1 Sebelum Perayaan Paskah, Yesus tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Yesus mengasihi mereka hingga ke saat akhir.
2 Semasa Yesus dan murid-murid-Nya sedang makan malam, Iblis sudah pun menimbulkan niat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus.
3 Yesus tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya.
4 Dengan demikian, Yesus berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya.
5 Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah baldi lalu membasuh kaki murid-murid-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya.
6 Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, “Tuhan, wajarkah Engkau membasuh kakiku?”
7 Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti.”
8 Petrus berkata kepada Yesus, “Tidak! Engkau sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!” Namun demikian, Yesus menjawab, “Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan.”
9 Simon Petrus berkata, “Tuhan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!”
10 Yesus berkata kepadanya, “Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu.”
11 Yesus tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, “Bukan semua yang bersih.”
12 Setelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu?
13 Kamu memanggil-Ku Guru dan Tuhan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan.
14 Jika Aku sebagai Tuhan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri.
15 Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu.
16 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya.
17 Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.
18 Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat dalam Kitab Suci pastilah terlaksana, ‘Orang yang makan bersama-Ku telah berpaling menentang-Ku.’
19 Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia.
20 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menerima orang yang Kuutus, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Dia yang mengutus-Ku.”
21 Setelah melafazkan kata-kata itu, Yesus berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus terang, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.”
22 Para murid Yesus berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Yesus.
23 Salah seorang murid yang dikasihi oleh Yesus duduk bertelekan di sisi-Nya.
24 Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, “Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.”
25 Murid itu melayah dekat kepada Yesus lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Tuhan?”
26 Yesus menjawab, “Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.” Yesus pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot.
27 Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya. Yesus pun berkata kepadanya, “Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan.”
28 Tiada seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Yesus berkata demikian kepada Yudas.
29 Beberapa orang murid Yesus menyangka Yesus menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk Perayaan Paskah, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka.
30 Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Yesus lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam.
31 Setelah Yudas pergi, Yesus berkata, “Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya.
32 Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia dalam diri-Nya segera.
33 Anak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, ‘Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.’
34 Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri.
35 Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku.”
36 Simon Petrus bertanya kepada Yesus, “Ke mana Tuhan hendak pergi?” Yesus menjawab, “Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ.”
37 Petrus bertanya lagi, “Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Engkau sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, Tuhan!”
38 Yesus menjawab, “Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yohanes 13
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yohanes 13
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Yohanes

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV