1 Jangan iri hati terhadap orang yang jahat, dan jangan ingin bergaul dengan mereka,
2 kerana hati mereka memikirkan keganasan, dan bibir mereka membicarakan kejahatan.
3 Dengan hikmah rumah dibina, dan dengan pengertian dikukuhkan.
4 Dengan pengetahuan bilik-bilik dipenuhi dengan segala harta yang berharga dan indah.
5 Orang bijaksana memiliki kuasa, dan orang yang berpengetahuan memantapkan kekuatan.
6 Kerana dengan bimbingan engkau dapat berperang, dan jika banyak penasihat, ada kemenangan.
7 Hikmah terlalu tinggi bagi orang bodoh, tidak berani dia membuka mulutnya di sidang pengadilan.
8 Sesiapa merancang kejahatan akan disebut dalang.
9 Rancangan yang bodoh adalah dosa, dan pencemuh adalah kekejian bagi manusia.
10 Jika semangatmu lemah pada masa kesesakan, kecillah kekuatanmu.
11 Lepaskanlah mereka yang ditawan untuk dibunuh, dan tahanlah mereka yang terhuyung-huyung menuju pembantaian.
12 Jika engkau berkata, “Sungguh, kami tidak tahu hal itu!” Bukankah Dia, yang menguji hati, memahaminya? Bukankah Dia, yang memelihara nyawamu, mengetahuinya? Bukankah Dia akan membalas setiap orang menurut perbuatannya?
13 Hai anakku, makanlah madu, kerana itu baik, dan titisan madu manis dari sarang lebah manis untuk dikecapi.
14 Ketahuilah bahawa demikianlah hikmah bagi jiwamu: jika engkau mendapatkannya, maka ada masa depan, dan harapanmu tidak akan lenyap.
15 Jangan membidik kediaman orang benar seperti orang durjana, jangan rosakkan tempat tinggalnya.
16 Walaupun orang benar jatuh tujuh kali, dia akan bangkit lagi, tetapi orang durjana dimusnahkan oleh malapetaka.
17 Jangan bersuka ria ketika musuhmu jatuh, dan janganlah hatimu gembira ketika dia tersandung,
18 supaya jangan TUHAN melihat hal itu dan berasa tidak senang, sehingga Dia memalingkan murka-Nya daripada orang itu.
19 Jangan sebal hati kerana orang yang berbuat jahat, dan jangan iri hati terhadap orang yang durjana,
20 kerana tidak ada masa depan bagi orang yang jahat, dan pelita orang yang durjana akan padam.
21 Hai anakku, takutlah kepada TUHAN dan raja, dan jangan bergabung dengan para pemberontak,
22 kerana kedua-duanya dapat menimbulkan bencana dengan tiba-tiba, dan siapa yang tahu kemalangan apa yang datang daripada kedua-duanya?
23 Ini juga pepatah-pepatah orang bijaksana: Tidaklah baik bersikap berat sebelah dalam pengadilan.
24 Sesiapa yang berkata kepada orang durjana, “Engkau benar,” dia akan dikutuk oleh umat dan disumpah oleh suku-suku bangsa.
25 Tetapi sesiapa menegur orang durjana itu akan disukai, dan berkat melimpah akan datang ke atasnya.
26 Sesiapa memberikan jawapan yang tepat, seperti memberikan ciuman di bibir.
27 Aturlah pekerjaanmu di luar, siapkanlah ladangmu, kemudian baru bina rumahmu.
28 Janganlah menjadi saksi terhadap jiranmu tanpa alasan, atau memperdaya dengan bibirmu.
29 Jangan berkata, “Sebagaimana dia berbuat atasku, akan kubalas setimpal atasnya juga. Aku membalas orang selaras dengan perbuatannya.”
30 Aku lalu di ladang seorang pemalas, serta berdekatan kebun anggur seorang yang kurang akal.
31 Lihatlah, duri tumbuh di seluruh tempat itu, permukaan tanahnya diliputi jelatang, dan pagar batunya telah roboh.
32 Aku memandangnya dan merenungkan hal itu; aku melihatnya lalu mengambil iktibar.
33 “Tidur sebentar, mengantuk sebentar, lipat tangan sebentar untuk berbaring.”
34 Maka kemiskinan mendatangimu seperti pencuri, dan kesempitan seperti orang bersenjata.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amsal 24
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amsal 24

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV