1 Apabila mereka sudah berhampiran Yerusalem, di Betfage dan Betania, di Bukit Zaitun, Yesus mengutus dua orang murid-Nya,
2 kata-Nya, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Sebaik-baik kamu masuk, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang belum pernah ditunggang, tertambat di situ. Lepaskannya dan bawa ke mari.
3 Jika sesiapa bertanya kepadamu, ‘Mengapa kau berbuat demikian?’ katakan, ‘Tuhan memerlukannya, dan Dia akan segera memulangkannya.’ ”
4 Mereka pun pergi dan mendapati anak keldai itu tertambat di pintu di tepi jalan, lalu mereka melepaskannya.
5 Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu buat, melepaskan anak keldai itu?”
6 Mereka menjawab seperti yang diperintahkan oleh Yesus, lalu mereka dibenarkan pergi.
7 Mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus dan mengalasnya dengan jubah mereka. Yesus pun duduk di atas anak keldai itu.
8 Ramai orang membentangkan jubah mereka di atas jalan. Yang lain memotong dahan rimbun daripada pokok-pokok di situ dan meletakkannya sepanjang jalan.
9 Setelah itu, mereka yang berjalan di hadapan dan yang mengikut dari belakang berseru, “Hosana!” “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan!”
10 “Diberkatilah kerajaan bapa kita Daud, yang datang dengan nama Allah!” “Hosana di tempat yang maha tinggi!”
11 Yesus masuk ke Yerusalem dan terus masuk ke dalam Bait Suci. Setelah Dia melihat semuanya, kerana hari sudah lewat petang, Dia pun pergi ke Betania dengan murid-Nya yang dua belas itu.
12 Esoknya, setelah mereka keluar dari Betania, Yesus berasa lapar.
13 Dari jauh Dia melihat sebatang pokok ara yang berdaun. Dia mendekatinya untuk melihat kiranya pokok itu berbuah. Tetapi Dia mendapati daun sahaja di pokok itu, kerana pada masa itu bukan musim buah ara.
14 Oleh itu Yesus berkata kepada pokok itu, “Tiada siapa akan makan buahmu lagi selama-lamanya.” Para murid-Nya mendengar kata-kata itu.
15 Apabila sampai di Yerusalem, Yesus masuk ke Bait Suci dan mengusir orang yang berjual beli di dalam Bait Suci. Dia menterbalikkan meja pengurup wang dan tempat duduk penjual burung merpati.
16 Dia tidak membenarkan siapa pun mengangkat barangan melalui Bait Suci.
17 Kemudian Dia mengajar mereka, kata-Nya, “Tidakkah tersurat: ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa bagi semua bangsa’? Tetapi kamu telah menjadikannya ‘sarang pencuri.’ ”
18 Ahli-ahli Taurat dan ketua-ketua imam mendengarnya lalu mencari jalan hendak membinasakan Yesus, kerana mereka takut kepada-Nya, memandangkan semua orang mengagumi ajaran-Nya.
19 Setelah lewat petang, Yesus keluar dari kota itu.
20 Pada pagi esoknya, ketika mereka lalu di situ, mereka melihat pokok ara itu telah layu kering daripada akarnya.
21 Petrus teringat lalu berseru, “Rabbi, lihat! Pokok ara yang Engkau sumpah itu telah mati.”
22 Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Berimanlah kepada Allah.
23 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,’ tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu.
24 Oleh itu, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam doa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya.
25 Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu.
26 Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.”
27 Selepas itu, mereka masuk semula ke Yerusalem. Sedang Dia berjalan di dalam Bait Suci, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan tua-tua datang kepada-Nya.
28 Mereka berkata kepada-Nya, “Dengan kuasa apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa untuk melakukannya?”
29 Tetapi Yesus menjawab, “Aku juga akan bertanya satu soalan kepadamu. Jawablah soalan-Ku, maka Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara itu.
30 Baptisan Yohanes daripada syurga atau daripada manusia? Jawablah soalan-Ku!”
31 Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga’ Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’
32 Tetapi, apa pula kalau kita berkata, ‘Daripada manusia!’ ” (Mereka takut akan orang ramai itu yang semuanya menganggap Yohanes seorang nabi.)
33 Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Markus 11
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Markus 11
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Markus

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV