1 Enam hari sebelum Perayaan Paskah, Yesus pergi ke Betania, tempat tinggal Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
2 Di situ Dia diperjamu. Marta menghidangkan makanan, dan Lazarus serta tetamu lain duduk bertelekan di meja bersama Yesus.
3 Kemudian Maria membawa sepaun minyak narwastu murni yang mahal, dan menuangkannya ke kaki Yesus, lalu menyapu kaki Yesus dengan rambutnya. Semerbaklah keharuman minyak itu di seluruh rumah.
4 Yudas Iskariot, salah seorang murid Yesus yang mengkhianati-Nya kelak berkata,
5 “Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang dinar, supaya wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin?”
6 Yudas berkata demikian bukanlah kerana dia prihatin terhadap orang miskin, tetapi kerana dia yang diamanahkan menyimpan wang bagi mereka sering mencuri sedikit untuk keperluannya.
7 Yesus berkata, “Biarkan dia begitu. Apa yang dilakukannya dimaksudkan untuk hari pengebumian-Ku.
8 Orang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu.”
9 Apabila orang Yahudi mendengar Yesus ada di Betania, ramai yang ke situ bukan hanya untuk melihat-Nya tetapi juga Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
10 Ketua imam merancang hendak membunuh Lazarus juga.
11 Ini disebabkan ramai orang Yahudi telah berpaling daripada mereka dan percaya kepada Yesus.
12 Pada keesokan harinya, orang ramai yang datang menyambut Perayaan Paskah mendengar bahawa Yesus sedang dalam perjalanan ke Yerusalem.
13 Mereka mengambil dahan-dahan pokok palma lalu pergi mengalu-alukan Yesus sambil berseru, “Hosana!” “Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan, Raja Israel!”
14 Yesus mendapatkan seekor keldai muda lalu menunggangnya, seperti yang tersurat:
15 “Janganlah takut. Wahai puteri Sion; lihatlah Rajamu datang menunggang seekor keldai muda!”
16 Sewaktu itu para murid Yesus tidak memahami erti segala ini. Setelah Yesus dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka menyedari bahawa segala yang dilakukan oleh orang ramai terhadap-Nya telah tersurat dalam Kitab Suci.
17 Orang yang mendengar Yesus memanggil Lazarus keluar dari makam dan melihat Dia membangkitkannya daripada kematian terus memberikan kesaksian tentang kejadian itu.
18 Dengan demikian, ramai orang datang berjumpa dengan Yesus kerana mendengar tentang mukjizat-Nya itu.
19 Orang Farisi berkata sesama sendiri, “Lihatlah, sia-sia segala usaha kita. Seluruh dunia telah mengikut-Nya.”
20 Di antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani.
21 Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, “Tuan, kami ingin bertemu dengan Yesus.”
22 Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Yesus.
23 Yesus berkata kepada mereka, “Sudah sampai masanya Anak Manusia dimuliakan.
24 Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.
25 Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal.
26 Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa.”
27 “Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini?’ Namun demikian, sebab itulah Aku datang menghadap saat ini.
28 Bapa, tunjukkanlah kemuliaan nama-Mu!” Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.”
29 Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, “Guruh.” Tetapi ada pula yang berkata, “Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya.”
30 Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu.
31 Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan.
32 Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku.”
33 Kata-kata Yesus ini membayangkan cara kematian-Nya kelak.
34 Orang ramai berkata kepada Yesus, “Dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa Kristus yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Anak Manusia akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?”
35 Yesus menjawab, “Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya.
36 Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya.” Setelah berkata-kata demikian, Yesus meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.
37 Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya.
38 Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: “Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?”
39 Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yesaya lagi:
40 “Dia telah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka.”
41 Yesaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya serta berkata-kata tentang-Nya.
42 Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Yesus. Namun demikian, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah .
43 Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah.
44 Yesus berseru, “Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku.
45 Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku.
46 Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan.
47 Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya.
48 Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari akhir.
49 Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya.
50 Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu, apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yohanes 12
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yohanes 12
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Yohanes

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV