1 Daripada Petrus, rasul Yesus Kristus, Kepada umat pilihan Allah yang tinggal merata-rata di Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia dan Bitinia.
2 Kamu terpilih menurut rancangan Allah Bapa, dijadikan umat-Nya dengan Roh Kudus, supaya taat akan Yesus Kristus dan disucikan dengan darah-Nya: Semoga kamu dilimpahi kasih kurnia dan damai sejahtera daripada Allah.
3 Puji bagi Allah dan Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana belas kasihan-Nya yang amat besar Dia telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Dengan demikian, kita hidup dengan harapan yang tidak akan binasa, dan
4 kita mengharapkan warisan yang tidak mungkin reput, tercemar atau lenyap – disimpan untukmu di syurga.
5 Kamu dipelihara dengan kuasa Allah, melalui iman untuk penyelamatan yang akan ternyata sepenuhnya pada akhir zaman.
6 Oleh yang demikian bersukacitalah, meskipun sekarang untuk seketika mungkin kamu berdukacita kerana menghadapi pelbagai cubaan.
7 Segalanya ini untuk menguji imanmu yang lebih berharga daripada emas, kerana emas tetap musnah walaupun telah diuji dengan api. Imanmu kelak ternyata tulen dan akan mendapat puji, penghormatan serta kemuliaan apabila Yesus Kristus datang kembali.
8 Kamu mengasihi-Nya walaupun belum pernah melihat-Nya. Kamu percaya kepada-Nya tanpa melihat-Nya. Oleh itu, kamu merasai kebahagiaan yang tidak terkata dan penuh dengan kemuliaan
9 kerana kamu akan mencapai matlamat imanmu, iaitu penyelamatan jiwamu.
10 Nabi-nabi telah mengkaji penyelamatan ini dan bernubuat tentang kasih kurnia Allah kepadamu.
11 Roh Kristus yang ada pada nabi-nabi bernubuat tentang penderitaan Kristus dan kemuliaan-Nya kelak. Mereka berusaha untuk mengetahui bila dan bagaimana perkara itu akan terjadi.
12 Allah telah menyatakan kepada nabi-nabi bahawa segala yang dilakukan oleh mereka itu bukan untuk mereka tetapi untuk kita. Sekarang perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu telah kamu dengar melalui Injil yang diisytiharkan dengan kuasa Roh Kudus dari syurga. Para malaikat juga ingin mengerti perkara itu.
13 Oleh yang demikian, bersedialah dengan akal budimu, berjaga-jaga dan sandarkanlah harapan kepada kasih kurnia yang akan kamu terima apabila Yesus Kristus menyatakan diri-Nya kelak.
14 Jadilah anak-anak yang taat akan Allah, dan janganlah hidup mengikut nafsumu seperti dahulu, sebelum kamu mengenal-Nya.
15 Pastikanlah segala perbuatanmu suci, sebagaimana Tuhan yang memanggilmu itu suci.
16 Ada tersurat dalam Kitab Suci, “Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci.”
17 Jika kamu berdoa kepada Allah Bapa, yang menghakimi manusia dengan adil menurut perbuatan masing-masing, maka sepanjang hayatmu di dunia ini takuti dan patuhilah Dia.
18 Kamu mengetahui bahawa untuk membebaskanmu daripada hidup sia-sia warisan nenek moyangmu, tebusannya bukanlah sesuatu yang dapat dibinasakan seperti perak atau emas
19 tetapi darah Kristus yang amat berharga, darah anak domba yang tiada cacat celanya.
20 Dia telah ditetapkan sebelum dunia dicipta, tetapi dinyatakan pada akhir zaman ini untukmu.
21 Melalui-Nya kamu percaya kepada Allah, yang telah membangkitkan-Nya daripada kematian dan memberi-Nya kemuliaan, supaya kamu beriman dan berharap kepada Allah.
22 Oleh sebab kamu telah menyucikan jiwamu dalam mematuhi kebenaran supaya kamu mempunyai kasih persaudaraan yang ikhlas, maka kasihilah satu sama lain dengan sepenuh perasaan dan suci hati;
23 kerana kamu telah dilahirkan semula, bukan daripada benih yang dapat dibinasakan tetapi daripada yang tidak mungkin dimusnahkan, melalui firman Allah yang hidup kekal selama-lamanya.
24 Kerana, “Semua manusia umpama rumput, dan segala kemuliaannya umpama bunga di padang; rumput layu, dan bunga gugur,
25 tetapi firman Tuhan kekal selama-lamanya.” Inilah firman yang disampaikan kepadamu.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Petrus 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Petrus 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV