1 Bukankah aku seorang yang “merdeka”? Bukankah aku seorang rasul? Tidakkah aku pernah melihat Yesus, Tuhan kita? Bukankah kamu hasil kerjaku untuk Tuhan?
2 Mungkin orang lain enggan mengakui aku sebagai rasul, tetapi kamu pasti mengakuiku! Hidupmu yang bersatu dengan Tuhan membuktikan kerasulanku.
3 Apabila orang mengecamku, kujawab demikian.
4 Tidak berhakkah kami menerima makanan dan minuman untuk kerja kami?
5 Tidakkah kami berhak membawa isteri yang beriman, sebagaimana yang dilakukan oleh saudara-saudara Tuhan dan oleh rasul-rasul lain termasuk Kefas?
6 Wajarkah aku dan Barnabas sahaja mencari nafkah sendiri?
7 Tiada askar yang menyara diri sendiri dalam angkatan perang. Tiada peladang yang tidak makan buah anggur dari ladang sendiri. Tiada gembala yang tidak minum susu daripada domba sendiri.
8 Adakah aku mengatakan semua ini hanya dari segi pandangan manusia? Tidakkah hukum Taurat juga menyuarakan perkara ini?
9 Telah tersurat dalam Taurat Musa, “Jangan berangus mulut lembu yang sedang mengirik bijirin.” Tentulah Allah tidak menumpukan perhatian kepada lembu sahaja.
10 Bukankah kita yang dimaksudkan oleh Allah dalam firman itu? Tentu sekali. Orang yang membajak dan menuai memang wajar bekerja dengan harapan menerima sebahagian daripada tuaian.
11 Kami telah menyemai benih rohani dalam hidupmu. Memang patutlah kami menuai sedikit hasil kebendaan daripadamu.
12 Jika orang lain berhak mengharapkannya daripadamu, bukankah kami lebih berhak lagi? Namun demikian, kami tidak menggunakan hak itu. Kami lebih suka menanggung segala-galanya supaya tidak tergendala penyebaran Injil tentang Kristus.
13 Kamu tentu tahu bahawa orang yang bekerja dalam Bait Suci menerima makanan dari Bait Suci. Orang yang bertugas mempersembahkan korban di atas mazbah menerima sebahagian daripada korban itu.
14 Begitu jugalah Tuhan telah menetapkan, bahawa orang yang menyampaikan Injil harus menerima nafkah daripada kerja itu.
15 Tetapi aku belum menggunakan satu pun hak itu. Aku menulis demikian bukanlah untuk menuntut hak-hak itu bagi diriku. Biarlah aku mati daripada kehilangan apa yang kumegahkan.
16 Namun demikian, aku tidak berhak untuk bermegah dengan menyampaikan Injil kerana kerja ini telah menjadi kewajipanku. Malanglah aku jika tidak menjalankannya.
17 Andainya aku melakukannya mengikut kehendakku sendiri, patutlah aku mengharapkan upah. Tetapi aku melakukannya sebagai kewajipan, kerana Allah telah memberiku tugas itu.
18 Jadi, apakah upahku? Upahku ialah mendapat hak istimewa untuk menyampaikan Injil tanpa meminta bayaran atau menuntut hakku sebagai penyebarnya.
19 Aku orang merdeka, bukan hamba sesiapa. Tetapi aku memperhambakan diri kepada semua orang supaya aku dapat menawan hati ramai orang.
20 Bagi orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya aku dapat menawan hati orang Yahudi. Bagi orang yang terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, padahal aku tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka.
21 Bagi orang yang tidak terikat kepada Taurat, aku berlaku seperti orang yang tidak terikat kepada Taurat. Aku berbuat demikian supaya aku dapat menawan hati mereka. Ini tidaklah bermakna aku tidak taat akan hukum Allah. Sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus.
22 Bagi mereka yang lemah, aku berlaku lemah untuk menawan hati mereka. Aku menjadi segala-galanya kepada semua orang supaya dengan sedaya upaya aku dapat menyelamatkan seramai mungkin.
23 Aku melakukan semua ini untuk Injil, semoga aku juga turut mendapat berkatnya.
24 Sebagaimana kamu tahu, dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian tetapi hanya seorang yang mendapat hadiah. Oleh yang demikian, berlarilah, hingga menerima hadiah.
25 Setiap ahli sukan yang bertanding dalam sukan berlatih dengan gigih, kerana ingin mendapat mahkota, walaupun mahkota itu tidak kekal. Tetapi kita menjalani latihan yang ketat untuk mendapat mahkota yang kekal.
26 Oleh itu, aku terus-menerus lari ke garis penamat. Juga seperti ahli tinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku.
27 Aku bersungguh-sungguh melatih tubuhku, untuk menguasai diri, supaya aku tidak ditolak setelah mengkhabarkan Injil kepada orang lain.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Korintus 9
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Korintus 9

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV