1 Demi Sion Aku tidak akan berdiam diri dan demi Yerusalem Aku tidak akan tenang-tenang sahaja, sehingga perbenarannya terbit seperti cahaya dan penyelamatannya seperti obor yang menyala.
2 Bangsa-bangsa akan melihat perbenaranmu, dan semua raja akan melihat kemuliaanmu. Engkau akan disebut dengan nama baru yang ditentukan TUHAN sendiri.
3 Engkau akan menjadi mahkota kemuliaan di tangan TUHAN, serban kerajaan di tangan Allahmu.
4 Engkau tidak akan disebut lagi “Yang ditinggalkan,” dan negerimu tidak akan disebut lagi “Yang sunyi sepi,” tetapi engkau akan disebut “Yang Kuperkenan,” dan negerimu akan disebut “Yang Bersuami,” kerana TUHAN berkenan kepadamu dan negerimu akan bersuami.
5 Seperti seorang pemuda mengahwini seorang perawan, demikianlah rakyatmu akan menjadi suamimu. Seperti pengantin lelaki bergirang melihat pengantin perempuan, demikianlah Allahmu akan bergirang melihat engkau.
6 Di atas tembok-tembokmu, wahai Yerusalem, Aku telah menempatkan para pengawal. Sepanjang siang dan sepanjang malam mereka tidak akan pernah berdiam diri. Wahai kamu yang berseru kepada TUHAN, jangan kamu beristirahat
7 dan jangan biarkan Dia beristirahat, sampai Dia menegakkan Yerusalem, sampai Dia menjadikannya termasyhur di bumi.
8 TUHAN telah bersumpah demi tangan kanan-Nya, dan demi kekuatan-Nya, “Sesungguhnya, Aku tidak akan memberikan gandummu lagi sebagai makanan bagi musuh-musuhmu dan orang asing tidak akan meminum air anggurmu yang kauhasilkan dengan berjerih lelah.
9 Tetapi orang yang mengumpulkannya akan memakannya sambil memuji-muji TUHAN dan orang yang menghimpunkannya akan meminumnya di laman dalaman tempat suci-Ku.”
10 Lewatilah, lewatilah pintu-pintu gerbang! Persiapkanlah jalan bagi bangsa itu. Bukalah, bukalah jalan raya! Buanglah batu-batu dan tinggikanlah panji-panji bagi bangsa-bangsa!
11 Sesungguhnya, TUHAN telah mengkhabarkan sampai ke hujung bumi, “Katakanlah kepada puteri Sion, ‘Lihat, Penyelamatmu datang! Lihat, pahala-Nya dibawa-Nya bersama-sama dan ganjaran-Nya ada di hadapan-Nya.’ ”
12 Mereka akan disebut “Bangsa yang suci”, “Orang yang ditebus TUHAN.” Engkau akan disebut “Yang dicari”, “Kota yang tidak ditinggalkan.”