1 Seperti salji pada musim kemarau dan hujan pada musim menuai, demikianlah kehormatan tidak patut bagi orang bodoh.
2 Seperti tangkasnya terbang burung pipit dan mengapungnya burung layang-layang, demikianlah kutukan tanpa alasan tidak akan hinggap pada sasarannya.
3 Cemeti bagi kuda, kekang bagi keldai, dan rotan bagi belakang si orang bodoh.
4 Jangan menjawab orang bodoh menurut kebodohannya, supaya jangan engkau sendiri menjadi sama dengannya.
5 Jawablah orang bodoh sepadan dengan kebodohannya, supaya jangan dia menganggap dirinya bijaksana.
6 Seperti memotong kaki sendiri dan menghirup kekerasan, demikianlah orang yang mengirim pesan melalui tangan si bodoh.
7 Seperti kaki orang tempang yang terkulai, demikianlah pepatah di mulut orang bodoh.
8 Seperti orang mengikat batu pada tarbil, demikianlah orang yang memberi hormat kepada orang bodoh.
9 Seperti duri menusuk tangan pemabuk, demikianlah pepatah di mulut orang bodoh.
10 Seperti pemanah yang melukai setiap orang, demikianlah orang yang mengupah si bodoh atau sesiapa sahaja yang lalu-lalang.
11 Seperti anjing menjilat muntahnya kembali, demikianlah orang bodoh yang mengulangi kebodohannya.
12 Adakah engkau memperhatikan orang yang menganggap dirinya arif? Orang yang bodoh ada lebih banyak harapan daripada dia.
13 Kata si pemalas, “Ada singa di jalan! Ada singa berkeliaran di tengah-tengah jalan!”
14 Seperti pintu berputar pada engselnya, demikianlah si pemalas di tempat tidurnya.
15 Si pemalas mencelup tangannya ke dalam pinggan, tetapi dia terlalu penat untuk membawanya semula ke mulutnya.
16 Si pemalas menganggap dirinya lebih bijak daripada tujuh orang yang dapat menjawab dengan bijaksana.
17 Seperti orang yang menangkap telinga anjing yang sedang lalu, demikianlah orang yang masuk campur perbalahan yang bukan urusannya.
18 Seperti orang gila menembakkan panah api, anak panah, dan maut,
19 demikianlah orang yang menipu jirannya lalu berkata, “Bukankah aku hanya bersenda gurau?”
20 Kerana kayu habis, padamlah api, dan jika tidak ada pemfitnah, redalah pertengkaran.
21 Sebagaimana arang untuk bara dan kayu untuk api, demikianlah orang yang suka bertengkar mengapi-apikan pertikaian.
22 Kata-kata pemfitnah seperti makanan lazat, semuanya turun jauh ke dalam lubuk hati orang.
23 Seperti tembikar bersalut keladak perak, demikianlah bibir yang manis dengan hati yang jahat.
24 Si pembenci berpura-pura dengan bibirnya, tetapi dalam hatinya ia menyimpan tipu daya.
25 Meskipun bicaranya ramah, jangan percaya kepadanya, kerana tujuh kekejian ada dalam hatinya.
26 Sekalipun kebenciannya ditutupi tipu daya, kejahatannya akan nyata dalam jemaah.
27 Sesiapa menggali lubang akan terperosok ke dalamnya, dan batu yang digulingkan orang akan kembali menimpa dirinya.
28 Lidah dusta membenci orang yang disakitinya, dan mulut yang penuh pujuk rayu membawa kehancuran.