1 Kepada yang dihormati Teofilus, Ramai orang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencatat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam kalangan kita
2 sebagaimana yang diberitahu kepada kita oleh saksi-saksi pertama dan pemberita Firman dari awalnya.
3 Oleh sebab aku telah mengkaji perkara-perkara ini dari mulanya, aku berfikir eloklah aku mengarang cerita-Nya dengan teratur untuk tuan Teofilus.
4 Aku berbuat demikian supaya tuan tahu dengan pastinya perkara-perkara yang telah diajarkan kepada tuan.
5 Pada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia daripada golongan Abia. Isterinya, Elisabet, daripada keturunan Harun.
6 Kedua-duanya orang yang benar di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta ketetapan Tuhan dengan sepenuhnya.
7 Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia.
8 Pada suatu hari Zakharia melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut giliran golongannya bertugas.
9 Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam Bait Suci Tuhan untuk membakar kemenyan.
10 Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar.
11 Lalu ternampak kepada Zakharia, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan mazbah tempat pembakar kemenyan itu.
12 Hati Zakharia berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut.
13 Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Zakharia, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yohanes.
14 Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain
15 kerana dia akan menjadi mulia di mata Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Kudus sejak dari rahim ibunya lagi.
16 Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Tuhan, Allah mereka,
17 dan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Elia untuk mendamaikan hati bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar kepada kebijaksanaan orang yang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan.”
18 Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah aku dapat mengetahui perkara ini akan berlaku? Aku telah tua dan isteriku pun telah lanjut usianya.”
19 Malaikat itu menjawab lagi, “Akulah Gabriel yang berdiri di hadirat Allah, telah diutuskan untuk menyampaikan berita baik ini kepadamu.
20 Ketahuilah, oleh sebab engkau tidak percaya kepada kata-kataku ini yang akan dipenuhi pada masanya, engkau akan menjadi bisu dan tidak dapat bertutur hingga pada hari semua perkara ini berlaku.”
21 Sementara itu, orang yang berhimpun itu ternanti-nanti akan Zakharia; mereka sangat hairan kerana dia begitu lama di dalam Bait Suci.
22 Apabila dia keluar, dia tidak dapat bertutur kepada mereka. Maka ketahuilah mereka bahawa Zakharia telah nampak suatu penglihatan di dalam Bait Suci. Dia menggunakan isyarat dengan tangannya kerana dia tetap bisu.
23 Setelah tamat masa perkhidmatannya, Zakharia pulang ke rumahnya.
24 Kemudian, Elisabet, isterinya pun hamil lalu dia menyisihkan diri selama lima bulan, katanya,
25 “Inilah perbuatan Tuhan bagiku. Pada hari-hari ini Dia telah berkenan menghapuskan aibku di hadapan orang.”
26 Dalam bulan yang keenam, malaikat Gabriel diutus Allah ke Nazaret, sebuah kota di jajahan Galilea,
27 kepada seorang anak dara yang telah bertunang dengan seorang lelaki yang bernama Yusuf daripada keturunan Raja Daud. Nama anak dara itu ialah Maria.
28 Malaikat itu datang kepadanya lalu berkata, “Salam kepadamu yang amat diredai! Tuhan bersamamu!”
29 Hati Maria runsing mendengar kata-kata itu dan dia tertanya-tanya akan maksud salam tersebut.
30 Seterusnya malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Maria, kerana engkau telah diredai Allah.
31 Engkau akan hamil dan melahirkan seorang anak lelaki. Engkau hendaklah menamai-Nya Yesus.
32 Dia akan menjadi mulia dan Dia akan digelar Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan mengurniakan takhta Daud, nenek moyang-Nya itu kepada-Nya.
33 Dia akan merajai keturunan Yakub selama-lamanya; dan kerajaan-Nya berkekalan.”
34 Lalu Maria berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah perkara ini dapat berlaku, sedangkan aku masih dara?”
35 Malaikat itu menjawab, “Roh Kudus akan turun ke atasmu, dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungimu. Oleh itu, anak suci yang akan dilahirkan akan digelar Anak Allah.
36 Tambahan pula, saudaramu Elisabet yang dahulu dikatakan mandul pun telah hamil enam bulan walaupun dia sudah tua.
37 Sebabnya bagi Allah tidak ada yang mustahil.”
38 Maria berkata, “Aku ini hamba Tuhan. Semoga terjadilah kepadaku seperti yang engkau katakan itu.” Lalu malaikat pun meninggalkannya.
39 Setelah itu, Maria bersiap-siap dan bergegas pergi ke sebuah kota di kawasan pergunungan Yehuda.
40 Dia masuk ke dalam rumah Zakharia dan memberi salam kepada Elisabet.
41 Apabila Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak-gerak dan Elisabet dipenuhi Roh Kudus.
42 Dia berseru, “Diberkatilah engkau antara kaum perempuan, dan diberkatilah juga kandunganmu itu.
43 Siapakah aku ini sehingga ibu Tuhanku datang kepadaku?
44 Apabila kudengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak-gerak dengan kesukaan.
45 Diberkatilah kamu kerana mempercayai apa yang dikatakan kepadamu daripada Tuhan akan berlaku!”
46 Maria berkata, “Jiwaku meninggikan Tuhan;
47 rohku bergembira kerana Allah, Penyelamatku,
48 kerana Dia mengingati hamba-Nya yang hina. Dari sekarang hingga selama-lamanya, orang akan berkata aku diberkati,
49 kerana Yang Maha Kuasa telah melakukan perkara yang besar untuk aku. Sucilah Nama-Nya.
50 Dia mengasihani mereka yang takut akan Dia, daripada satu keturunan kepada satu keturunan yang lain.
51 Dia telah menunjukkan kekuatan tangan-Nya; Dia telah mencerai-beraikan mereka yang berhati bongkak dalam pemikiran mereka.
52 Dia telah menurunkan raja-raja daripada takhta mereka dan mengangkat tinggi orang yang hina;
53 Dia telah memuaskan orang yang lapar dengan segala yang baik tetapi orang kaya dihalau pergi dengan tangan kosong.
54 Dia menolong bangsa Israel, hamba-Nya kerana Dia ingat akan belas kasihan-Nya
55 yang dijanjikan kepada nenek moyang kita Abraham dan semua keturunannya untuk selama-lamanya.”
56 Maria tinggal bersama Elisabet selama tiga bulan. Selepas itu, dia pulang ke rumahnya.
57 Tibalah masanya untuk Elisabet bersalin dan dia melahirkan seorang anak lelaki.
58 Apabila jiran tetangga dan saudara-maranya mendengar bahawa Tuhan telah melimpahkan belas kasih yang begitu besar kepadanya, mereka turut bergembira bersamanya.
59 Pada hari yang kelapan, mereka datang untuk menyunatkan bayi itu. Mereka mahu menamainya Zakharia seperti nama bapanya.
60 Tetapi ibunya berkata, “Tidak! Namanya ialah Yohanes.”
61 Mereka berkata kepada Elisabet, “Tiada seorang pun daripada kaum keluargamu yang bernama sedemikian.”
62 Lalu mereka bertanya kepada bapanya dengan menggunakan isyarat nama yang hendak diberikan kepada anaknya itu.
63 Dia meminta papan tulis lalu menulis demikian, “Namanya Yohanes.” Semuanya kehairanan.
64 Pada seketika itu, mulut Zakharia terbuka dan lidahnya tidak terikat lalu dia bercakap dan memuji Allah.
65 Semua jirannya sangat takut dan segala perkara ini tersebar ke seluruh pergunungan Yudea.
66 Semua orang yang mendengarnya berkata dalam hati masing-masing, “Bagaimanakah gerangan halnya anak ini kelak?” Jelaslah bahawa tangan Tuhan memimpinnya.
67 Bapanya, Zakharia, dipenuhi dengan Roh Kudus lalu bernubuat,
68 “Segala puji bagi Tuhan, Allah Israel! Kerana Dia telah datang dan menebus umat-Nya;
69 Dia telah mengurniai kita seorang Penyelamat yang berkuasa, seorang daripada keturunan hamba-Nya, Daud.
70 Demikianlah firman-Nya dengan perantaraan nabi-nabi-Nya yang suci dari zaman dahulukala,
71 Dia berjanji menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita, dan daripada tangan semua orang yang membenci kita;
72 Dia mengasihani nenek moyang kita, dan mengingati perjanjian-Nya yang suci,
73 Dia berjanji kepada nenek moyang kita, Abraham,
74 untuk menyelamatkan kita daripada musuh-musuh kita supaya tanpa rasa takut kita beribadat kepada-Nya
75 dalam kesucian dan perbenaran sepanjang hidup kita.
76 Engkau, anakku, akan digelar nabi Allah Yang Maha Tinggi kerana engkau mendahului Tuhan demi menyediakan jalan-Nya,
77 dan memberitahu umat-Nya bahawa mereka diselamatkan apabila dosa mereka diampunkan.
78 Oleh sebab Allah kita mengasihani kita, cahaya matahari akan terbit dari tempat tinggi
79 untuk menerangi orang yang tinggal dalam kegelapan dan bayang maut serta memimpin kita ke jalan damai.”
80 Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat rohnya. Dia tinggal di gurun sehinggalah dia muncul di khalayak bangsa Israel.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Lukas 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Lukas 1
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Lukas

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV