1 Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu Perayaan Paskah, telah menjelang.
2 Ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus secara diam-diam kerana mereka takut akan orang ramai itu.
3 Kemudian, Iblis memasuki Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas murid Yesus.
4 Lalu Yudas pergi kepada ketua-ketua imam dan pengawal Bait Suci untuk membincangkan bagaimana dia dapat mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka.
5 Mereka gembira lalu berjanji memberikan wang kepadanya.
6 Yudas pun bersetuju lalu dia mencari peluang untuk mengkhianati Yesus dan menyerahkan-Nya kepada mereka tanpa diketahui orang ramai.
7 Tibalah Perayaan Roti Tidak Beragi. Pada hari itu domba Paskah harus disembelih untuk jamuan Paskah.
8 Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paskah untuk kita.”
9 Mereka bertanya kepada Yesus, “Di manakah Engkau hendak kami sediakan jamuan itu?”
10 Yesus menjawab, “Setibanya kamu ke dalam kota itu, seorang lelaki yang membawa sekendi air akan menemui kamu. Ikutlah dia ke rumah yang dimasukinya
11 lalu berkatalah kepada tuan rumah itu, ‘Guru berkata: Di manakah ruang tamu untuk Aku makan jamuan Paskah dengan murid-murid-Ku?’
12 Tuan rumah itu akan menunjukkan kepadamu sebuah ruang besar di tingkat atas yang lengkap dengan perabot. Di situlah kamu sediakan jamuan Paskah.”
13 Mereka pergi ke kota dan mendapati semua seperti yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. Lalu mereka menyediakan jamuan Paskah.
14 Apabila tiba masanya, Yesus pun duduk bertelekan di meja bersama rasul-rasul yang dua belas itu.
15 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Sebenarnya, Aku telah lama ingin sekali makan jamuan Paskah ini bersama kamu sebelum Aku menderita.
16 Aku berkata kepadamu bahawa Aku tidak akan makan jamuan ini lagi sehingga maksud sebenar Paskah dinyatakan dalam kerajaan Allah.”
17 Setelah itu, Yesus mengambil sebiji cawan minuman. Dia mengucap syukur lalu berkata, “Ambillah cawan ini dan bahagikan minumannya antara kamu.
18 Aku berkata kepadamu bahawa mulai sekarang, Aku tidak akan minum air anggur lagi hinggalah kerajaan Allah datang.”
19 Kemudian Yesus mengambil roti, mengucap syukur lalu memecah-mecahkan roti itu dan memberikannya kepada murid-murid-Nya, sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku yang diserahkan untukmu; lakukanlah ini sebagai peringatan kepada-Ku.”
20 Demikian juga, sesudah makan, Dia mengambil cawan sambil berkata, “Cawan ini perjanjian baru dengan darah-Ku yang ditumpahkan bagimu.
21 Tengoklah! Orang yang mengkhianati Aku ada bersama-sama di meja ini.
22 Anak Manusia memanglah harus pergi seperti yang ditetapkan, tetapi malangnya orang yang mengkhianati-Nya!”
23 Mereka mula bertanya-tanya sesama sendiri siapakah antara mereka yang akan berbuat demikian.
24 Satu perselisihan timbul dalam kalangan murid itu tentang siapa antara mereka yang dianggap terbesar.
25 Yesus berkata kepada mereka, “Raja-raja bangsa asing memerintah rakyat dengan kuku besi, dan mereka yang melaksanakan kekuasaan digelar pembawa kebajikan kepada rakyat.
26 Tetapi kamu tidak sama seperti mereka. Orang yang terbesar dalam kalanganmu hendaklah menjadi seperti yang terkecil, dan seorang ketua haruslah melayan yang lain.
27 Siapakah yang lebih besar – orang yang duduk makan atau hamba yang melayan? Bukankah orang yang duduk makan itu? Tetapi Aku ini antara kamu sebagai yang melayan.
28 Kamu bersama Aku dalam segala penderitaan-Ku.
29 Aku memberikan hak kerajaan kepadamu untuk memerintah sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak itu kepada-Ku.
30 Kamu akan makan dan minum di meja-Ku dalam kerajaan-Ku dan kamu akan duduk di atas takhta untuk menghakimi dua belas suku Israel.”
31 “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum.
32 Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila kamu kembali kepada-Ku, kuatkanlah saudara-saudaramu.”
33 Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, hamba sedia ke penjara dengan-Mu dan mati bersama-sama.”
34 Yesus menjawab, “Aku berkata kepadamu, Petrus, sebelum ayam berkokok pada hari ini, kamu akan menyangkal bahawa kamu mengenal Aku sebanyak tiga kali.”
35 Yesus berkata kepada mereka, “Ketika Aku mengutus kamu keluar tanpa dompet atau beg atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka menjawab, “Satu pun tidak.”
36 Yesus berkata lagi, “Tetapi sekarang, orang yang mempunyai dompet atau beg hendaklah membawa barang-barang tersebut. Orang yang tidak berpedang hendaklah menjual bajunya untuk membeli sebilah.
37 Aku berkata kepadamu bahawa apa yang tersurat ini akan berlaku pada diri-Ku: ‘Dia tergolong bersama dengan penjahat.’ Sebabnya apa yang tersurat tentang Aku akan terlaksana.”
38 Murid-murid itu berkata, “Tengoklah Tuhan, di sini ada dua bilah pedang!” Yesus berkata, “Cukuplah!”
39 Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke Bukit Zaitun seperti kebiasaan-Nya. Murid-murid-Nya pergi bersama Dia.
40 Sesampainya ke tempat itu, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah kamu supaya kamu tidak tergoda.”
41 Yesus pergi jauh sedikit daripada mereka, iaitu sepelempar batu jauhnya lalu berlutut untuk berdoa.
42 “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan.”
43 Malaikat dari syurga datang dan menguatkan-Nya.
44 Dalam kesengsaraan Dia berdoa, peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah.
45 Yesus bangun daripada berdoa, dan kembali kepada murid-murid-Nya. Dia mendapati mereka tertidur kerana sangat sedih.
46 Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidur? Bangunlah dan berdoa supaya kamu tidak tergoda.”
47 Ketika Yesus masih berkata-kata, sekumpulan orang datang. Yudas, salah seorang dua belas murid-Nya memimpin mereka. Dia menghampiri Yesus untuk mencium-Nya.
48 Yesus berkata kepadanya, “Yudas, adakah dengan ciuman engkau mengkhianati Anak Manusia?”
49 Apabila murid-murid Yesus melihat apa yang akan terjadi, mereka bertanya kepada Yesus, “Tuhan, haruskah kami serang mereka dengan pedang kami?”
50 Seorang daripada mereka menyerang hamba imam besar, dan menetaknya sehingga terputus telinga kanannya.
51 Tetapi Yesus berkata, “Biarkanlah mereka.” Lalu Yesus menyentuh telinga orang itu dan menyembuhkannya.
52 Kemudian Yesus berkata kepada ketua-ketua imam, ketua-ketua pengawal Bait Suci dan tua-tua yang telah datang untuk menangkap-Nya, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku seolah-olah Aku ini seorang penyamun?
53 Semasa Aku bersama kamu setiap hari di dalam Bait Suci, kamu tidak berani pula menangkap Aku. Tetapi inilah masa kamu dan masa kuasa kegelapan.”
54 Setelah menangkap Yesus, mereka membawa Dia ke rumah imam besar. Petrus pun mengikut dari jauh.
55 Mereka memasang api unggun di tengah-tengah halaman rumah itu lalu duduk di sekeliling. Petrus juga duduk antara mereka.
56 Apabila seorang hamba perempuan melihat Petrus duduk berdekatan dengan api unggun, dia memandang kepadanya dan berkata, “Orang ini juga bersama Dia.”
57 Tetapi Petrus menyangkal katanya, “Perempuan, aku tidak mengenal Dia!”
58 Sejurus selepas itu, seorang lain pula melihat Petrus lalu berkata, “Ya, engkau seorang daripada mereka itu.” Tetapi Petrus menjawab, “Bukan, aku bukan!”
59 Kira-kira sejam kemudian, seorang lain pula berkeras mengatakan, “Tentulah orang ini juga bersama Dia kerana dia juga seorang Galilea.”
60 Tetapi Petrus berkata, “Aku tidak memahami apa yang kaukatakan.” Pada ketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok.
61 Tuhan berpaling dan memandang kepada Petrus lalu Petrus pun teringat akan apa yang dikatakan Tuhan kepadanya bahawa, “Sebelum ayam berkokok pada hari ini, engkau akan menyangkal Aku sebanyak tiga kali.”
62 Petrus pun keluar lalu menangis dengan amat kesalnya.
63 Orang yang mengawal Yesus mengejek dan memukul Dia.
64 Mereka menutupi mata Yesus dan bertanya, “Siapakah yang memukul Engkau? Buatlah nubuat!”
65 Mereka mengatakan banyak lagi perkara yang menghina kepada-Nya.
66 Pada pagi hari, tua-tua masyarakat, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat bermesyuarat, dan Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. Mereka berkata,
67 “Jika Engkau Kristus, katakanlah kepada kami.” Yesus berkata kepada mereka, “Jika Aku mengatakan kepadamu, kamu tidak percaya juga.
68 Dan jika Aku bertanya kepadamu, kamu juga tidak menjawab.
69 Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.”
70 Mereka semua bertanya, “Kalau begitu, Engkaulah Anak Allah?” Yesus berkata kepada mereka, “Benarlah katamu.”
71 Mereka berkata, “Apa perlunya saksi lagi? Kita sendiri telah mendengar apa yang dikatakan-Nya!”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Lukas 22
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Lukas 22
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Lukas

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV