1 Demi kemerdekaan Kristus telah memerdekakan kita. Oleh itu, berpegang teguhlah kepada kemerdekaan yang telah diberikan oleh Kristus kepada kita, dan jangan biarkan diri dibelenggu oleh kuk perhambaan semula.
2 Dengarlah kata-kataku! Aku, Paulus, bersaksi kepadamu bahawa jika kamu bersunat kelak, tiada berfaedahlah Kristus kepadamu.
3 Dan aku bersaksi lagi kepada setiap orang yang bersunat, bahawa dia berhutang dan mesti mengerjakan seluruh hukum Taurat.
4 Kamu yang berusaha untuk diperbenar melalui hukum Taurat telah terpisah daripada Kristus. Kamu telah terkeluar daripada kasih kurnia Allah.
5 Kita, melalui Roh dan dengan iman, bersungguh-sungguh menantikan harapan mendapat perbenaran.
6 Kerana dalam Kristus Yesus, sama ada bersunat ataupun tidak tiada ertinya, melainkan iman bekerja melalui kasih.
7 Dahulu perjalananmu baik. Siapakah yang telah menghalangmu sehingga kamu tidak lagi menurut yang benar?
8 Pujukan ini bukannya daripada Tuhan yang memanggilmu.
9 “Sedikit ragi pun akan meragikan tepung segumpal.”
10 Aku yakin padamu, dalam Tuhan, bahawa fikiranmu tidak akan bercabang; tetapi orang yang mengacau fikiranmu itu akan menerima hukumannya, walau siapa pun dia.
11 Saudara-saudara, jika aku masih menyebarkan ajaran supaya orang bersunat, mengapakah aku masih dianiaya? Kalau begitu, salib itu tidak lagi menjadi penghalang.
12 Ingin kuminta agar orang yang mengacau fikiranmu itu mengasingkan diri mereka sendiri!
13 Kerana kamu, saudara-saudara, telah dipanggil untuk mendapat kebebasan. Cuma, janganlah gunakan kebebasan sebagai kesempatan memuaskan hawa nafsu; tetapi berkhidmatlah untuk satu sama lain dengan kasih.
14 Kerana seluruh hukum Taurat terlaksana dalam satu ayat: “Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”
15 Tetapi jika kamu gigit-menggigit dan makan-memakan sesama sendiri, berhati-hatilah, jangan sampai kamu saling membinasakan.
16 Aku berkata, melangkahlah menurut Roh, maka kamu tidak akan memuaskan keinginan sifat tabii.
17 Kerana keinginan tabii manusia menentang Roh, dan Roh menentang keinginan tabii manusia. Kedua-duanya berlawanan, supaya kamu tidak melakukan apa yang hendak kamu lakukan.
18 Tetapi jika kamu dipimpin oleh Roh, kamu tidaklah di bawah hukum Taurat.
19 Kelakuan tabii manusia adalah nyata: perbuatan cabul, kecemaran dan kelucahan;
20 menyembah berhala dan sihir; kebencian, perbalahan, hasad dengki, letusan kemarahan, cita-cita untuk kebesaran diri, perselisihan, berpuak-puak
21 dan iri hati; kemabukan, berpesta keterlaluan, dan sebagainya. Tentang ini aku berkata kepadamu, sebagaimana sudah kukatakan kepadamu dahulu, bahawa orang yang mengamalkan perkara-perkara demikian tidak akan mewarisi kerajaan Allah.
22 Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan,
23 lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini.
24 Mereka yang menjadi milik Kristus Yesus telah menyalib tabii manusia berserta hawa nafsu dan keinginannya.
25 Jika kita hidup dalam Roh, marilah kita berbuat segalanya dalam Roh juga.
26 Janganlah kita menjadi bongkak, saling menyakitkan hati, dan berdengki-dengkian sama sendiri.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Galatia 5
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Galatia 5

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV