1 Apakah punca segala pergaduhan dan pertengkaran dalam kalanganmu? Puncanya ialah keinginan hawa nafsu yang sentiasa bergolak dalam dirimu.
2 Kamu berhasrat akan sesuatu tetapi tidak mendapatnya, maka kamu ingin membunuh. Kamu ingin memiliki sesuatu tetapi tidak berjaya, lalu kamu bertengkar dan bergaduh. Kamu tidak mendapat apa yang kamu ingini kerana kamu tidak memohonnya daripada Allah.
3 Kalau kamu memohonnya sekalipun, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuanmu jahat. Kamu memintanya untuk kesenangan diri sendiri.
4 Kamu tidak setia. Tidakkah kamu tahu bahawa sesiapa yang bersahabat dengan dunia menjadi musuh Allah? Oleh itu, sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia menjadikan dirinya musuh Allah.
5 Atau kamu menganggap Kitab Suci mengatakan tanpa sebab bahawa Roh yang ditempatkan di dalam diri kita oleh Allah amat mengingini kita.
6 Walaupun demikian, kasih kurnia yang dianugerahkan oleh Allah lebih kuat, maka tersurat dalam Kitab Suci: “Allah menentang orang yang angkuh tetapi memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati.”
7 Oleh yang demikian, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripadamu.
8 Dampingi Allah, Allah akan mendampingimu. Basuh bersih tanganmu, wahai kamu yang berdosa. Sucikan hatimu, wahai kamu yang munafik.
9 Menyesallah, menangis dan merataplah kamu. Biar ketawamu menjadi tangisan, kerianganmu menjadi kesedihan.
10 Rendahkan dirimu di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikanmu.
11 Saudara-saudaraku, janganlah fitnah-memfitnah. Sesiapa yang memfitnah atau menghakimi saudara seimannya, maka dia memfitnah atau menghakimi hukum. Jika dia menghakimi hukum, maka dia tidak lagi mematuhi hukum.
12 Hanya ada seorang Pemberi hukum dan Hakim. Hanya Dia yang dapat menyelamatkan atau membinasakan seseorang. Siapakah kamu maka ingin menghakimi sesama manusia?
13 Sekarang, dengarlah nasihatku, wahai kamu yang berkata, “Hari ini atau esok kami akan bertolak ke sebuah negeri dan tinggal di situ selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.”
14 Tetapi kamu tidak tahu apa yang akan terjadi dengan kehidupan esok. Kamu umpama wap, yang kelihatan sejurus lantas lenyap.
15 Sepatutnya kamu berkata demikian, “Kalau diizinkan Tuhan, kami akan terus hidup dan melakukan sekian-sekian.”
16 Sebaliknya kamu angkuh dan bercakap besar. Bercakap besar demikian itu adalah salah.
17 Apabila seseorang tidak melakukan sesuatu yang baik dan sepatutnya dilakukan, maka orang itu berdosa.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yakobus 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yakobus 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV