1 Usahakanlah memperoleh kasih dan cubalah sungguh-sungguh untuk mendapatkan kurnia-kurnia rohani, terutamanya kurnia untuk bernubuat.
2 Apabila seseorang bertutur dalam lidah, dia bukanlah bercakap kepada sesama manusia tetapi kepada Allah; dia bertutur tentang hal-hal rahsia dengan Roh.
3 Sebaliknya, apabila seseorang bernubuat, dia bercakap kepada sesama manusia dengan kata-kata yang membina, menasihati dan menghibur.
4 Orang yang bertutur dalam lidah membina diri sendiri, manakala orang yang bernubuat membina jemaah.
5 Aku suka jika kamu bertutur dalam lidah, tetapi aku lebih suka jika kamu bernubuat; kerana orang yang bernubuat lebih membawa manfaat daripada orang yang bertutur dalam lidah, kecuali jika dia mentafsirkan apa yang dituturkannya itu untuk membina jemaah.
6 Saudara-saudaraku, bermanfaatkah bagimu sekiranya aku datang bertutur kepadamu dalam lidah? Tidakkah lebih bermanfaat jika aku bertutur dalam bahasa yang kamu fahami, baik dalam penyampaian wahyu, ilmu pengetahuan, nubuat mahupun pengajaran?
7 Samalah dengan benda-benda tidak bernyawa yang mengeluarkan bunyi; seperti seruling atau kecapi, jika bunyinya tidak terang, bagaimana orang dapat mengetahui lagu apa yang dimainkan?
8 Sekiranya nafiri mengeluarkan bunyi yang tidak menentu, siapa yang akan bersiap untuk berperang?
9 Demikianlah juga, jika kamu tidak bertutur dengan bahasa yang jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui apa yang kamu katakan? Kamu seolah-olah bercakap kepada angin.
10 Bahasa dunia entah berapa banyaknya, tetapi tiada satu pun yang tidak bererti.
11 Namun demikian, jika aku tidak mengetahui erti sesuatu bahasa, maka aku menjadi orang asing bagi penuturnya dan penutur itu orang asing bagiku.
12 Begitu jugalah kamu. Dalam berusaha untuk mendapat kurnia-kurnia rohani, berusahalah untuk memperoleh yang utama, iaitu yang dapat membina jemaah.
13 Oleh itu, seseorang yang bertutur dalam lidah harus berdoa agar dia dapat mentafsirkannya juga.
14 Kalaulah aku berdoa dalam lidah, maka hanya rohku yang berdoa, sedangkan akalku tidak menghasilkan apa-apa.
15 Oleh itu, apa yang harus kulakukan? Aku akan berdoa dengan rohku dan akalku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku dan akalku juga.
16 Sekiranya kamu mengucap syukur hanya dengan rohmu, bagaimana orang yang tidak memahami dapat mengaminkan ucap syukurmu? Mereka tidak tahu apa yang kamu ucapkan!
17 Oleh itu, walaupun ucap syukurmu itu baik, orang lain tidak dapat dibina.
18 Aku mengucap syukur kepada Allah kerana aku dapat bertutur dalam lidah, lebih daripada kamu semua.
19 Tetapi dalam perhimpunan jemaah, aku lebih suka mengucapkan lima patah kata dari akalku daripada sepuluh ribu patah dalam lidah; dengan demikian aku dapat menyampaikan pengajaran kepada orang lain.
20 Saudara-saudaraku! Janganlah kamu menjadi kanak-kanak dalam akal fikiranmu. Berhubungan hal kejahatan, memang kamu harus menjadi kanak-kanak, tetapi akal fikiranmu hendaklah matang.
21 Dalam Kitab Taurat telah tersurat: “Dengan bahasa-bahasa asing dan dari mulut orang asing Aku akan bersuara kepada bangsa ini; Namun demikian, mereka tidak akan mendengar-Ku,” Tuhan berfirman.
22 Oleh itu, bertutur dalam lidah adalah tanda, bukan bagi orang yang percaya, tetapi bagi orang yang tidak percaya; manakala nubuat adalah tanda, bukan bagi orang yang tidak percaya, tetapi bagi orang yang percaya.
23 Sekiranya seluruh jemaah berhimpun di suatu tempat dan semuanya bertutur dalam lidah, lantas masuk orang yang tidak tahu atau orang yang tidak percaya, tidakkah mereka menyangka kamu semua gila?
24 Tetapi jika semuanya bernubuat, lalu masuk seorang yang tidak tahu atau yang tidak percaya, dia akan berasa diyakinkan dan dihakimi oleh segala yang didengarinya.
25 Dengan demikian, segala rahsia hatinya akan ternyata, lalu dia sujud menyembah Allah serta mengakui bahawa Allah sesungguhnya ada bersamamu.
26 Jadi bagaimana, saudara-saudaraku? Apabila kamu berhimpun, hendaklah masing-masing menyampaikan mazmur, atau pengajaran, atau wahyu, atau sesuatu dalam lidah, ataupun pentafsirannya. Tetapi hendaklah semuanya bertujuan untuk membina jemaah.
27 Jika ada orang yang bertutur dalam lidah, biarlah dua atau tiga orang sahaja, seorang lepas seorang, dan hendaklah ada orang yang mentafsirkannya.
28 Sekiranya tiada yang dapat mentafsirkannya, janganlah dituturkan dalam perhimpunan itu. Tuturkanlah bagi diri sendiri dan kepada Allah.
29 Bagi orang yang diberi kurnia sebagai nabi, biarlah dua atau tiga orang sahaja yang bernubuat, dan yang lain menilainya.
30 Tetapi sekiranya ternyata Allah mewahyukan sesuatu melalui seorang lain yang turut hadir, hendaklah orang pertama itu berhenti bernubuat.
31 Kamu semua boleh bernubuat, seorang demi seorang, agar semua mendapat pengajaran dan kekuatan.
32 Kurnia untuk bernubuat tertakluk kepada nabi yang memilikinya,
33 kerana Allah tidak menghendaki kekeliruan, tetapi kesejahteraan. Sebagaimana dalam semua jemaah orang salih,
34 wanita-wanita hendaklah berdiam diri dalam perhimpunan jemaah. Mereka tidak dibenarkan bercakap. Hendaklah mereka menurut perintah, sebagaimana tersurat dalam Taurat.
35 Jika mereka ingin mempelajari sesuatu, hendaklah mereka bertanya kepada suami mereka di rumah. Sungguh memalukan jika seorang wanita bersuara dalam perhimpunan jemaah.
36 Adakah firman Allah datang daripadamu? Atau adakah datangnya kepada kamu sahaja?
37 Sekiranya seseorang menyangka dirinya mendapat kurnia untuk bernubuat atau kurnia rohani yang lain, dia hendaklah mengakui bahawa yang kutuliskan kepadamu ini adalah perintah Tuhan.
38 Tetapi jika sesiapa tidak tahu, biarlah dia demikian.
39 Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah untuk dapat bernubuat, dan jangan larang orang bertutur dalam lidah.
40 Tetapi hendaklah segalanya dilakukan dengan sopan dan teratur.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Korintus 14
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Korintus 14

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV