1 Dengan demikian, oleh sebab janji untuk masuk ke dalam peristirahatan-Nya tetap wujud, kita haruslah bimbang kalau-kalau ada di antaramu yang dikira tidak layak.
2 Injil telah disampaikan kepada kita dan kepada mereka; tetapi firman yang didengar mereka tidak menguntungkan mereka kerana tidak berpadu dengan iman.
3 Kita yang telah beriman memang masuk ke dalam peristirahatan itu, sebagaimana firman-Nya: “Maka Aku bersumpah dalam kemurkaan-Ku, ‘mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Ku,’ ” walaupun pekerjaan-Nya telah selesai sejak dunia diasaskan.
4 Allah telah berfirman demikian di suatu tempat tentang hari ketujuh: “Dan Allah beristirahat pada hari ketujuh daripada segala pekerjaan-Nya.”
5 Kemudian di sini pula: “Mereka tidak akan masuk ke dalam peristirahatan-Ku.”
6 Memandangkan sebilangan manusia pasti masuk ke dalam peristirahatan itu, dan mereka yang terlebih dahulu mendengar perkhabaran Injil tidak masuk disebabkan mereka ingkar,
7 maka Dia menetapkan satu hari lain, dalam firman-Nya kepada Daud, “Hari ini,” setelah sekian lama, iaitu: “Hari ini, jika kamu mendengar suara-Nya, jangan keraskan hatimu.”
8 Andainya Yosua telah memberikan istirahat kepada mereka, Allah tidak akan berfirman kemudian tentang satu hari lain.
9 Oleh itu, masih ada peristirahatan Sabat untuk umat Allah.
10 Orang yang telah masuk ke dalam peristirahatan-Nya juga telah berhenti daripada pekerjaannya, sebagaimana Allah telah berhenti daripada pekerjaan-Nya.
11 Jadi, marilah kita berusaha untuk masuk ke dalam peristirahatan itu, supaya jangan ada yang gagal kerana mengikut contoh mereka yang ingkar.
12 Firman Allah hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang dua mata, menembusi ke garis pemisah nyawa dan roh, sendi dan sumsum, serta mengenal antara fikiran dan niat dalam hati.
13 Tidak ada makhluk yang terlindung daripada penglihatan-Nya. Segala-galanya terdedah dan terbuka kepada mata Allah; kepada-Nya nanti kita dipertanggungkan tentang segala perlakuan kita.
14 Memandangkan kita mempunyai Imam Besar yang agung yang telah melalui syurga, iaitu Yesus Anak Allah, marilah kita berpegang teguh pada pengakuan kita.
15 Kita tidaklah mempunyai Imam Besar yang tidak dapat merasakan kelemahan kita. Sebaliknya dalam segala hal Dia telah menghadapi godaan seperti yang kita hadapi, tetapi Dia tidak melakukan dosa.
16 Oleh itu, marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ibrani 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ibrani 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV