1 Apabila tiba Hari Pentakosta, mereka semuanya bersama-sama di suatu tempat.
2 Tiba-tiba kedengaran bunyi dari langit seperti angin kencang menderu, memenuhi seluruh rumah tempat mereka sedang duduk.
3 Kemudian kelihatan lidah-lidah yang berbelah-belah, seperti api rupanya, dan setiap satu hinggap di atas setiap orang daripada mereka.
4 Mereka semuanya dipenuhi Roh Kudus lalu mulai bertutur dalam pelbagai bahasa asing, seperti yang diberikan oleh Roh itu.
5 Pada waktu itu terdapat orang Yahudi yang salih daripada segala bangsa di bawah langit tinggal di Yerusalem.
6 Apabila mendengar bunyi itu, mereka datang beramai-ramai lalu tercengang kerana masing-masing mendengar orang bertutur dalam bahasanya.
7 Mereka hairan dan takjub lalu berkata sesama sendiri, “Bukankah semuanya yang berkata-kata ini orang Galilea?
8 Bagaimanakah mungkin masing-masing kita mendengar bahasa ibunda sendiri?
9 Orang Partia, Media, dan Elam, orang yang tinggal di Mesopotamia, Yudea dan Kapadokia, Pontus dan Asia Kecil.
10 Frigia dan Pamfilia, Mesir dan kawasan-kawasan Libya yang bersempadan dengan Kirene, pengunjung dari Roma ,
11 baik berbangsa Yahudi mahupun penganut agama Yahudi, orang Kreta dan orang Arab, kita mendengar mereka bercakap dalam bahasa kita masing-masing tentang perbuatan Allah yang menakjubkan.”
12 Oleh itu, mereka hairan dan bingung lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah ertinya semua ini?”
13 Ada pula yang mengejek, “Semua orang ini mabuk air anggur manis.”
14 Petrus berdiri bersama sebelas rasul lagi lalu berkata dengan suara yang lantang, “Saudara-saudara orang Yahudi dan semua penduduk di Yerusalem, ketahuilah hal ini serta dengarlah baik-baik kata-kataku.
15 Mereka ini bukanlah mabuk seperti saudara-saudara sangka, kerana hari baru jam ketiga.
16 Tetapi inilah yang dikatakan oleh Nabi Yo'el:
17 ‘Bahawa akan berlaku pada akhir zaman, firman Allah, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua manusia. Anakmu lelaki perempuan akan bernubuat, Orang mudamu akan melihat penglihatan, Orang tuamu akan bermimpi.
18 Dan ke atas hamba-Ku lelaki perempuan, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ketika itu, lalu mereka bernubuat.
19 Aku akan menunjukkan keajaiban di langit dan tanda di bumi, darah dan api serta kepulan-kepulan asap.
20 Matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi seperti darah, sebelum tiba hari Tuhan yang besar dan mulia.
21 Dan terlaksanalah kelak, bahawa sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.’
22 Saudara-saudara orang Israel, dengarlah kata-kata ini: Yesus orang Nazaret itu seorang Manusia yang dipersaksikan oleh Allah kepadamu dengan mukjizat, keajaiban dan tanda yang dilakukan Allah melalui-Nya dalam kalangan kamu. Kamu sendiri tahu tentang hal itu.
23 Dia, yang diserahkan kepadamu seperti yang telah dirancangkan dan ditentukan oleh Allah, telah kamu salib dan bunuh dengan bantuan orang durjana.
24 Allah telah membangkitkan-Nya, setelah membebaskan-Nya daripada kesengsaraan maut, kerana tidak mungkin maut dapat menahan-Nya.
25 Kerana Daud telah berkata tentang-Nya: ‘Bahawa aku telah melihat Tuhan sentiasa di hadapanku. Dia ada di sisi kananku, aku tidak akan goyah.
26 Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira; jasadku juga akan bersandar pada harapan.
27 Kerana Engkau tidak akan meninggalkan rohku di alam maut, dan Engkau tidak akan membiarkan Orang Suci-Mu reput.
28 Engkau telah menunjukkan jalan hidup, dan Engkau akan memenuhiku dengan kebahagiaan di hadirat-Mu.’
29 Saudara-saudaraku, aku akan bercakap terus terang kepadamu tentang moyang kita Daud, bahawa dia sudah meninggal dan dimakamkan, dan makamnya ada di tanah kita sampai hari ini.
30 Oleh sebab dia seorang nabi dan menyedari bahawa Allah telah berjanji kepadanya dengan bersumpah bahawa Dia akan mendudukkan seorang daripada benih keturunan jasadnya di atas takhtanya.
31 Dia telah melihat terdahulu hal ini, maka dia bercakap tentang kebangkitan Kristus, bahawa roh-Nya tidak akan ditinggalkan di alam maut, dan jasad-Nya tidak akan reput.
32 Allah telah membangkitkan Yesus ini dan kami semua menyaksikannya.
33 Dia telah dinaikkan ke syurga ke sebelah kanan Allah, dan daripada Allah Bapa Dia telah menerima Roh Kudus yang telah dijanjikan-Nya. Lalu Dia mencurahkan Roh itu seperti yang kamu lihat dan dengar sekarang.
34 Daud tidak naik ke syurga, tetapi dia sendiri berkata demikian, ‘Tuhan berfirman kepada Tuanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku,
35 sehingga Kujadikan musuh-musuh-Mu alas kaki-Mu.’
36 Oleh itu, hendaklah seluruh keturunan kaum Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Yesus, yang kamu salib itu, Tuhan dan Kristus.”
37 Apabila mereka mendengar ini, hati mereka pun berasa tertusuk, lalu mereka berkata kepada Petrus dan para rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang patut kami perbuat?”
38 Petrus pun berkata kepada mereka, “Bertaubatlah, dan hendaklah setiap orang daripada kamu dibaptiskan atas nama Yesus Kristus supaya dosa-dosamu diampunkan; dan kamu akan menerima pemberian Roh Kudus;
39 kerana janji itu telah dibuat kepada kamu dan anak-anakmu, dan kepada semua yang jauh-jauh, seberapa ramai yang akan dipanggil oleh Tuhan Allah kita.”
40 Petrus bersaksi dengan banyak perkataan lain lagi, dan menyeru mereka, “Selamatkanlah dirimu daripada angkatan yang ingkar ini.”
41 Kemudian semua orang yang menerima kata-katanya dengan rela hati dibaptiskan; pada hari itu bilangan mereka bertambah kira-kira tiga ribu orang.
42 Mereka berpegang teguh pada pengajaran para rasul, dan pada persaudaraan, pembahagian roti dan doa.
43 Rasa takut memenuhi setiap hati dan banyak keajaiban serta tanda dilakukan melalui para rasul itu.
44 Ketika itu semua yang beriman tetap bersatu dan berkongsi segala yang ada pada mereka,
45 serta menjual harta benda mereka lalu membahagikannya antara mereka menurut keperluan seseorang.
46 Demikianlah setiap hari mereka di Bait Suci dengan satu hati, dan membahagi roti dari rumah ke rumah, lalu memakan rezeki mereka dengan sukacita dan tulus hati,
47 sambil memuji Allah dan menerima rasa muhibah daripada semua orang. Setiap hari Tuhan menambah bilangan jemaah mereka itu dengan orang yang diselamatkan.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV