1 Semua ini Kukatakan kepadamu supaya kamu tidak sesat.
2 Mereka akan menyingkirkanmu daripada saumaah . Masanya akan tiba ketika semua orang yang membunuhmu menganggap bahawa dengan berbuat demikian dia mengabdi kepada Allah.
3 Perkara ini akan dilakukan oleh mereka, kerana mereka belum mengenal baik Bapa mahupun Aku.
4 Semua ini Kukatakan kepadamu supaya ketika berlaku nanti, kamu akan ingat bahawa Aku sudah pun memberitahumu. Aku tidak memberitahumu dari mulanya lagi kerana Aku masih bersamamu.”
5 “Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus-Ku. Tiada seorang pun antaramu bertanya, ‘Ke mana Engkau hendak pergi?’
6 Sekarang hatimu bersedih, kerana Aku telah memberitahu perkara ini kepadamu.
7 Apa yang Kukatakan kepadamu ini benar; untuk kepentinganmu, baiklah Aku pergi. Selagi Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepadamu. Jika Aku pergi, Aku akan mengutus-Nya kepadamu.
8 Setelah Dia datang nanti, Dia akan menginsafkan dunia tentang dosa, perbenaran, dan penghakiman;
9 tentang dosa kerana mereka tidak percaya kepada-Ku;
10 tentang perbenaran kerana Aku akan pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat-Ku lagi;
11 dan tentang penghakiman kerana pemerintah dunia ini telah dihakimi.
12 Ada banyak lagi yang ingin Kukatakan kepadamu, tetapi kamu belum berupaya menerimanya.
13 Tetapi apabila Dia, iaitu Roh Kebenaran datang, Dia akan membimbingmu ke arah segala kebenaran. Roh itu tidak akan mengatakan sesuatu menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan menyampaikan apa yang didengar-Nya dan memberitahumu apa yang akan terjadi.
14 Roh itu akan memuliakan-Ku, kerana Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.
15 Segala milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Maka itulah Kukatakan bahawa Dia akan menerima apa yang berasal daripada-Ku dan menyatakannya kepadamu.”
16 Yesus berkata, “Tidak lama lagi, kamu tidak akan melihat-Ku dan tidak lama kemudian, kamu akan melihat-Ku.”
17 Sebilangan murid Yesus tertanya-tanya sesama sendiri, “Apakah maksud kata-Nya, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku’? Dia juga berkata, ‘Aku akan pergi kepada Bapa.’ ”
18 Mereka berkata, “Apakah maksud ‘tidak lama lagi’? Kami tidak faham erti kata-kata-Nya!”
19 Yesus tahu bahawa mereka ingin bertanya kepada-Nya. Lalu kata-Nya kepada mereka, “Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku.’ Adakah kamu mempersoalkan kata-Ku itu?
20 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan.
21 Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia.
22 Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapa pun.
23 Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu.
24 Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.”
25 “Aku telah mengatakan semua ini kepadamu secara kiasan. Tetapi akan sampai ketikanya Aku tidak lagi menggunakan kiasan; Aku akan berterus terang kepadamu tentang Bapa.
26 Pada hari itu, kamu akan meminta dalam nama-Ku. Aku tidak berkata Aku akan meminta kepada Bapa bagi pihakmu.
27 Bapa sendiri mengasihimu, kerana kamu mengasihi-Ku dan percaya Aku datang daripada Bapa.
28 Aku memang berasal daripada Bapa dan datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini dan pulang semula kepada Bapa.”
29 Para murid-Nya berkata, “Sekarang barulah Tuhan bercakap terus terang, tanpa menggunakan kiasan.
30 Sekarang kami faham bahawa Engkau mengetahui segala-galanya dan sesiapa pun tidak perlu lagi bertanya apa-apa kepada-Mu. Oleh itu, kami percaya bahawa Engkau datang daripada Allah.”
31 Yesus berkata kepada mereka, “Percayakah kamu sekarang?
32 Saatnya akan datang, malah sudah pun sampai, ketika kamu akan bertempiaran. Kamu akan menjaga diri masing-masing, dan meninggalkan Aku keseorangan. Tetapi sebenarnya Aku tidaklah keseorangan, kerana Bapa bersama-Ku.
33 Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan; tetapi tegapkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yohanes 16
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yohanes 16
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Yohanes

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV