawa anakmu itu ke mari.”
42 Semasa dia datang, roh jahat itu mencampakkannya ke tanah lalu membuatnya tersentak-sentak. Tetapi Yesus memarahi roh jahat itu, lalu menyembuhkan budak itu dan menyerahkannya kepada bapanya.
43 Semua orang tercengang menyaksikan keagungan Allah. Sementara semua orang masih hairan akan segala yang dibuat oleh Yesus, Dia berkata kepada murid-murid-Nya,
44 “Jangan lupa akan apa yang Aku katakan kepadamu ini: Anak Manusia akan diserahkan ke tangan manusia.”
45 Mereka tidak mengetahui maksud kata-kata itu kerana tersembunyi daripada mereka supaya mereka tidak memahaminya. Mereka takut pula bertanya kepada Yesus tentang perkara itu.
46 Mereka bertengkar sesama sendiri tentang siapa antara mereka yang terbesar.
47 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di sisi-Nya.
48 Yesus berkata, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Nama-Ku menyambut-Ku. Sesiapa yang menyambut-Ku menyambut Dia yang mengutus-Ku. Sebabnya yang terkecil antara kamu semua ialah yang terbesar!”
49 Yohanes berkata, “Tuan, kami telah melihat seorang yang menghalau roh-roh iblis dengan menggunakan Nama-Mu, dan kami melarang dia kerana dia tidak termasuk dalam golongan kami.”
50 Yesus berkata kepadanya, “Janganlah kamu larang dia. Orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.”
51 Tatkala waktunya sudah dekat untuk Yesus diangkat ke syurga, Dia menetapkan hati-Nya untuk menuju ke Yerusalem.
52 Dia menyuruh beberapa utusan mendahului-Nya. Mereka pun masuk ke sebuah kampung orang Samaria untuk menyediakan tempat persinggahan bagi Yesus.
53 Tetapi orang Samaria tidak menerima Yesus kerana Dia sedang menuju ke Yerusalem.
54 Ketika Yakobus dan Yohanes, murid-murid Yesus melihat perkara ini, mereka berkata, “Tuan, adakah Tuan mahu kami menyuruhkan api turun dari langit untuk membinasakan orang Samaria ini?”
55 Yesus berpaling dan memarahi mereka.
56 Lalu mereka pergi ke sebuah kampung yang lain.
57 Ketika mereka dalam perjalanan, seorang berkata kepada Yesus, “Aku sanggup mengikut-Mu ke mana-mana sahaja.”
58 Yesus berkata kepadanya, “Musang ada lubangnya dan burung di udara ada sarangnya tetapi Anak Manusia tidak ada tempat untuk meletakkan kepala-Nya.”
59 Lalu Dia berkata kepada seorang yang lain, “Ikutlah Aku.” Tetapi dia menjawab, “Tuhan, izinkanlah aku pulang dahulu untuk menguburkan jenazah bapaku.”
60 Yesus berkata kepadanya, “Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka; tetapi engkau pergilah mengkhabarkan kerajaan Allah.”
61 Seorang lain pula berkata, “Aku hendak mengikut Tuan, tetapi biarlah aku pergi mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluargaku terlebih dahulu.”
62 Yesus berkata kepadanya, “Tiada seorang pun yang mula membajak dan asyik menoleh ke belakang layak bagi kerajaan Allah.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Lukas 9
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Lukas 9
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Lukas

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV