1 Kemudian Yesus menceritakan ibarat ini untuk mengajar mereka bahawa mereka harus sentiasa berdoa dan tidak putus asa.
2 Yesus berkata, “Di dalam sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah atau mempedulikan sesiapa.
3 Di kota itu juga ada seorang balu yang kerap kali datang kepada hakim itu untuk menuntut keadilan terhadap lawannya.
4 Sekian lama hakim itu menolak tuntutannya, tetapi akhirnya dia berkata dalam hatinya, ‘Walaupun aku tidak takut akan Allah dan tidak pedulikan sesiapa pun,
5 tetapi disebabkan balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku mengadili tuntutannya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan mengganggu aku!’ ”
6 Tuhan menambah, “Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang tidak adil itu.
7 Tidakkah Allah akan membela umat pilihan-Nya yang berseru kepada-Nya siang dan malam? Adakah Dia akan bertangguh untuk melaksanakan keadilan bagi mereka?
8 Aku berkata kepadamu bahawa Allah akan melaksanakan keadilan bagi mereka dengan segera. Tetapi, apabila Anak Manusia datang, adakah Dia akan menjumpai iman di bumi ini?”
9 Yesus juga menceritakan ibarat ini kepada orang yang menganggap diri mereka sebagai orang yang benar dan menghina orang lain:
10 “Dua orang masuk ke dalam Bait Suci untuk berdoa. Seorang daripadanya orang Farisi dan seorang lagi pemungut cukai.
11 Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: ‘Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau berzina seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini.
12 Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku.’
13 Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.’ ”
14 “Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”
15 Orang membawa anak mereka kepada Yesus supaya Dia memberkati mereka. Tetapi apabila murid-murid Yesus melihat hal ini, mereka menegur orang itu.
16 Namun Yesus memanggil kanak-kanak itu datang kepada-Nya lalu Dia berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku. Jangan larang mereka kerana orang yang seperti itulah yang empunya kerajaan Allah.
17 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, tidak akan masuk ke dalamnya.”
18 Seorang pemimpin bangsa Yahudi bertanya kepada Yesus, “Ya Guru yang baik, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?”
19 Yesus menjawab, “Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada siapa yang baik kecuali Allah.
20 Engkau mengetahui perintah-perintah Allah: ‘Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan memberi kesaksian palsu, hormatilah ibu bapamu.’ ”
21 Orang itu berkata, “Semua ini telah kutaati dari usia muda lagi.”
22 Apabila Yesus mendengar ini, Dia berkata kepadanya, “Masih ada satu kekuranganmu. Jual segala hartamu dan berdermalah kepada orang miskin. Engkau akan mendapat harta di syurga. Kemudian, datanglah dan ikut Aku.”
23 Tetapi apabila pemimpin itu mendengar demikian, dia menjadi sangat sedih kerana dia seorang yang amat kaya.
24 Yesus nampak kesedihannya lalu berkata, “Alangkah susahnya bagi orang kaya memasuki kerajaan Allah!
25 Lebih mudah seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.”
26 Orang yang mendengar-Nya berkata, “Kalau begitu, siapakah yang dapat diselamatkan?”
27 Yesus menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia itu tidak mustahil bagi Allah.”
28 Petrus berkata, “Kami telah meninggalkan segala-gala milik kami untuk mengikut-Mu.”
29 Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang telah meninggalkan rumah, atau isteri, atau saudara lelaki, atau ibu bapa, atau anak-anak demi kerajaan Allah
30 akan menerima ganjaran berlipat ganda pada masa ini, dan pada kemudian hari, hidup kekal.”
31 Yesus membawa dua belas murid-Nya ke tepi dan berkata kepada mereka, “Kita akan pergi ke Yerusalem dan segala yang tersurat dalam kitab-kitab nabi tentang Anak Manusia akan berlaku di sana.
32 Dia akan diserahkan ke tangan bangsa asing. Dia akan diejek dan dimaki serta diludahi orang. Mereka akan menyebat Dia dan membunuh-Nya.
33 Pada hari yang ketiga Dia akan bangkit semula.”
34 Tetapi murid-murid-Nya tidak mengerti sepatah kata pun. Maksud kata-kata ini dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak memahami apa yang dikatakan oleh Yesus.
35 Ketika Yesus menghampiri kota Yerikho, ada seorang buta yang duduk di tepi jalan meminta sedekah.
36 Apabila dia mendengar bunyi orang ramai lalu, dia bertanya, “Apakah yang sedang berlaku?”
37 Orang memberitahu dia bahawa Yesus, orang Nazaret, sedang lalu.
38 Dia pun berseru, “Yesus, Anak Daud, kasihanilah aku!”
39 Orang yang di hadapannya memarahinya dan menyuruhnya diam, tetapi dia semakin kuat berseru, “Anak Daud, kasihanilah aku!”
40 Yesus berhenti dan menyuruh orang membawa dia kepada-Nya. Lalu tanya Yesus apabila dia mendekati-Nya,
41 “Apa yang kamu mahu Kubuat untukmu?” Jawab orang itu, “Tuhan, aku ingin melihat.”
42 Yesus berkata kepadanya, “Terimalah penglihatanmu kembali, imanmu telah menyembuhkanmu.”
43 Serta-merta, orang itu dapat melihat lalu mengikut Yesus sambil memuji Allah. Semua orang yang menyaksikan kejadian ini memuji Allah.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Lukas 18
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Lukas 18
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Lukas

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke