1 Oleh itu, ikutlah teladan Allah seperti anak-anak yang dikasihi.
2 Hiduplah dalam kasih, sebagaimana Kristus mengasihi kita dan menyerahkan diri-Nya untuk kita sebagai persembahan dan korban yang harum bagi Allah.
3 Tetapi perbuatan cabul dan segala kecemaran atau tamak haloba, jangan disebut pun dalam kalanganmu, kerana demikianlah sepatutnya bagi orang salih.
4 Jauhi kekotoran, percakapan tidak berakal dan lawak jenaka lucah, kerana segala ini tidak wajar, sebaliknya eloklah kamu mengucapkan kata-kata kesyukuran.
5 Kerana kamu tahu bahawa orang yang berzina, melakukan kecemaran, atau tamak haloba – yang sama dengan penyembah berhala tidak akan mewarisi kerajaan Kristus dan Allah.
6 Jangan tertipu dengan kata-kata kosong, kerana itulah sebabnya kemurkaan Allah menimpa anak-anak derhaka.
7 Oleh itu, janganlah kamu sepakat dengan mereka.
8 Kerana dahulu kamu gelap tetapi sekarang sudah menjadi cahaya dalam Tuhan. Hiduplah sebagai anak-anak cahaya
9 (kerana yang dihasilkan oleh cahaya terdapat dalam segala yang baik, wajar dan benar),
10 maka kajilah apa yang diredai oleh Tuhan.
11 Jangan bersubahat dengan perbuatan gelap yang tidak berfaedah, sebaliknya dedahkan perbuatan itu.
12 Sebabnya perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka secara rahsia itu, jika disebut pun adalah memalukan.
13 Tetapi segala yang didedahkan itu dinyatakan oleh cahaya, kerana yang menyatakan adalah cahaya.
14 Oleh itu, firman Tuhan: “Bangunlah, hai kamu yang tidur, bangkit daripada kematian, dan Kristus akan memberimu cahaya.”
15 Hiduplah dengan hati-hati – bukan seperti orang tidak arif tetapi sebagai orang bijaksana,
16 dan pergunakanlah setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana.
17 Dengan demikian, janganlah bodoh, tetapi mengertilah kehendak Tuhan.
18 Dan janganlah mabuk air anggur, yang berupa maksiat. Sebaliknya, penuhi diri dengan Roh.
19 Berkata-katalah sesama sendiri dengan mazmur, lagu pujian serta nyanyian rohani, menyanyi dan berlagu untuk Tuhan dalam hatimu.
20 Sentiasalah bersyukur atas segala-galanya kepada Allah Bapa dengan nama Tuhan kita Yesus Kristus.
21 Tunduklah kepada satu sama lain dengan bertakwa kepada Kristus.
22 Isteri, tunduklah kepada suamimu seperti kepada Tuhan.
23 Kerana suami adalah kepala kepada isteri sebagaimana Kristus kepala jemaah dan Penyelamat tubuh itu.
24 Oleh itu, sebagaimana jemaah tunduk kepada Kristus, begitulah juga isteri terhadap suaminya dalam segala hal.
25 Suami, kasihilah isterimu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah dan menyerahkan diri-Nya untuk jemaah.
26 Dengan demikian, Dia dapat menyucikan dan membersihkan jemaah dengan air melalui firman,
27 dan menghadapkannya kepada diri-Nya sebagai jemaah yang mulia, tanpa cela atau kerut, tetapi suci dan tidak bercela.
28 Demikian juga, suami harus mengasihi isterinya seperti tubuhnya, lelaki yang mengasihi isterinya itu mengasihi dirinya sendiri.
29 Tiada sesiapa pun pernah membenci tubuhnya sendiri, tetapi memelihara dan menyayanginya, seperti yang dilakukan oleh Kristus kepada jemaah –
30 kerana kita adalah anggota tubuh-Nya.
31 “Oleh sebab itu, seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.”
32 Ini adalah suatu rahsia besar – tetapi aku bercakap tentang Kristus dan jemaah.
33 Walau bagaimanapun, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasihi isterinya seperti dirinya sendiri, dan isteri hendaklah menghormati suaminya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Efesus 5
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Efesus 5

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke