1 Akan tetapi, Yesus pergi ke Bukit Zaitun.
2 Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Dia masuk ke Bait Suci. Semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mengajar mereka.
3 Ahli Taurat dan orang Farisi membawa kepada Yesus seorang perempuan yang didapati berzina. Mereka membuat perempuan itu berdiri di hadapan semua orang di situ.
4 Mereka berkata kepada Yesus, “Guru, perempuan ini ditangkap ketika berzina.
5 Dalam hukum Taurat, Musa memberikan perintah supaya perempuan demikian direjam sampai mati. Bagaimanakah pendapat-Mu?”
6 Mereka bertanya demikian untuk menduga Yesus supaya mempunyai alasan untuk menuduh-Nya. Tetapi Yesus tunduk menulis di tanah dengan jari-Nya.
7 Mereka tetap mengulangi pertanyaan itu. Oleh yang demikian, Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada mereka, “Sesiapa di antaramu yang tidak berdosa, hendaklah dia yang pertama merejam batu kepadanya.”
8 Kemudian Yesus tunduk menulis semula di tanah.
9 Setelah mendengar kata-kata Yesus, seorang demi seorang, bermula dengan yang tertua, beredar dari situ. Akhirnya hanya Yesus dan perempuan itu yang tinggal.
10 Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada perempuan itu, “Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang mengutukmu?”
11 Perempuan itu menjawab, “Tidak ada, Tuhan.” Yesus berkata, “Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.”
12 Yesus berkata lagi kepada mereka, “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.”
13 Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Yesus, “Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.”
14 Yesus menjawab, “Walaupun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi.
15 Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapa pun.
16 Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adalah betul, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku.
17 Ada tersurat dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah.
18 Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberikan kesaksian tentang diri-Ku.”
19 Oleh itu, mereka bertanya, “Di manakah Bapa-Mu itu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.”
20 Yesus mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di Bait Suci. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.
21 Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.”
22 Lalu orang Yahudi berkata, “Adakah Dia hendak membunuh diri?” Kerana Dia berkata, “Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.”
23 Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia.
24 Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.”
25 “Siapa Kamu ini?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi.
26 Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.”
27 Mereka tidak faham bahawa selama ini Yesus bercakap tentang Bapa.
28 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa.
29 Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.”
30 Setelah mendengar kata-kata Yesus, ramai orang percaya kepada-Nya.
31 Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu murid-Ku yang sejati.
32 Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.”
33 Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah diperhamba. Apakah maksud kata-kata-Mu, ‘Kamu akan dibebaskan’?”
34 Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa.
35 Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu.
36 Dengan demikian, jika Anak membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya.
37 Aku tahu kamu keturunan Abraham, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu.
38 Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.”
39 Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Sekiranya kamu benar-benar anak Abraham, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Abraham.
40 Aku hanya memberitahumu kebenaran yang Kudengar daripada Allah, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Abraham!
41 Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.”
42 Yesus berkata kepada mereka, “Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya.
43 Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku.
44 Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta.
45 Sebaliknya Aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku.
46 Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku?
47 Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.”
48 Orang Yahudi berkata, “Tidakkah benar kami katakan, Kamu ini orang Samaria dan dirasuk roh iblis?”
49 Yesus menjawab, “Aku tidak dirasuk roh iblis. Aku memuliakan Bapa-Ku, tetapi kamu menghina-Ku.
50 Aku tidak mencari kemuliaan untuk diri-Ku, tetapi Dia yang mencarinya untuk-Ku, dan Dialah yang menghakimi.
51 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.”
52 Orang Yahudi berkata kepada-Nya, “Sekarang tahulah kami bahawa Kamu dirasuk roh iblis! Abraham sudah mati, begitu juga nabi-nabi. Tetapi Kamu berkata, ‘Sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.’
53 Adakah Kamu lebih besar daripada bapa kami Abraham yang sudah mati? Nabi-nabi juga sudah mati. Kamu sangka Kamu ini siapa?”
54 Yesus menjawab, “Sekiranya Aku memuliakan diri-Ku, kemuliaan itu tidak bererti. Bapa-Ku yang memuliakan Aku. Kamu mengatakan, “Dia itu Allah kami.”
55 Namun demikian, kamu tidak mengenal-Nya, tetapi Aku mengenal-Nya. Sekiranya Kukatakan Aku tidak mengenal-Nya, jadilah Aku pendusta sepertimu. Aku mengenal-Nya dan taat akan firman-Nya.
56 Bapamu Abraham bersukacita melihat hari-Ku. Dia melihatnya dan bergembira.”
57 Orang Yahudi berkata kepada-Nya, “Usia-Mu belum sampai lima puluh tahun. Bagaimana Kamu mungkin berjumpa dengan Abraham?”
58 Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang Kukatakan ini benar, sebelum Abraham dilahirkan Aku sudah ada.”
59 Setelah itu, mereka memungut batu untuk merejam Yesus, tetapi Yesus menyembunyikan diri-Nya lalu meninggalkan Bait Suci.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yohanes 8
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yohanes 8
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Yohanes

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV