1 Neraca yang palsu adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi batu timbangan yang tepat adalah keredaan-Nya.
2 Ketika keangkuhan datang, aib pun menyusul, tetapi dengan kerendahan hati datangnya hikmah.
3 Orang yang ikhlas akan dipimpin oleh ketulusannya, tetapi orang yang khianat dibinasakan oleh kecurangannya.
4 Pada hari kemurkaan, harta tidak berguna, tetapi perbenaran melepaskan orang daripada maut.
5 Jalan orang yang tidak bercela diluruskan oleh perbenarannya, tetapi orang yang durjana jatuh oleh kedurjanaannya sendiri.
6 Orang yang tulus hati diselamatkan oleh perbenarannya, tetapi orang yang khianat terjebak oleh kerakusannya sendiri.
7 Ketika orang durjana mati, harapannya lenyap, dan segala kekayaan yang diharapkan hancur juga.
8 Orang benar dilepaskan daripada kesesakan, yang lantas menimpa orang durjana.
9 Dengan mulutnya, orang yang munafik membinasakan jirannya, tetapi dengan pengetahuan orang benar terselamat.
10 Jika orang benar beruntung, seluruh kota bergembira, dan jika orang durjana binasa, orang bersorak-sorai.
11 Kota dimuliakan kerana keberkatan orang yang lurus hati, tetapi diruntuhkan kerana mulut orang durjana.
12 Orang yang tidak berakal budi memandang rendah jirannya, tetapi orang yang berpengertian berdiam diri.
13 Orang yang membawa mulut ke sana ke mari membuka rahsia, tetapi orang yang amanah menjaga rahsia.
14 Jika tidak ada pimpinan, jatuhlah sesuatu bangsa, tetapi jika banyak penasihat keselamatan terjamin.
15 Orang yang menjadi penjamin bagi orang lain bakal mendapat susah, tetapi orang yang benci urusan menaja jamin akan aman.
16 Perempuan yang bersopan santun memperoleh kehormatan, walhal orang yang kejam hanya memperoleh kekayaan.
17 Orang yang baik hati menguntungkan dirinya sendiri, tetapi orang yang kejam memudaratkan diri sendiri.
18 Orang durjana mendapat upah yang mungkar, tetapi orang yang menabur perbenaran mendapat pahala yang pasti.
19 Orang yang teguh dalam perbenaran akan memperoleh kehidupan, tetapi orang yang mengejar kejahatan meluru menempah kematiannya.
20 Orang yang derhaka hatinya adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi orang yang jalannya tidak bercela adalah keredaan-Nya.
21 Yakinlah, orang yang jahat tidak akan terlepas daripada hukuman, tetapi keturunan orang benar akan diselamatkan.
22 Seperti anting-anting emas di jongor babi, demikianlah perempuan cantik yang mengetepikan budi bicara.
23 Keinginan orang benar mendatangkan kebaikan semata-mata, tetapi harapan orang durjana mendatangkan murka.
24 Ada orang yang sering bermurah hati namun begitu semakin bertambah kaya, ada orang yang menahan apa yang patut diberikannya namun kian susut juga miliknya.
25 Jiwa yang suka beramal jariah akan diberi kelimpahan, orang yang memberikan air kepada orang, dia sendiri akan diberi minum.
26 Kutukan umum tertuju kepada sesiapa yang menyorokkan hasil ladang, tetapi keberkatan akan tercurah ke atas orang yang menjualnya.
27 Orang yang mencari kebaikan akan mendapat kebajikan, tetapi orang yang mengejar kejahatan akan ditimpa kejahatan.
28 Sesiapa yang mengharapkan kekayaannya akan jatuh, tetapi orang benar akan tumbuh subur seperti daun rimbun.
29 Sesiapa yang menyusahkan rumah tangganya akan menangkap angin, dan orang bodoh akan menjadi hamba kepada orang yang bijaksana.
30 Hasil orang benar ialah pokok hayat, dan orang yang bijaksana, pandai mengambil hati orang.
31 Jika orang warak pun menerima balasan di bumi ini, apatah lagi orang yang ingkar dan orang yang berdosa!