1 Setelah itu, Yesus pergi ke seberang Laut Galilea yang juga dipanggil Laut Tiberias.
2 Ramai orang mengikut-Nya setelah melihat mukjizat-Nya menyembuhkan orang sakit.
3 Yesus mendaki sebuah bukit lalu duduk di situ bersama murid-murid-Nya.
4 Pada masa itu Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba.
5 Apabila Yesus memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, “Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?”
6 (Sebenarnya Yesus bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.)
7 Filipus menjawab, “Roti yang berharga dua ratus dinar pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.”
8 Seorang lagi murid Yesus yang bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya,
9 “Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!”
10 Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Ajaklah mereka duduk.” (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya.
11 Yesus mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu, Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada mereka yang duduk di sini. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula sebanyak yang dikehendaki mereka.
12 Setelah kenyang semuanya, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.”
13 Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu.
14 Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus itu, mereka pun berkata, “Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!”
15 Yesus tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu, Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri.
16 Setelah senja hari, para murid Yesus turun ke tasik.
17 Mereka menaiki perahu menyeberangi tasik itu ke Kapernaum. Hari sudah gelap namun Yesus belum pulang mendapatkan mereka.
18 Ketika itu tasik mulai bergelombang kerana angin bertiup kencang.
19 Setelah para murid Yesus berkayuh tiga atau tiga setengah batu, mereka terpandang Dia berjalan di atas air ke arah perahu mereka, lalu mereka pun ketakutan.
20 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Jangan takut, Aku Yesus!”
21 Barulah mereka mahu menyambut-Nya naik ke perahu. Pada saat itu juga tibalah perahu itu ke tempat yang dituju.
22 Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik menyedari bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Yesus tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para murid Yesus telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya.
23 Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Tuhan mengucap syukur.
24 Apabila mereka tidak melihat Yesus atau murid-murid-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Yesus.
25 Ketika mereka bertemu dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Rabbi, bilakah Engkau sampai ke mari?”
26 Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang.
27 Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepadamu oleh Anak Manusia, kerana Allah Bapa telah memateraikan-Nya.”
28 Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?”
29 Yesus berkata, “Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.”
30 Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan?
31 Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: ‘Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.’ ”
32 Lalu Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga.
33 Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.”
34 Kemudian mereka berkata, “Tuhan, berilah kami roti itu selalu.”
35 Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.
36 Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku.
37 Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku.
38 Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku.
39 Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberikan kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir.
40 Demikianlah kehendak Bapa-Ku, iaitu setiap orang yang melihat Anak-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.”
41 Orang Yahudi di situ mula merungut sesama sendiri menentang Yesus kerana kata-kata-Nya, “Akulah roti yang turun dari syurga.”
42 Mereka berkata, “Bukankah Dia Yesus, anak Yusuf, dan ibu bapa-Nya kita kenal? Bagaimana Dia boleh mengaku, ‘Aku turun dari syurga’?”
43 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah merungut sesama sendiri.
44 Tiada seorang pun yang dapat datang kepada-Ku kecuali didorongkan oleh Bapa yang mengutus-Ku dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.
45 Ada tersurat dalam tulisan para nabi: ‘Semua manusia akan diajar oleh Allah.’ Dengan demikian, seorang yang mendengar dan belajar daripada Bapa akan datang kepada-Ku.
46 Tiada seorang pun pernah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah telah melihat Bapa.
47 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, orang yang percaya mendapat hidup yang kekal.
48 Akulah roti hidup.
49 Nenek moyangmu makan manna di gurun, tetapi mereka mati juga.
50 Inilah roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini tidak akan mati.
51 Akulah roti hidup yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Kuberikan untuk hidup manusia di dunia ini ialah tubuh-Ku.”
52 Orang Yahudi yang mendengar kata-kata ini mula bertengkar sesama sendiri, “Bagaimanakah mungkin orang ini memberikan tubuh-Nya untuk kita makan?”
53 Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak mempunyai hidup dalam dirimu.
54 Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mendapat hidup yang kekal, maka Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.
55 Tubuh-Ku inilah makanan yang sebenar. Darah-Ku inilah minuman yang sebenar.
56 Apabila seorang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, maka dia tetap di dalam-Ku dan Aku di dalamnya.
57 Seperti Bapa yang hidup mengutus Aku, dan Aku hidup kerana Bapa hidup. Demikianlah juga, orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku hidup.
58 Inilah roti yang turun dari syurga, bukan seperti roti yang dimakan oleh nenek moyangmu, yang kemudiannya mati juga walaupun telah memakannya. Sebaliknya, sesiapa yang makan roti ini akan hidup kekal.”
59 Demikianlah kata-kata Yesus ketika mengajar di saumaah di Kapernaum.
60 Antara murid yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, “Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?”
61 Yesus tahu tanpa diberitahu akan rungutan murid-murid-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya?
62 Bagaimana nanti kalau kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya?
63 Hanya Roh Kudus memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Kudus dan memberi hidup.
64 Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.” (Yesus mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.)
65 Yesus berkata lagi, “Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.”
66 Selepas itu, ramai murid Yesus menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya.
67 Oleh yang demikian, Yesus bertanya kepada murid-Nya yang dua belas itu, “Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?”
68 Simon Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal.
69 Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.”
70 Yesus berkata, “Tidakkah kamu dua belas orang ini Kupilih, tetapi seorang daripadamu ialah iblis?”
71 Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Yudas anak Simon Iskariot. Meskipun Yudas salah seorang murid Yesus yang dua belas itu, dia akan mengkhianati-Nya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yohanes 6
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yohanes 6
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Yohanes

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV