1 Aku tidak mahu kamu jahil, saudara-saudaraku, tentang kurnia-kurnia rohani:
2 Kamu tahu bahawa dahulu, sebelum kamu menjadi umat Allah, kamu telah terperdaya dalam pelbagai cara untuk menjadi pengikut berhala-berhala yang bisu.
3 Oleh itu, aku menyatakan kepadamu, tiada siapa pun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: “Yesus terkutuk” dan tiada siapa pun dapat mengakui, “Yesus ialah Tuhan,” kecuali di bawah bimbingan Roh Kudus.
4 Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh.
5 Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan.
6 Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah yang esa mengerjakan semuanya.
7 Tetapi Roh Kudus memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua.
8 Ada yang diberi kurnia oleh Roh Kudus untuk berbicara dengan penuh hikmah, dan ada pula yang dikurniai Roh Kudus untuk berbicara tentang pengetahuan.
9 Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama.
10 Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu.
11 Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Kuduslah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya.
12 Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga Kristus.
13 Oleh satu Roh kita semua telah dibaptiskan ke dalam satu tubuh – baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang merdeka – dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama.
14 Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota.
15 Kalaulah kaki berkata, “Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh?
16 Dan kalaulah telinga berkata, “Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh?
17 Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan?
18 Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya.
19 Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh?
20 Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh.
21 Mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukanmu,” kepala tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukanmu.”
22 Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan.
23 Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan.
24 Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya,
25 supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain.
26 Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita.
27 Kamu adalah tubuh Kristus, dan setiap daripadamu anggota tubuh itu.
28 Allah telah menentukan tempat masing-masing anggota jemaah: Pertama sebagai rasul-rasul, kedua nabi-nabi, ketiga guru-guru; seterusnya mereka yang diamanahkan untuk melakukan pelbagai mukjizat, mereka yang diberi kurnia untuk menyembuhkan, untuk memberi pertolongan, untuk memimpin dan untuk bertutur dalam aneka lidah.
29 Adakah semua menjadi rasul? Adakah semua menjadi nabi? Adakah semua menjadi guru? Adakah semua melakukan mukjizat?
30 Adakah semua diberi kurnia untuk menyembuhkan? Adakah semua dapat bertutur dalam pelbagai lidah? Adakah semua diberi kurnia untuk mentafsirkan bahasa-bahasa itu?
31 Oleh itu, berusahalah kamu bersungguh-sungguh untuk mendapat kurnia-kurnia yang lebih besar. Aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lebih baik.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Korintus 12
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Korintus 12

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV