1 Ketika Yesus mengetahui orang Farisi telah mendengar berita bahawa Dia mendapat dan membaptis lebih ramai murid berbanding dengan Yohanes,
2 (sebenarnya para murid Yesus yang membaptis, bukan Yesus),
3 Dia pun meninggalkan Yudea lalu pulang ke Galilea semula.
4 Dalam perjalanan-Nya itu, Yesus semestinya melalui Samaria.
5 Di Samaria, Yesus sampai di bandar Sikhar, berdekatan dengan sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada anaknya Yusuf.
6 Di situ ada sebuah perigi Yakub. Oleh sebab berasa letih setelah berjalan jauh, Yesus duduk berehat di tepi perigi itu. Waktu itu kira-kira jam keenam.
7 Kemudian datanglah seorang perempuan Samaria untuk menimba air. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Berilah Aku minum.”
8 Murid-murid Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.
9 Perempuan Samaria itu menjawab, “Bagaimana Tuan seorang Yahudi meminta minum daripadaku, seorang perempuan Samaria?” (Orang Yahudi tidak berurusan dengan orang Samaria.)
10 Yesus menjawab, “Kalaulah kamu mengetahui pemberian Allah, dan siapakah Dia yang berkata kepadamu, ‘Berilah Aku minum,’ tentulah kamu pula akan meminta daripada-Nya dan Dia akan mengurniaimu air hidup.”
11 Perempuan itu berkata, “Tuan tidak ada timba. Perigi ini sangat dalam. Bagaimana mungkin Tuan mendapatkan air hidup itu?
12 Adakah Tuan lebih besar daripada moyang kami, Yakub, yang mewariskan perigi ini kepada kami? Dia, anak-anaknya dan binatang ternakannya minum air dari perigi ini.”
13 Yesus berkata, “Sesiapa yang minum air dari perigi ini akan dahaga semula;
14 tetapi sesiapa minum air yang Kuberikan kepadanya nanti tidak akan dahaga lagi selama-lamanya. Air yang akan Kuberikan itu akan menjadi mata air dalam dirinya dan memberinya hidup yang kekal.”
15 Perempuan itu berkata, “Tuan, berikanlah air itu kepadaku, supaya aku tidak dahaga lagi dan tidak perlu lagi datang ke perigi ini mengambil air.”
16 Yesus menjawab, “Pergilah dahulu, bawa suamimu ke mari.”
17 Perempuan itu berkata, “Aku tidak ada suami.” Yesus pun berkata, “Memang benar engkau tidak ada suami sekarang.
18 Kamu telah berkahwin lima kali. Lelaki yang tinggal denganmu sekarang bukan suamimu. Benarlah katamu itu.”
19 Perempuan itu berkata, “Tahulah aku sekarang, Tuan ini seorang nabi.
20 Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa Tuan berkata tempat orang menyembah Allah hanya di Yerusalem.”
21 Yesus berkata, “Hai perempuan, percayalah, akan sampai saatnya kamu menyembah Bapa bukan lagi di gunung ini atau di Yerusalem.
22 Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal; sebaliknya, kami menyembah apa yang kami kenal kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi.
23 Akan sampai saatnya, malah sudah pun sampai, penyembah sejati akan menyembah Bapa dalam roh dan kebenaran; kerana Bapa menghendaki penyembah yang sedemikian.
24 Allah itu Roh, maka orang yang menyembah Dia harus menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.”
25 Perempuan itu berkata, “Aku tahu Mesias yang disebut Kristus akan datang. Apabila Dia datang, Dia akan memberitahu kami segala-galanya.”
26 Yesus berkata kepada perempuan itu, “Akulah Dia yang sekarang bercakap denganmu.”
27 Pada ketika itu para murid Yesus pulang ke situ. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang perempuan tetapi seorang pun tidak bertanya kepada perempuan itu, “Apa hajatmu?” atau kepada Yesus, “Mengapa Engkau bercakap dengan perempuan ini?”
28 Perempuan itu pun meninggalkan bekas airnya di situ lalu pergi ke bandar memberitahu orang di sana apa yang telah berlaku.
29 Perempuan itu berkata, “Marilah lihat seorang yang menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan. Mungkinkah orang itu Kristus?”
30 Dengan demikian, orang di bandar pun pergi mendapatkan Yesus.
31 Sementara itu, para murid Yesus menggesa-Nya, “Rabbi, makanlah.”
32 Yesus menjawab, “Aku ada makanan yang tidak kamu ketahui.”
33 Lalu para murid Yesus tertanya-tanya sesama sendiri, “Adakah sesiapa datang membawakan-Nya makanan tadi?”
34 Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melaksanakan kehendak Dia yang mengutus-Ku dan menyelesaikan pekerjaan-Nya.
35 Bukankah kamu berkata, ‘Empat bulan lagi barulah tiba musim menuai?’ Tetapi Aku berkata kepadamu, lihatlah ladang yang sudah menguning, sedia untuk dituai.
36 Orang yang menuai akan menerima upah dan mendapat hasil untuk hidup kekal. Dengan demikian, penyemai benih dan penuai akan bergembira bersama-sama.
37 Dalam hal ini benarlah pepatah, ‘Ada yang menyemai, ada pula yang menuai.’
38 Aku menyuruhmu menuai ladang yang bukan hasil usahamu. Orang lain yang mengerjakannya, kamu yang mendapat hasilnya.”
39 Pada masa itu ramai orang Samaria percaya kepada Yesus setelah mendengar perempuan itu berkata, “Dia menyebutkan kepadaku segala yang telah kulakukan.”
40 Oleh yang demikian, ketika orang Samaria datang menemui Yesus, mereka mengajak-Nya tinggal bersama mereka. Yesus pun tinggal di situ selama dua hari.
41 Lebih ramai lagi orang yang percaya kepada Yesus kerana kata-kata-Nya.
42 Mereka berkata kepada perempuan itu, “Sekarang kami percaya bukanlah kerana kata-katamu tetapi kerana kami telah mendengar kata-kata-Nya sendiri dan kami tahu Dialah Kristus, Penyelamat dunia.”
43 Selepas tinggal dua hari di Samaria, Yesus ke Galilea pula,
44 kerana Yesus sendiri bersaksi bahawa seorang nabi tidak mendapat penghormatan di negerinya sendiri.
45 Setiba-Nya di Galilea, orang Galilea menyambut-Nya. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada masa Perayaan Paskah dahulu. Pada ketika itu, mereka juga berada di sana.
46 Selepas itu, Yesus pulang ke Kana di Galilea, iaitu tempat Dia mengubah air menjadi air anggur. Seorang pegawai kerajaan di situ mempunyai anak lelaki yang sedang sakit di Kapernaum.
47 Apabila pegawai itu mendengar tentang kedatangan Yesus ke Galilea dari Yudea, dia pun pergi berjumpa dengan Yesus. Dia meminta Yesus datang ke Kapernaum untuk menyembuhkan anaknya yang sakit tenat dan hampir maut.
48 Tetapi Yesus berkata, “Kalau kamu semua tidak melihat mukjizat dan hal-hal luar biasa, tidaklah kamu percaya.”
49 Pegawai itu merayu, “Tuan, datanglah segera sebelum anakku mati.”
50 Yesus pun berkata, “Pergilah, anakmu akan sembuh.” Pegawai itu percaya akan kata-kata Yesus lalu pergi.
51 Dalam perjalanannya ke rumah, hambanya datang memberitahu bahawa anaknya itu telah sembuh.
52 Apabila pegawai itu bertanya bila anaknya mula pulih, mereka menjawab, “Kelmarin, pada jam ketujuh, dia tidak demam lagi.”
53 Bapa anak itu teringat bahawa pada waktu itulah Yesus telah berkata, “Anakmu akan sembuh.” Dengan demikian, pegawai itu dan seluruh keluarganya percaya kepada Yesus.
54 Itulah mukjizat Yesus yang kedua dilakukan-Nya di Galilea setelah tiba di situ dari Yudea.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yohanes 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yohanes 4
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Yohanes

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV